27 Julai 2012

Puasa Tetapi Tidak Solat


Tanpa solat, ibadah puasa jadi adat dan ikutan hanya dapat lapar dan dahaga

Amalan puasa orang yang tidak solat, rosak dan tidak diterima Allah kerana ibadah lain hanya akan dilihat Allah selepas ibadah solat. Bagaimanapun, jangan terkejut kerana ramai hari ini yang berpuasa tetapi meninggalkan kewajipan solat.

Pakar motivasi, Halim Din, berkata 80 hingga 85 peratus mereka yang berpuasa tidak menunaikan solat kerana berasakan kewajipan lima kali sehari itu payah untuk dilaksanakan. Sedangkan katanya, nilai ketinggian seorang hamba di sisi Allah dinilai daripada kesempurnaan solat mereka.

"Untuk melihat ibadah lain, Allah akan lihat solat dulu. Jika tidak solat, ibadah lain Allah tidak akan lihat. Malangnya, umat hari ini beriya-iya berpuasa, tetapi tidak solat. Mereka hanya dapat lapar dan dahaga saja," katanya.


Menurut Halin Din, soalan berkaitan berpuasa, tetapi tidak solat sering ditanyakan selain beberapa perkara yang dilihat sebagai remeh membabitkan ibadah puasa seperti adakah kentut atau mengorek telinga membatalkan puasa.

Orang Islam kian jahil

Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan orang Islam kian jahil perihal agama dan puncanya ialah sikap ambil mudah selain malas belajar untuk meningkatkan ilmu pengetahuan yang akan mengeluarkan diri daripada kegelapan.

Halim berkata, sepatutnya sebelum kedatangan Ramadan, umat Islam sudah bersedia menelaah bab puasa termasuk perkara membatalkan puasa dan lebih penting, perkara membatalkan pahala puasa seperti digariskan Al-Ghazali dalam kitab tasaufnya.

Disebabkan malas belajar, nilai ibadah kini dilihat lebih sebagai adat atau amalan ikut-ikutan bukan ibadah sebenarnya yang mempunyai hikmah serta matlamat menunaikannya iaitu mendapatkan keredaan Allah.

Beliau memberi contoh jemaah solat tarawih yang jumlahnya ramai pada 10 malam pertama, tetapi kian berkurangan minggu berikutnya dan keadaan bertambah menyedihkan malam-malam terakhir Ramadan.

Satu minggu pertama masjid meriah dengan jemaah, tetapi masuk minggu kedua, kita jadi hairan ke mana perginya yang ramai itu. Cuba kita renungkan kerana inilah yang dilihat apabila amalan hanya ikut-ikutan.

"Lebih menyedihkan ketika akhir Ramadan bunyi mercun dan lagu raya lebih kuat hingga sudah tidak mempedulikan tarawih atau tazkirah. Apabila kita langsung tidak ambil peduli ilmu inilah yang berlaku," katanya.

Ilmu pacu umat ke depan

Beliau berkata, jika umat Islam mempelajari asas difardukan ibadat, mereka akan melakukan ibadat puasa dalam keadaan mengetahui dan tidak kira apa yang datang, ia sedikit pun tidak akan menggugat puasa mereka.

Katanya, ilmu akan memacu umat Islam ke depan dan dalam aspek ibadat mereka boleh melihat peningkatan dari sudut kualiti puasa serta sentiasa berusaha memastikan ibadat itu diterima Allah.

Halim turut berkongsi pengalaman ketika di Pusat Zakat Selangor, berdepan isu bayaran kafarah oleh suami yang bersetubuh dengan isteri pada siang hari Ramadan kerana tidak menyangka masih berlaku perkara seperti itu.

Syor umat timba ilmu agama

"Saya ingat sudah tiada kes bersetubuh pada siang Ramadan, tetapi masih berlaku. Jika orang ada ilmu mereka akan faham tetapi disebabkan tidak mempunyai ilmu dan tidak mahu belajar, itu yang hancur," katanya.

Kafarah bagi suami yang bersetubuh dengan isteri pada siang Ramadan ialah memerdekakan hamba, jika tidak mampu puasa dua bulan berturut-turut dan jika tidak mampu, memberi makan kepada 60 orang miskin.

Justeru, beliau menasihatkan umat Islam supaya menggunakan akal, iman dan hati untuk menimba ilmu supaya mereka tahu tujuan amal ibadat yang dilakukan, bukan beramal kerana terikut-ikut atau sekadar meneruskan budaya.

