06 Jun 2012

Penjagaan Kulit Daripada Ekzema



Kulitnya kemerah-merahan di beberapa tempat, kesan daripada digaru yang adakalanya mengeluarkan cecair. Lama kelamaan, kulit badan yang kemerah-merahan menjadi kering dan bersisik.

Alice (bukan nama sebenar) menanggung penderitaan ini sejak sekian lama. Ia bukan sahaja mengganggu kehidupannya, malah memberi kesan kepada penampilan, menyebabkan beliau kurang keyakinan diri. Paling teruk, keadaannya menjejaskan prestasi kerja kerana beliau kurang berkeyakinan untuk bergaul dan mengetengahkan diri.

Penderitaan Alice berpunca daripada 'dermatitis atopik' atau 'ekzema' yang dianggarkan hampir 20 peratus rakyat Malaysia didiagnos menghidapnya. Yang paling tinggi adalah dalam kalangan kanak-kanak.


EKZEMA ATOPIK - ENAM CIRI PENTING

Ahli Dermatologi Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Leong Kin Fon, menyenaraikan enam ciri penting yang mengesahkan seseorang individu itu menghidapi ekzema.

"Enam ciri utama itu ialah kering, kemerah-merahan, kulit gatal, merah berair dan radang berkala atau berulang-ulang disebabkan alahan, persekitaran dan genetik.

"Namun, keenam-enam ciri itu tidak akan berlaku secara serentak. Ia mengambil masa. Kadang kala, seseorang individu itu hanya mengalami kulit kering pada waktu awal. Kemudian lama-kelamaan ia menjadi gatal dan merah," katanya.

GENETIK DAN ALERGI MAKANAN

Merungkai lebih lanjut, Dr Leong memberitahu bahawa masalahnya ialah atopik, yang bermaksud penyumbang utamanya ialah genetik atau keturunan.

Ia berdasarkan kepada statistik yang menunjukkan kekerapan penyakit ini bermula dalam kalangan golongan kanak-kanak iaitu sebanyak 95 peratus di bawah usia lima tahun.

Melihatkan kegatalan kulit ialah simptom yang paling jelas, ramai membuat spekulasi bahawa ia disebabkan oleh alahan makanan walhal ia hanya sekadar faktor perangsang sahaja.

"Alergi makanan mungkin wujud sebanyak lima peratus dalam semua kes ekzema atopik dan makanan bertindak sebagai pencetus tetapi bukannya penyebab ekzema," jelas beliau.

KAWALAN

Tambahan pula kesan garu berterusan daripada kulit kering yang gatal boleh menyebabkan keradangan kulit yang kelihatan seperti luka. Lama-kelamaan kulit akan menjadi tebal kesan daripada garu berpanjangan.

Bahagian kulit yang biasa menampakkan kesan ialah di leher, tangan, dan bahagian bawah kaki, pelipat, abdomen dan bahagian yang selalu bergeser seperti buku lali dan tapak kaki.

Ditanya sama ada ekzema atopik boleh disembuhkan, Dr Leong berkata istilah 'penyembuh' tidak ada dalam kamus ekzema atopik, namun ia boleh dikawal sekiranya langkah awal diambil.

"Bagi penghidap ekzema atopik, mereka perlu sentiasa menggunakan pelembap. Ia sangat penting kerana membantu mengekalkan kelembapan di samping perlindungan optimum terhadap kulit.

"Namun, sekiranya penghidap sudah mengalami tahap keradangan kulit mereka perlulah mengambil krim berubat dan bergantung kepada tahap jangkitan, pengambilan antibiotik dan antiseptik mungkin diperlukan," katanya.

Dengan langkah kawalan sebegini, statistik menunjukkan sebanyak 70 peratus mereka yang menghidap masalah ini sebelum umur lima tahun, dilaporkan bertambah baik dan tiada masalah menjelang usia 15 tahun, manakala 30 peratus lagi masih terus diganggui hingga dewasa.

Ini kerana, terdapat segelintir penghidap memberhentikan proses rawatan kerana merasakan diri sudah sembuh, sedangkan jika tidak dikawal, ia akan berulang dan berlarutan berbulan atau bertahun lamanya.

BANYAKNYA PELEMBAP

Seperti dimaklumkan, penggunaan pelembap sangat penting dalam ekzema atopik bagi mengekalkan kelembapan kulit penghidap. Namun, mungkin timbul kekeliruan dalam kalangan penghidap mengenai pelembap yang bersesuaian.

Kalau dilihat di pasaran ketika ini, pelbagai jenama pelembap dijual khusus untuk kulit kering dari harga paling murah RM10 sehinggalah beratusan ringgit. Oleh itu timbul soalan pelembap yang mana paling berkesan untuk penghidap ekzema?.

Untuk itu, Dr Leong memberikan panduan berguna: krim itu haruslah tidak melekit ataupun terlalu cair dan tiada pewangi.

Bagaimanapun, pelembap sahaja tidak berkesan kerana gaya hidup penghidap juga memainkan peranan. Dengan keadaan cuaca iklim tropika, pencemaran alam sekitar, gaya hidup sibuk, pemakanan tidak seimbang dan kesan penyaman udara juga boleh menjurus kepada peningkatan kesan ekzema atopik.

Disebabkan itu, pendidikan dan pengetahuan berkaitan dengan masalah ini amat penting bagi mengelakkan mereka daripada membeli barang seperti sabun dan pencuci muka yang mengandungi bahan kimia tinggi yang boleh memberi kesan kepada kulit penghidap.

PHYSIOGEL-SECARA SEMULAJADI

Bagi membantu mengurangkan simptom yang kurang menyenangkan dan tidak selesa dihadapi oleh mereka yang mengalami masalah kulit termasuk penghidap ekzema atopik, 'physiogel' mungkin dapat membantu.

Physiogel ialah pelembap yang dihasilkan menggunakan teknologi Derma Membrane Structure (DMS)dan mengandungi lipid semula jadi menyerupai blok binaan kulit bagi memperbaiki kulit terhidrat.

"Tidak seperti kebanyakan pelembap konvensional yang menyediakan lembapan sementara, Physiogel membaiki kulit kering, menghidrat semula kulit dengan mengekalkan kelembapan sehingga tiga hari dan menyegarkan kulit agar sihat," kata Pengurus Kanan Produk-Unit Dermatologi, Rangkaian Stiefel OTC, Florence Chan.

Ini kerana, penghadang lipid kulit yang sentiasa terdedah kepada kerosakan, memerlukan bekalan lipid berterusan bagi mengekalkan kelembapan kulit dan memberikan perlindungan optimum terhadap bakteria serta perengsa luar.

Digabungkan dengan ciri hipoalergenik dan tanpa bau, physiogel boleh didapati di farmasi dan hospital seluruh negara.

Oleh Sakini Mohd Said
Sumber: BERNAMA [28/5/2012]

6 comments:

Unknown berkata...

koding kawan PPP anak2 dia suma ada penyakit ni kesian budak2 asik kuar masuk hospital jer :P

Munira Yaakop berkata...

takutnya...mnta2 d jauhkan.kesian tgk pic baby 2 =(

Unknown berkata...

alaa...anak buah sy ader kene mcm nie , gatal sgt !

Unknown berkata...

hurm..kwn nurul pun ada penyakit nih..kesian!

Unknown berkata...

kesian kt baby

Karen Monica berkata...

memang rasa simpati pada sesiapa yang ada penyakit seperti ini