10 Julai 2012

Imej Baru Tingkatan Enam



Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendidikan tingkatan enam akan melalui penjenamaan semula bagi meningkatkan imejnya sejajar dengan sistem pendidikan prauniversiti seperti di kolej matrikulasi dan pusat asasi sains.

Imej pelajar tingkatan enam yang lengkap berpakaian seragam sekolah putih dan biru akan berakhir sebaik kerajaan melaksanakan penjenamaan semula pendidikan berkenaan seiring dengan sistem pendidikan prauniversiti lain seperti di kolej-kolej matrikulasi dan pusat asasi sains.


Pusat pengajian khas

Perubahan besar yang bakal dilakukan kerajaan ialah dengan memisahkan pelajar tingkatan enam daripada pelajar tingkatan satu hingga lima di sekolah sedia ada untuk ditempatkan di pusat pengajian khas.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penjenamaan semula sistem pendidikan tingkatan enam dibuat dengan matlamat untuk meningkatkan imej, sistem dan kualiti pendidikan tersebut sejajar dengan sistem pendidikan prauniversiti lain.

Pemisahan pelajar tingkatan enam dengan sekolah biasa ialah untuk meningkatkan imej sistem dan kualiti pendidikan tingkatan enam. Faktor lain ialah jumlahnya yang ketika ini bertaburan di seluruh negara, selain ada sekolah tertentu hanya mempunyai satu atau dua kelas.

Selain dipisahkan dari sekolah menengah sedia ada, pelajar tingkatan enam juga akan dididik oleh golongan guru yang berbeza.

Mereka juga akan menggunakan pakaian berbeza, jadual waktu yang tidak sama dan guru berlainan berbanding sekolah sekolah biasa.

Tempoh pembelajaran yang lebih singkat

Kerajaan juga bersedia untuk mengkaji kemungkinan tempoh pembelajaran pendidikan tingkatan enam dipendekkan enam bulan lebih awal seperti mana yang dilalui oleh pelajar-pelajar matrikulasi.

"Kita akan lihat balik struktur sistem tingkatan enam di sekolah kita yang sedia ada. Pada masa ini, pelajar tingkatan enam adalah lanjutan daripada tingkatan lima sedangkan pelajar tingkatan enam sudah lebih dewasa, kematangan mereka juga sudah berbeza.

Matlamat Penjenamaan Semula

Keperluan mengubah sistem pendidikan itu juga jelas Timbalan Perdana Menteri, amat penting untuk mengubah persepsi sebilangan besar masyarakat bahawa pendidikan di peringkat matrikulasi jauh lebih baik berbanding tingkatan enam.

Menurut Muhyiddin, persepsi berkenaan harus dikikis memandangkan kelulusan dan kelayakan mereka untuk bersaing melanjutkan pelajaran ke universiti adalah sama.

“Ketika ini tingkatan enam dilihat kesinambungan daripada tingkatan lima, sedangkan sebenarnya mereka sudah dewasa dan matang. Walaupun pelajar tingkatan enam bersekolah di premis sama dengan pelajar sekolah menengah, namun Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) setaraf kolej matrikulasi,” katanya.

Beliau turut menarik perhatian pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya melihat pendidikan tingkatan enam sebagai platform terbaik bagi pendidikan prauniversiti.

Persepsi masyarakat sekarang ialah pendidikan di kolej matrikulasi lebih baik berbanding tingkatan enam, sedangkan kelulusan dan kelayakan mereka untuk bersaing ke universiti awam adalah sama.

Justeru, masyarakat tidak harus melihat pendidikan matrikulasi mempunyai kelebihan kerana ada masanya pencapaian pelajar tingkatan enam lebih cemerlang daripada pelajar matrikulasi.

Tingkatan enam sepatutnya menjadi pentas bagi melatih para pelajar supaya mereka lebih berdikari dan dapat menyesuaikan diri dengan sistem pembelajaran di universiti.

"Kualiti sistem pendidikan tingkatan enam setanding dengan pengajian matrikulasi selain kelulusan STPM turut mendapat pengiktirafan universiti luar negara. Jangan lihat seolah-olah matrikulasi sahaja ada kelebihan, tingkatan enam juga ada kelebihan," tegas Muhyiddin yang merupakan produk tingkatan enam dari Sekolah Tinggi Muar.

Sumber: Utusan [05/07/2012], KosmoBHarian

Berbaju Sekolah

SESIAPA yang pernah menjadi pelajar Tingkatan Enam pasti ada menyimpan perasaan malu ketika berpakaian seragam sekolah dalam usia 18 -20 tahun ketika itu.

Pakaian sekolah inilah antara faktor yang tidak merangsang ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pelajaran ke peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Walaupun sudah ada penambahbaikan dari segi kurikulumnya yang mesra pelajar, sistem peperiksaan dirombak ikut sistem semester, kos pengajiannya murah, yurannya ditanggung oleh kerajaan, tetapi soal berpakaian seragam sekolah dilihat sudah tidak relevan dengan perkembangan semasa.

Pakaian baju putih, seluar panjang hijau tua bagi lelaki dan baju kurung putih dan berkain biru laut bagi perempuan - masih melekat di tubuh pelajar 'dewasa' sekolah menengah sampai sekarang. Hakikatnya mereka juga ada perasaan untuk bergaya.

Apabila melihat rakan sebaya yang menuntut di pusat asasi, matrikulasi atau kolej universiti serta institut pengajian yang menawarkan sijil pun, mereka berpakaian biasa. Kalau ada pakaian seragam pun pakaian mereka tidak sama dengan pakaian sekolah.

Kita mahu melihat pelajar tingkatan enam berubah imej dengan pakaian kemas dan berkasut hitam. Seluar jeans dan baju T tidak dibenarkan. Dengan perubahan sedemikian tidak nampak lagi perbezaan pelajar tingkatan enam dengan rakan sebayanya di peringkat prauniversiti.

Tiada beza nilai sijil STPM dengan sijil matrikulasi, cuma yang membezakan mereka ialah sistem pelajaran, tempat belajar dan pakaian seragam.

Sumber: Utusan

Pendapat Mereka

Lok Yim Pheng, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berpendapat sekarang merupakan masa yang tepat bagi kerajaan melakukan penstrukturan semula terhadap tingkatan enam supaya setaraf dengan pendidikan pra universiti.

"Kena struktur lebih teratur supaya kokurikulum dan akademik menjadi seimbang dan tidak seperti sekarang yang mana bagi tingkatan enam mereka lebih menekankan akademik berbanding kokurikulum," katanya.

"Jika kerajaan mahu tempoh pembelajaran tersebut sama dengan matrikulasi atau pusat asasi yang ada sekarang, mereka perlu meneliti setiap dasar kokurikulum dan silibus sedia ada kerana silibus sekarang banyak dan ia perlu dipendekkan supaya dapat dihabiskan dalam tempoh masa yang ditetapkan," katanya.

Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat, Mohamed Sabri Mohd Arsad berpendapat pelajar tingkatan enam di sekolah harian sepatutnya diberi layanan istimewa berbanding pelajar tingkatan lain, dengan kemudahan-kemudahan setaraf dengan pelajar kolej matrikulasi atau pun mahasiswa peringkat diploma di institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya sememangnya pelajar tingkatan enam setaraf dengan pelajar matrikulasi dan diploma yang mana mereka perlu diasingkan dengan bangunan baru atau pun menubuhkan satu lagi sekolah khususnya untuk pelajar tingkatan enam dan dilengkapi dengan kemudahan asrama.

"Kebanyakan sekolah yang mempunyai pengajian tingkatan enam terletak di kawasan bandar, pelajar yang tinggal di kawasan kampung terpaksa berulang-alik dan mengambil masa lama dalam perjalanan ke sekolah," katanya.

Beliau juga berkata kelayakan guru yang mengajar tingkatan enam juga amat penting kerana pada masa ini, kebanyakan guru tingkatan enam pada masa yang sama turut mengajar tingkatan lain di sekolah menengah harian.

"Setakat ini tiada masalah bagi bilangan guru yang mengajar tingkatan enam di seluruh negara tetapi jika guru-guru diberi pengkhususan dalam mengajar subjek tingkatan enam sahaja, mutu pembelajaran dan proses pengajaran akan menjadi lebih berkesan," katanya.

Mohamed Sabri berkata memandangkan struktur penilaian tingkatan enam tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada prestasi peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan berdasarkan kepada penilaian berterusan mencakupi kerja kursus, maka tugas guru tingkatan enam akan menjadi lebih berat dan tidak hanya kepada tugas mengajar sahaja.

Sumber: BERNAMA

2 comments:

amranaiman berkata...

costing ni nk bina kawasan baru.. tp xtau la kot ade byk duit.. idea nk wat kelainan formy6 ni mmg bernas.. :)

caliph shuriken berkata...

klau dulu form 6 ni kira last option sbb x dpt msuk universiti, huh...