10 Ogos 2012
Bersederhana Ketika Berbuka Puasa Dan Sambut Raya
Umat Islam diseru ganti sikap boros dengan amalan bersedekah
Ramadan, adalah bulan mulia yang bukan sahaja afdal lebih daripada 1,000 bulan tetapi juga bulan pentarbiah diri seluruh umat Islam agar mencari seberapa banyak pahala daripada pengisian ibadat yang amat unik dan istimewa ini.
Salah satu hikmat kedatangan Ramadan adalah menganjurkan umatnya agar bersederhana dalam berbelanja terutama untuk persiapan berbuka dan bersahur. Pada bulan Ramadan inilah kita perlu mempraktikkan sikap berhemah berbelanja yang sebenarnya.
Jika sebelum Ramadan, kita makan empat kali sehari, pada bulan ini kita hanya perlu mengeluarkan perbelanjaan untuk dua kali makan sahaja, iaitu waktu berbuka dan bersahur.
Boros
Namun, bagi segelintir daripada kita, perkara sebaliknya pula yang berlaku. Perbelanjaan dapur meningkat berganda berbanding hari-hari biasa. Ramai yang tunduk pada nafsu hingga menyebabkan kepelbagaian juadah berbuka yang disediakan berlebihan sehingga berlaku pembaziran.
Amalan boros sering dilihat setiap kali menjelang Ramadan. Boros dalam aspek makanan dan minuman, terutama sekali ketika membuat persiapan berbuka puasa, sama ada ketika membeli atau menyediakan makanan dan minuman melebihi keperluan hingga tidak mampu dihabiskan.
Seperti biasa, ketika berbuka dapat disaksikan ramai yang menikmati juadah seperti berpesta makanan dengan pelbagai macam hidangan.
Akibat makan terlalu banyak ketika berbuka, apabila hendak melaksanakan ibadah, mata mulai berat akhirnya menggagalkan mereka melaksanakan ibadah sunat yang amat dituntut pada Ramadan ini.
Meskipun berbelanja itu menjadi hak seseorang, tetapi hakikatnya Islam memandang perkara ini sebagai pemborosan melampau yang membawa kepada pembaziran. Bahkan ia telah melebihi had kecukupan atau keperluan seseorang.
Membeli pelbagai jenis makanan dan minuman kadangkala agak keterlaluan dan melampaui batas. Bagaimana ruang perut manusia yang begitu sempit dapat dimasukkan semua jenis makanan dan minuman, sekali gus akan berbaki atau lebihan makanan dibuang.
Makanan adalah sesuatu yang amat bernilai kerana ia adalah rezeki Allah SWT yang harus dihargai. Semua agama di dunia ini juga menolak penganutnya daripada suka berboros dan melakukan pembaziran.
Menurut kajian pada 2006, lebihan makanan membentuk hampir separuh buangan pepejal di negara ini. Daripada hampir 20,000 tan buangan pepejal yang dihasilkan setiap hari, 45 peratus terdiri daripada makanan yang dibuang.
Menyediakan sendiri juadah berbuka di rumah lebih menjimatkan, berbanding membeli makanan di bazar Ramadan yang yang dijual dengan terlalu tinggi harganya. Bagi yang berkeluarga berbuka puasa di rumah dapat mengeratkan lagi hubungan sesama ahli keluarga.
Sesedap mana makanan itu sekalipun, yang penting ialah keredaan Allah SWT kepada kita dalam menjalani ibadah puasa secara keseluruhannya.
Pada bulan puasa ini juga terdapat segelintir daripada kita, terutamanya yang tinggal di bandar-bandar besar menjadikan amalan berbuka puasa di hotel dan restoran mewah sebagai gaya hidup.
Berbuka di luar
Tidak salah berbuka puasa di luar, sekiranya dirancang dengan sebaik-baiknya. Ini termasuklah memilih tempat berpatutan harganya, ingin mengubah selera pada hari-hari tertentu dan yang penting juga, ia menyediakan kemudahan untuk bersembahyang.
Bukan setakat bersiap siaga untuk menyediakan juadah berbuka dan bersahur, Ramadan begitu besar maknanya bagi kita untuk bermuhasabah diri. Tidak akan lengkap sekiranya kita tidak membuat penilaian terhadap perbuatan atau perilaku kita yang dilakukan sehari-harian dalam bulan Ramadan yang mulia ini.
Aspek yang perlu kita tanyakan kepada diri kita ialah sejauh mana amalan nilai-nilai murni telah meresap dalam jiwa kita seterusnya menjadi amalan perlakuan kita seharian.