Sumber: BHarian

Keliru antara amalan agama dengan warisan moyang



Seseorang yang bersembahyang lazimnya berpuasa. Yang berpuasa pula tidak semestinya bersolat.

Prof Dr Hamka (Haji Abdul Malik Karim Amrullah - 1908-1981) menerusi dua buku yang dihasilkan pada 1939, Tasawuf Moden dan Falsafah Hidup menjelaskan sikap sebenar segelintir Melayu yang kurang memahami antara budaya dan hukum agama.

Mereka sering keliru amalan agama, lalu bercampur baur dengan hukum adat, feudalisme dan mitos. Gerakan sekular yang menyerang Nusantara sejak abad ke-19 menjadikan Melayu kian keliru antara zaman lampau dan era moden.

Ramadan hanya setahun sekali. Justeru, menurut Hamka, ramai berlapar dan menikmati juadah berbuka puasa pada Maghrib. Orang yang tidak solat pun turut berpuasa kerana amalan masyarakat persekitaran sejak ratusan tahun.

Golongan yang solat pula tentunya tidak meninggalkan ibadat puasa kerana roh agama yang kental dalam dirinya. Hamka melihat Melayu sebagai masyarakat yang sering diancam perubahan, tetapi masa sama gagal membezakan amalan agama dan adat.

Analogi amalan agama dan warisan tradisi juga menjadi polemik dalam buku The Malay Dilemma karya Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1970. Segelintir Melayu bukan saja taksub kepada agama, juga cara beramal dan warisan lama. Pada masa sama mereka tidak diberi peluang melaksanakan agenda lebih besar berasaskan faktor sejarah penjajahan British.

Ada ketika agama menjadi alat memesongkan pemikiran Melayu. Mitos memburu kebendaan dan membelakangi akhirat menyebabkan ada segelintir terpesong ajaran Islam dengan menyertai kumpulan berzuhud sehingga pagi dan tidak melakukan sebarang pekerjaan yang boleh mengukuhkan ekonomi ummah.

Mereka memberi alasan mendekati Allah dan meninggalkan unsur keduniaan yang melampau. Dari sini lahirlah ajaran sesat yang bukan saja boleh menimbulkan keriuhan dari segi pegangan agama, malah melahirkan sekian banyak Imam Mahdi dan Rasul Melayu.

Pada hari ini budaya digital dan teknologi maklumat tidak terkecuali memberi cabaran bentuk baru. Melayu terperangkap antara amalan agama, warisan tahyul dan cabaran sekularisme. Media baru tidak terkecuali dengan jaringan tertentu.

Jika Hamka menimbulkan kontradiksi antara amalan puasa dan solat, cabaran sekarang adalah bagaimana Melayu menyesuaikan diri dengan persekitaran dunia tanpa sempadan. Cabaran globalisasi bukan sekadar isu puasa dan solat, tapi bagaimana menyesuaikan agama sebagai sumber kekuatan ummah.

Amalan agama dan tradisi ada masanya saling bercanggah. Dalam amalan Islam, majlis berbuka puasa digalakkan di masjid yang tentunya disudahi dengan solat fardu dan sunat Tarawih. Masyarakat Melayu luar bandar pula menganjurkan majlis berbuka puasa di rumah untuk golongan miskin menikmati juadah.

Ia budaya Melayu yang tidak bercanggah dengan amalan Islam. Bagaimanapun ia menjadi isu apabila sambutan Aidilfitri lebih meriah daripada Ramadan, membabitkan hiburan dan pembaziran.

Pembentukan Melayu baru pada dekad 80-an menjadikan tradisi Melayu perlu dibaca dengan sifat yang baru. Mereka menganjurkan majlis berbuka puasa dan sambutan Aidilfitri di tempat eksklusif. Tetamu hanya yang dijemput. Pakaian juga ditentukan dalam kad jemputan; pakaian Barat atau batik.

Dalam keadaan begini ungkapan agama dan warisan tradisional memerlukan tafsiran semula. Tentunya Hamka tidak sempat mengkaji minda Melayu baru kerana Allah menjemputnya pada 24 Julai 1981, hanya lapan hari selepas pelantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Oleh: Imlan Adabi
Sumber: BHarian

4 comments:

Unknown berkata...

Koding... setuju... kalau mcm tu baik la x yah posa kan :/

Jahirah berkata...

kena seimbangkan dua2...

Cik Kay Jue berkata...

tu la..sedih la dengan umat islam hari ni.. da semakin ambil tak peduli tentang solat ni...

caliph shuriken berkata...

smoga ibadah kita sepanjang ramadhan x jadi sia2...