28 Julai 2012

Diesel BioPro Pilihan Mesra Alam



Minyak diesel BioPro yang dihasilkan daripada sisa kelapa sawit oleh sekumpulan penyelidik tempatan mempunyai potensi besar dalam menyumbangkan kepada tenaga hijau masa hadapan.

Diesel BioPro yang menepati standard wasap EURO, adalah hasil daripada penyelidikan selama 12 tahun yang dilakukan oleh sekumpulan saintis daripada Jabatan Kejuruteraan Kimia Universiti Malaya (UM).

Selain menawarkan bahan api alternatif, Diesel Biopro juga mampu menyelesaikan satu masalah besar yang dihadapi industri kelapa sawit - bagaimana melupuskan sisa buangan daripada kilang pemproses minyak sawit.


SATU PENEMUAN BERPOTENSI

Minyak diesel daripada sisa kelapa sawit ini dihasilkan melalui bioproses tanpa penggunaan bahan kimia. Ia dihasilkan melalui penggunaan enzim dan proses yang melibatkan tekanan dan suhu yang rendah.

Oleh itu Diesel Biopro boleh dianggap sebagai tenaga hijau lestari dan ia mampu menggantikan diesel konvensional tanpa penggunanya perlu mengubahsuai enjin kenderaan.

BioPro boleh diisi terus ke dalam tangki minyak kereta, lori, traktor, bas, lokomotif, bot nelayan, janakuasa dan kilang-kilang.

"Proses ini agak ringkas dan murah. Kilang perintis untuk memproses diesel jenis BioPro terdapat di Fakulti Kejuruteraan UM," jelas ketua projek Dr.Ishenny Mohd Noor sambil diperhatikan Dr. Brahim Si Ali, kedua-duanya dari jabatan kejuruteraan kimia UM.

Selain itu, diesel BioPro sebenarnya menawarkan satu penyelesaian yang menarik untuk pengendali kilang minyak sawit dalam melupuskan sisa kelapa sawit.

Sekarang ini sisa kelapa sawit dibuang ke dalam kolam buatan manusia di ladang dan apabila ia penuh, ia akan dikambus dan kolam baru pula akan digali.

"Cara pelupusan ini tidak mesra alam malah boleh membawa mudarat kepada tanah di sekitar ladang," jelas Dr. Badrul M. Jan, seorang lagi pengkaji bersama bagi projek diesel BioPro di UM.



PELBAGAI KELEBIHAN DIESEL BIOPRO

Para pengkaji ini memaparkan pelbagai kelebihan diesel BioPro. Diesel ini dikelaskan sebagai yang terbaik bila dibandingkan dengan diesel komersial yang menepati standard wasap Euro 2M dan Euro 4M.

Antara kelebihan BioPro adalah ia tidak menyebabkan tembaga terhakis sedangkan persaing-pesaingnya mencatatkan ciri hakisan tembaga.

Selain itu, diesel ini mencatatkan bacaan sifar bagi mendapan mikro karbon berbanding dengan diesel biasa yang menepati Euro 2M dan Euro 4M.

Kandungan asid turut diperhatikan lebih rendah bagi BioPro iaitu 0.2 mg/KOH/g sedangkan diesel lain merekodkan nilai maksimum 0.25.

SUPRA-BERSIH

Diesel BioPro ini didapati kurang mengeluarkan jelaga ketika ia melalui ujian asap dan ini satu-satunya ciri yang harus dibanggakan kerana akan membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar. Dalam ertikata lain ia bahan api supra bersih.

Kajian bandingan antara diesel BioPro dan diesel konvensional yang dilakukan menggunakan kenderaan Mitsubishi 'pickup' berusia 10 tahun menunjukkan kos untuk perjalanan sejauh 100 kilometer dengan diesel biasa ialah RM28 (USD9) manakala penggunaan BioPro menyaksikan penjimatan sebanyak RM12 (USD4) bagi jarak yang sama.

"Penjimatannya hampir 45 peratus dan kebaikannya memihak kepada diesel BioPro yang berjaya kami temui dalam usaha menyelesaikan masalah melupuskan sisa kilang sawit. Dan ia ternyata menguntungkan kerana minyak supra-bersih ditemui daripada sisa kilang sawit yang tidak dikehendaki lagi," jelas Badrul.

Selain itu, RPM atau putaran seminit enjin kenderaan menunjukkan RPM yang dicapai oleh BioPro adalah 500 RPM lebih rendah semasa bergerak pada kelajuan 100 kilometer sejam berbanding menggunakan diesel konvensional.

CEKAP

Sumber tenaga yang lebih cekap sentiasa menjadi pilihan malah ia terus menerus dicari dan dikaji.

Kandungannya yang 100 peratus sisa kilang sawit membezakan diesel jenis BioPro daripada Biodiesel yang mengandungi 80 peratus diesel dan 20 peratus minyak kelapa sawit.

"Satu lagi kelebihan BioPro adalah proses ini menghasilkan produk sampingan iaitu air dan sisa yang boleh digunakan sebagai baja. Inilah yang dipanggil inovasi mentransformasi sisa kepada kekayaan.

"Baja dan air ini boleh digunakan semula oleh syarikat yang terlibat dalam industri ini," jelas Ishenny sambil merujuk kepada data yang diperoleh bersama pasukan penyelidiknya.

Ishenny dan rakan-rakan penyelidiknya menganggarkan jika kesemua 420 buah kilang sawit di negara ini menghantar sisa sawit mereka untuk diproses menjadi diesel BioPro, pendapatan tahunan daripada BioPro akan mencecah hampir RM40 bilion setahun.

Untuk menghasilkan 25 tan diesel BioPro ini setiap hari, kilang pemprosesan sisa sawit ini memerlukan pelaburan sehingga RM12 juta.

Walaupun begitu, pulangan daripada pelaburan itu dapat dinikmati dalam jangka panjang dan ia merupakan satu pelaburan yang pasti tidak sia-sia.

Oleh kerana diesel ini tidak pula memerlukan pengubahsuaian pada enjin kenderaan, ini akan memudahkan proses peralihan kepada diesel jenis BioPro.

Bolehkah BioPro menggantikan diesel konvensional pada satu hari nanti? Tidak mustahil tetapi ia pasti akan mengambil masa untuk menghalusi lagi diesel BioPro dan meyakinkan pengguna dan pengeluar akan potensi diesel ini.

Oleh Hazlinda Hamzah
Sumber: BERNAMA [13 Julai 2012]

1 comments:

Unknown berkata...

cepat2 lah d komersial kan