Muhasabah pemikiran yang paling mudah ialah berfikir sama ada kita telah memenuhi tuntutan dalam menghargai nikmat yang kita peroleh dan bersyukur dengan apa yang telah dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada kita.
Belanja Berkhemah
Untuk bersederhana ketika berbelanja untuk majlis berbuka puasa atau membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri, kita perlu berusaha menghad dan mengawal kemahuan diri yang tidak terhad terlebih dulu.
Caranya ialah dengan berusaha menghapuskan nafsu jahat seperti nafsu ammarah, lawwamah atau mulhamah dan menggantikannya dengan nafsu baik (mahmudah), seperti nafsu mutmainnah, radhiyah, mardhiyah dan kamilah.
Hal ini boleh dilakukan dengan membersihkan hati (tazkiyah al-nafs). Apabila kemahuan mampu dihadkan, kepenggunaan pun dapat dihadkan. Akhirnya hal ini membawa kepada sikap berjimat cermat dan mengguna sekadar keperluan untuk memenuhi kemudahan hidup.
Justeru, mereka tidak lagi berbelanja atau mengguna secara berlebih-lebihan (boros) sehingga membawa kepada pembaziran. Amat mendukacitakan apabila pembaziran dilakukan ketika ada segelintir ahli masyarakat terlalu memerlukan bantuan.
Kedua, sentiasa mengingati dan mengenangkan nasib saudara seagama yang berbuka puasa atau menyambut Aidilfitri dalam keadaan serba kedaifan. Mereka juga ingin menjamah makanan yang lazat dan pakaian baru seperti orang lain.
Namun, kedaifan mereka membuatkan mereka berbuka dan beraya dengan makan dan pakai apa saja yang ada. Oleh itu, alangkah baiknya jika kita menghapuskan amalan pemborosan dan pembaziran dengan menggalakkan amalan kebajikan seperti bersedekah. Sedikit bantuan atau sumbangan dihulurkan, Allah SWT akan menyediakan ganjaran pahala berlipat kali ganda.
Amalan sebegini secara tidak langsung akan menggambarkan tujuan sebenar Allah SWT mensyariatkan puasa Ramadan, seterusnya melahirkan masyarakat penyayang dan berwawasan.
Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan berikanlah kepada keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang Muslim dan orang yang dalam perjalanan; dan janganlah kamu membelanjakan (hartamu) secara membazir (boros).” (Surah al-Isra’, ayat 26)
Allah SWT menggalakkan amalan bersedekah dan melarang amalan berbelanja secara berlebihan sehingga membawa kepada pembaziran. Oleh itu, marilah bersama meninggalkan sesuatu yang keji dan mengamalkan yang baik lagi terpuji.
Renung nikmat
Puasa di bulan Ramadan mengajar kita merenungi bahawa betapa banyak nikmat yang telah kita terima selama hayat kita dan sejauh mana kita telah bersyukur dengan kenikmatan tersebut.
Inilah kejayaan Islam mendidik peribadi mulia dan amanah. Kemuliaan Ramadan dapat dilihat daripada sudut amalan umat Islam seperti bersolat menganjurkan iftar, berterawih, bersedekah, bertadarus al-Quran dan banyak lagi amalan khususiah yang dilakukan umat Islam.
Hampir sebulan mengikuti institusi Ramadan, umat Islam akan pula meraikan Aidilfitri. Amat rugilah orang yang langsung tidak mengambil pengajaran daripada falsafah Ramadan itu sendiri. Pastinya jelas kegirangan dan kegembiraan tersemat dalam hati Muslimin dan Muslimat sekalian kerana kemenangan di hari yang mulia ini.
Secara mudah, dalam melaksanakan ibadah puasa sendiri, kita dapat melaksanakannya tanpa terlalu banyak rintangan fizikal yang perlu kita lalui, bahkan suasana bulan Ramadan di Malaysia menunjukkan betapa damai dan melimpahruahnya rezeki, sehingga kadang-kala timbulnya pembaziran.
Ini berbeza dengan suasana Ramadan di kalangan umat Islam di negara-negara yang terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah bencana alam, pergolakan, krisis dan keamanan yang tergugat.
Oleh: Mohd Shukri Hanapi dan WAN MARZUKI WAN RAMLI, ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
Sumber: BHarian, Utusan Artikel1, Utusan Artikel2
Labels:
Indahnya Islam
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan