29 April 2012

Fakta Tentang Anak Autisme



KETIKA memerhatikan anak-anak bermain, ada ketikanya kita mendapati sesetengah kanak-kanak berada di dalam dunianya sendiri. Mereka gagal bercampur dan bermain riang seperti anak-anak lain. Bahkan, ada antara anak-anak ini sangat cepat mengamuk.

Mereka juga mempunyai masalah pertuturan, walaupun secara logiknya pada usia tertentu mereka sudah boleh bercakap. Apabila berbual, mata mereka akan menoleh ke arah lain dan bukannya kepada si penutur. Sekiranya anda mempunyai anak-anak yang bersikap seperti ini jangan mengandaikan ia perkara normal. Ada kemungkinannya anak-anak ini menghidap autisme.

Sebenarnya, ada banyak tanda lain yang boleh diperhatikan pada anak-anak austisme ini. Mereka juga bermain dengan cara yang janggal dan suka menyusun mainannya. Mereka seolah-olah sedang bermain dalam dunianya sendiri dan tidak menghiraukan orang lain, walaupun mereka sedang bermain dengan anak-anak lain.


Ada ketikanya, mereka ini sangat hiperaktif dan cenderung bermain dengan benda yang tidak dianggap barang mainan seperti barang-barang di dapur dan sebagainya.

Sebab itulah, ibu bapa seharusnya memerhatikan sindrom autisme ini sepatutnya diperhatikan. Adakalanya tanpa rawatan awal, sindrom ini akan dibawa sehingga dewasa yang menyebabkan tindakan yang diambil pada waktu itu mungkin sudah terlambat.

Inilah hakikat yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa apabila kanak-kanak ini membesar. Sehingga kini, punca autisme masih samar-samar.

Bagaimanapun, autisme bukanlah penyakit yang berjangkit. Walaupun belum ada penawar, tetapi pengetahuan ibu bapa mampu memberikan mereka harapan. Mereka patut didedahkan dengan spesifikasi keupayaan tertentu.

Secara umumnya, autisme wujud dalam semua budaya. Di Malaysia, pada tahun 2000 dianggarkan terdapat 47,000 rakyat Malaysia yang menghidap austisme. Di United Kingdom, dianggarkan setengah juta orang mengalami autisme.

Sekiranya ada dalam kalangan ahli masyarakat yang mempunyai anak-anak autisme, ia tidak perlu berakhir dengan kekecewaan.

Keupayaan intelektual

Asalkan anak-anak ini ada keupayaan intelektual, mereka boleh menjadi manusia yang berjaya. Keupayaan mereka sangat spesifik, selalunya dalam bidang sains. Sebab itulah, ibu bapa perlu mengesan simptom ini lebih awal, agar kanak-kanak ini dapat dihantar ke sekolah khas yang boleh mengubah tingkah laku dan keupayaan mereka.

Kalau mereka dibiarkan bersekolah bersama anak-anak normal, ia akan menyebabkan mereka ketinggalan dan tidak mampu mengikuti pembelajaran seperti anak-anak lain.

Selalu terjadi, ada ibu bapa yang tidak mahu menerima hakikat bahawa anak mereka sebenarnya menghidap autisme. Kesannya, mereka terus menghantar anak-anak ini ke sekolah biasa. Hasilnya, ia hanya merosakkan masa depan mereka.


RAMAI beranggapan mereka yang menghidap autisme adalah genius, hakikatnya ia adalah kes-kes terpencil.

Dalam mata pelajaran Matematik, kajian menunjukkan keupayaan mereka umumnya pada tahap bawah purata. Bagi mereka yang hanya mempunyai simptom autisme sederhana, mereka berupaya menguasai matematik. Bagaimanapun, mereka sukar dalam banyak subjek lain. Mereka juga sukar dalam hal temu duga.

Bagaimanapun, ada kes-kes terpencil. Kumpulan ini dikenali sebagai mathematic gifted. Ia seperti watak Raymond yang dilakonkan oleh Dustin Hoffman dalam filem Rain Man. Sungguhpun begitu, ia kes yang sangat jarang.

Ia sebenarnya adalah salah tanggapan yang sering berlaku dalam masyarakat. Orang selalu beranggapan bahawa anak-anak autisme ini ialah manusia yang genius. Harus diingat, ia hanya kes terpencil. Hakikat yang perlu diketahui, majoriti daripada anak-anak ini kalau tidak dirawat lebih awal akan mengalami masalah ketika dewasa.

Sehubungan itu, ibu bapa perlu cenderung untuk memerhatikan anak-anak mereka. Kalau dilihat anak-anak kita seperti dalam dunianya sendiri, gagal berkomunikasi dan mempunyai tingkah laku di luar kelakuan normal kanak-kanak, adalah lebih baik mereka dibawa berjumpa pakar.

Jangan anggap ia hal normal atau cuba menolak hakikat bahawa anak-anak kita sedang dilanda masalah.


Autisme tidak ada kena mengena dengan keturunan, budaya atau sebab yang lain.

Boleh dirawat

Walaupun tidak ada ubat khusus, sebenarnya autisme boleh dirawat dengan pendidikan dan terapi khas. Asalkan kita menyedari hal ini terlebih awal dan ia dilakukan ketika mereka masih di peringkat kanak-anak.

Sebenarnya, tidak ada salahnya mempunyai anak-anak autisme, tetapi yang salahnya ialah apabila kita melihat semua perkara sebagai normal kerana kononnya hanya anak orang lain menghidap autisme dan bukan anak kita.

Jangan anggap kerana tidak ada keturunan yang mengalami autisme atau kerana kita mempunyai pendidikan yang baik, kita tidak mungkin mempunyai anak autisme.

Autisme tidak ada kena mengena dengan keturunan, budaya atau sebab yang lain. Tidak ada siapa yang tahu puncanya. Sekiranya kita diuji dengan anak-anak autisme, maka menjadi tugas kita untuk memastikan masa depan mereka terus terbela.

Sumber: Kosmo

Misteri autisme



Penolong Setiausaha, Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia (Nasom), Zuariyah Mohd Noor, berkata autisme adalah gangguan perkembangan yang sangat kompleks pada anak dan gejalanya selalunya timbul sebelum anak itu mencapai usia tiga tahun.

Penyebab autisme adalah gangguan neuro biologi yang mempengaruhi fungsi otak sehingga anak tidak mampu berinteraksi dan berkomunikasi dengan dunia luar secara efektif.

Kata Zuariyah, autisme adalah penyakit seumur hidup yang tiada ubat dan sehingga kini, tiada pihak dapat memberitahu apa faktor penyebab autisme.

Justeru, ibu bapa harus menjangkakan di setiap peringkat hidup anak autisme datang bersama kemungkinan dan masalah berbeza.

Bagaimanapun, mereka tetap mempunyai emosi, nafsu dan perasaan, cuma semuanya itu dikaburi perilaku luar kawal akibat masalah pada saraf dipanggil vestibular problem, masalah tingkah laku dan deria, katanya.

Masalah selalu timbul adalah salah tafsir masyarakat yang tidak memahami apabila melihatkan anak autisme berwajah normal, namun memiliki perilaku luar kawal sehinggakan ada segelintir ibu bapa berasa malu tampil di khalayak, katanya.

Zuariyah mengakui, penerimaan masyarakat terhadap anak autisme masih terlalu jauh, malah beliau sendiri kurang gemar apabila ramai melabelkan anak autisme sebagai kurang upaya.

Ia kedengaran seperti prejudis sedangkan kanak-kanak ini kadangkala lebih bijak dan mempunyai kecenderungan lebih terhadap bidang muzik serta gajet elektronik.

Mengubah tanggapan negatif boleh dimulai dengan tindakan awal ibu bapa sendiri iaitu melalui bimbingan dan terapi khusus, bertujuan mengawal perilaku mereka.

Kanak-kanak autisme tidak boleh menjadi normal, mereka juga tidak boleh diubati tapi yang nyata, individu ini boleh diuruskan. Paling utama bagi anak autisme adalah bimbingan awal sebagai jaminan untuk anak itu berdikari di masa depan.

Dalam erti kata lain, kanak-kanak autisme perlu diajar menjalani kehidupan membabitkan semua aspek sama ada pengurusan diri, bermain juga bergaul dari awal, katanya.

Bagaimanapun, banyak pihak seakan terlupa, kanak-kanak ini akan membesar suatu hari nanti dan memerlukan program khas bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Selepas usia 19 tahun, apa program yang dapat menjamin kehidupan mereka malah Jabatan Kebajikan Masyarakat sendiri tiada rumah perlindungan khas untuk individu autisme kerana itu juga antara kebimbangan diluahkan ramai ibu bapa di mana anak autisme hendak menumpang hidup setelah mereka tiada lagi di dunia, katanya.

Naib Pengetua Nasom, Rusmawati Abdullah, berkata sekiranya kanak-kanak autisme dikesan dan dirawat secara perlahan pada peringkat awal usia lagi, mereka mungkin dapat menjalani kehidupan lebih baik.

Sehingga kini, ada penghidap autisme dapat dikesan seawal usia 18 bulan disebabkan wujudnya kesedaran di kalangan pengamal perubatan dan ibu bapa mengenainya, katanya.

Sejak 2005, Nasom menawarkan program pengesanan, penilaian dan diagnosis bagi pengesahan autisme bermula di Jalan Pahang dan kini di Pusat Sehenti Nasom-Kiwanis Autistik PJ, Setia Alam, Meru, Selangor, bermula November tahun lalu.

Kami di Nasom turut menggalakkan, anak autisme menjalani program intervensi awal selama enam bulan yang memfokuskan kepada kemahiran sosial dan urus diri, katanya.

Program ini disediakan bagi memenuhi keperluan kanak-kanak dan keluarga yang berkeperluan khas dalam lima bidang perkembangan iaitu perkembangan fizikal, kognitif, komunikasi, sosial dan emosi dan adaptasi.

Ada juga anak autisme menyertai Program Peralihan memenuhi kriteria berserta kelulusan Kementerian Pendidikan berpeluang meneruskan pelajaran di sekolah biasa terpilih.

Bagaimanapun, hanya mereka yang layak saja akan dibenarkan kerana kanak-kanak ini memerlukan sokongan tanpa ada sikap prejudis orang lain. Kita tidak mahu jika tersalah langkah akan menyebabkan keadaan mereka bertambah serius, katanya.

Program Sekolah Aliran Biasa itu dimulakan dengan kerjasama Nasom dan Kementerian Pendidikan sejak 2005 di 12 sekolah perdana terpilih di mana setiap sekolah terbabit dibekalkan alat bantuan mengajar bagi memastikan anak autisme tidak ketinggalan dalam pelajaran. Program Rumah turut dirangka Nasom, khusus bagi ibu bapa yang mengalami kesukaran menghantar anak ke sekolah khas.

Kami akan rangka program pendidikan individu berasaskan keperluan murid dan menjalankan penilaian berkala, katanya.

Sebagai bekalan, kemahiran hidup turut diajar melalui program vokasional khusus bagi anak autisme yang tidak berpeluang memasuki sekolah.

Tiga pusat menawarkan pendidikan vokasional turut ditubuhkan di mana mereka berpeluang mempelajari kemahiran tertentu seperti memasak, menyediakan makanan, membasuh pakaian, mengemas rumah, menjahit, menghasilkan kerja tangan dan kemahiran komputer.

Pusat ini juga menawarkan perkhidmatan untuk pelanggan yang ingin menyediakan diri bagi memasuki alam pekerjaan, katanya.

Bagaimanapun kata Rusmawati, kunci kejayaan dalam mendidik anak autisme adalah kesinambungan latihan dan kerjasama.

Hasil pasti akan kelihatan jika ibu bapa komited kerana ketahuilah bahawa anak istimewa ini tidak bodoh tapi mereka memerlukan bantuan untuk mempelajari kemahiran dalam tempoh masa tertentu.

Saya juga suka untuk mengingatkan ibu bapa supaya tidak mengasingkan anak autisme kerana tanpa pendedahan, masyarakat juga tidak akan terbuka dan faham, katanya.

Oleh Siti Nur Almizan Aripin
Sumber: BHarian [12/02/2013]

4 comments:

uncle berkata...

uncle suka baca info berkaitan penyakit autisme ...

caliph shuriken berkata...

noted.. nice sharing info ^^

ch000tz berkata...

tapi tak semua sedar akan hakikat ini...

Shidah berkata...

Tq for sharing.sdg research sbb ank sy ada sedikit tnda2 autisme ni...

rashidahjuhari.com