28 Mei 2012

Jangan Ambil Mudah Penjagaan Mata



BAGAIMANA caranya seseorang itu melindungi matanya dan memastikannya dalam keadaan sihat?

"Dapatkan nasihat daripada optometris bila timbul keperluan untuk penjagaan mata," nasihat Khairunisah Muda, seorang optometris dari syarikat Menara Optometry.

Menurut beliau, umum perlu prihatin tentang dua situasi yang boleh melibatkan mata iaitu patologi dan fisiologi.

Optometris ialah seorang yang dilatih secara profesional dan mempunyai lesen bagi memeriksa mata, mengesan masalah, memberi diagnosis tentang mata dan mengesyorkan rawatan bagi mata yang mempunyai masalah.


Situasi patologi pula memerlukan rawatan perubatan termasuk pembedahan dalam kes terbentuknya katarak manakala fisiologi memerlukan terapi penglihatan yang kebanyakannya memerlukan langkah membetulkan otot oftalmik yang lemah atau penglihatan kabur.


Pemakai kanta lekap menjalani ujian terlebih dahulu untuk pastikan sama ada mata mereka sesuai dengan kanta tertentu. - Gambar hiasan

Cermin Mata Gelap

Membeli cermin mata gelap merupakan pilihan ramai ketika ini. Ada juga yang memilih kaca mata yang murah dijual oleh penjaja tepi jalan.

"Sebagai pelancong, anda boleh beli dengan harga murah daripada peniaga di tempat yang dilawati. Saya mendapat pengalaman ini di beberapa negara Arab, yang cuacanya terang dan panas.

"Cermin mata gelap dijual dengan harga yang murah dibawah SR20 (Saudi Riyal) di Makkah dan Madinah. Dengan hanya SR10 (atau RM8), anda sudah boleh bawa pulang kaca mata itu," gadis belasan tahun Hazirah Abdul Rahman berkongsi pengalamannya.

Bagaimanapun bagi Hazirah Abdul Rahman, dia berjaya meyakinkan ibu bapanya agar membelikan sepasang cermin mata gelap dengan kanta kuasa, dua tahun lalu.

"Saya pilih jenama Fendi dan bapa saya terkejut besar bila mengetahui harganya lebih RM1,000. Saya rabun jauh, jadi cermin mata itu sudah tentu mahal sebab dipasang dengan kanta kuasa.

"Saya yakin cermin mata gelap seperti ini dapat melindungi mata kita daripada pancaran cahaya ultraviolet (UV) yang merosakkan," terang Hazirah.

Menyisipkan kanta ke dalam bingkai cermin mata adalah sesuatu yang menarik kini.

"Transisi kanta akan berubah mengikut tahap kepanasan dan ia bertindak sebagai pelindung terhadap pancaran UV seperti sepasang cermin mata gelap.Terdapat juga kanta indeks tinggi yang antisilau atau tidak memantul dan kanta yang lebih nipis bagi mereka yang penglihatannya perlu diperbetul dengan lebih kuasa.

"Ini membuatkan kanta tidak perlu tebal sangat, tidak perlu berat dan lebih bergaya selain mudah dilekatkan pada bingkai," jelas Khairunisah.

Pembekal Berdaftar

Beliau menasihati orang ramai agar mengelak daripada membeli cermin mata untuk membaca, kaca mata yang ada kuasa, cermin mata gelap dan kanta lekap daripada pembekal yang tidak berdaftar.

Dalam dunia teknologi tinggi kini, terdapat pelbagai jenis kanta untuk perlindungan seperti kanta dengan indeks tinggi, polikarbonat, trivex dan aspherix. Terdapat juga kanta dengan lapisan antisilau, tahan calar, berpolar, fotokromatik dan kanta UV-rawat.

Optometris Amir Husain Rahman Shariff, Pengarah Menara Optometry berkata, kanta bagi cermin mata gelap yang murah hanya dilapisi oleh warna gelap.

"Ia tidak selamat. Anda tidak dapat lihat matahari pun bila menggunakan kaca mata seperti ini.

"Tanyalah diri sendiri, kenapa guna cermin mata gelap sebegini? Adakah hanya untuk melindungi diri daripada pancaran cahaya UV?

"Pendedahan kepada sinar UV yang berlebihan akan membentuk katarak dan dalam amaun yang tinggi, ia boleh merosakkan kornea, kanta dalaman dan selaput retina," jelas beliau.



Kanta Lekap

Dulu, cermin mata dipakai bagi membantu mereka yang mempunyai masalah penglihatan terutamanya rabun dalam kalangan anak muda. Pemakai cermin mata pula mula memberikan keutamaan terhadap bingkai cermin mata disebabkan oleh citarasa terkini. Kemudian muncul pula generasi kanta lekap di mana remaja lebih berminat terhadap kanta lekap yang mempunyai warna.

"Kami mahu pemakai kanta lekap menjalani ujian terlebih dahulu, untuk pastikan sama ada mata mereka sesuai untuk kanta tertentu. Optometris akan menasihati mereka berbuat demikian," kata Khairunisah sambil menekankan jika tidak berhati-hati, pengguna kanta lekap boleh mencederakan matanya.

Hilang penglihatan kerana kecuaian dalam pemilihan kanta lekap yang sesaui adalah sesuatu yang malang sekali.

Optometris menasihatkan agar pengguna lebih berhati-hati bila membeli kanta lekap kerana terdapat beberapa prosedur yang perlu dipatuhi. "Mata pengguna kanta lekap tidak boleh kering kerana airmata boleh melegakan rasa tidak selesa bila memakai kanta lekap.

"Bagi mereka yang mempunyai mata agak kering adalah tidak sesuai menggunakan kanta ini. Sebab itulah penting mata mereka diperiksa oleh optometris terlebih dahulu," kata Khairunisah. — Bernama.

Oleh Hazlinda Hamzah
Sumber: BERNAMA , Utusan

7 comments:

StuntWomanWho :) berkata...

saya pakai kanta lekap , naseb doktor bagi :) kena rajin buat pemeriksaan lah :P

adeputra berkata...

nice info..tq

syiela berkata...

tu la kan kita ni kdg2 mmg abaikan penjagaan mata ni

Unknown berkata...

tulah..sy pun igt nak recheck balik power mata nih..

wuwuuwwuuwu

nice info ..
done follow u..
sudi-sudilah singgah blog sy ea...
:)

Unknown berkata...

iya ker nie , kene check...sebab pakai spec

Karen Monica berkata...

memang ramai yang abaikan penjagaan mata...termasuk puteri...hukk

ch000tz berkata...

pakai kontek lens ajer..sebab kalau pakai sepk dah macam kaknam hhahaha