Nuff Atas

11 Ogos 2012

'Ops Selamat' Sempena Aidilfitri 2012



Selepas 25 musim perayaan, Ops Sikap yang memainkan peranan penting dalam penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan jalan raya kini akan digantikan dengan Ops Selamat 1.

Ops Selamat 1, yang dilancarkan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, tidak hanya tertumpu kepada kempen keselamatan jalan raya semata-mata, sebaliknya turut merangkumi kempen keselamatan secara menyeluruh.

Konsep dan skop Ops Selamat 1, bakal memberikan rakyat berasa lebih yakin dan selamat dengan kehadiran serta kesungguhan Polis Diraja Malaysia dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam semasa musim perayaan.

“Ops Selamat 1 adalah satu bentuk pembaharuan dalam penugasan dan penguatkuasaan PDRM pada musim perayaan bagi mencapai objektif sebenar untuk memastikan rakyat berasa selamat tanpa timbul sebarang rasa takut," kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.


“Justeru, Ops Selamat merangkumi segala bentuk keselamatan iaitu keselamatan di jalan raya, selamat daripada sebarang aktiviti jenayah serta menyambut perayaan dengan perasaan gembira dan sentiasa berasa selamat,” katanya.

“Paling penting ialah rakyat tidak berasa takut berhubung keselamatan mereka berikutan banyak kejadian jenayah dilaporkan berlaku. Sebaliknya mereka lebih selamat dengan kehadiran polis di sekeliling mereka pada musim perayaan. Sepanjang Ops Selamat pengguna jalan raya diminta lebih berwaspada ketika memandu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya. [BHarian]

Keselamatan Rumah dan Harta Benda

'Ops Selamat' yang menggantikan Ops Sikap sempena musim perayaan Aidilfitri 2012, yang turut menumpukan kepada keselamatan rumah dan harta benda yang ditinggal pemilik ketika balik kampung. Operasi bertema "Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi" itu akan bermula Ahad ini 12 Ogos 2012 selama 15 hari.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, umumnya operasi itu mengekalkan ciri-ciri Ops Sikap dengan menambah baik beberapa aspek, termasuk memperkenalkan borang khas kepada orang ramai yang meninggalkan kediaman untuk bercuti.

"Kepada yang menyambut perayaan di kampung, gunakanlah borang maklumat balik kampung yang boleh didapati di portal laman web rasmi PDRM (Polis Diraja Malaysia), cetak dan lengkapkan borang itu dan serahkan kepada balai polis berhampiran.

"Anggota polis akan membuat rondaan dan mengambil tindakan sewajarnya untuk menentukan keselamatan rumah-rumah yang ditinggalkan sepanjang musim perayaan nanti," katanya.

Pasang Lampu Belakang Rumah

Orang ramai yang akan ke luar daerah sempena cuti Hari Raya dan cuti sekolah dinasihatkan memasang lampu belakang rumah supaya cerah pada waktu malam bagi mengelak sebarang kejadian buruk berlaku.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata bagi mereka yang meninggalkan kenderaan di rumah, disarankan memasang kunci tambahan.

Orang ramai juga perlu memaklumkan kepada polis sekiranya ke luar daerah dalam tempoh yang lama bagi memudahkan pemantauan keselamatan pihak berkuasa di kawasan kediaman mereka. Beliau berkata orang ramai boleh memaklumkan perkara berkenaan di mana-mana balai atau pondok polis berhampiran kediaman mereka.

"Selain itu, tinggalkan pesan kepada jiran sebelum meninggalkan rumah untuk balik ke kampung menyambut Aidilfitri," katanya.

Anggota Polis Bertugas

Ismail berkata, sekurang-kurangnya 6,000 anggota keselamatan termasuk polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bertugas sepanjang operasi kali ini.

Bagi kawalan di kawasan perumahan, PDRM menggunakan kekuatan sedia ada di setiap daerah kerana hanya 10 peratus anggota dan pegawai dibenar bercuti pada Aidilfitri kali ini.

Dalam mendidik disiplin pengguna jalan raya pula, Ismail berkata, PDRM menetapkan kehadiran polis menerusi konsep ronda dan statik di 150 lokasi 'black spot' di seluruh negara.

"Konsep ini melibatkan pendekatan menggunakan kanopi di R&R dan lay-by (hentian sebelah) sebagai tempat pertemuan petugas polis trafik dan lain-lain agensi berkaitan seperti JPJ dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Pada masa sama, kanopi di kawasan berkenaan boleh juga dijadikan pusat sumber maklumat asas bagi pengguna jalan raya yang menghadapi masalah semasa dalam perjalanan," katanya.

Katanya, Op Selamat juga masih mengekalkan pengiktirafan kepada 50 pemandu dan penunggang berhemah. [BERNAMABHarian, Bernama]



Ops Sikap Ke-26 Dengan Beberapa Pembaharuan

Ops Sikap ke-26 sempena Aidilfitri yang dilancar pada Jumaat 10 Ogos 2012, dilaksana dengan beberapa penambahbaikan dalam usaha mengurangkan peratusan kemalangan jalan raya pada musim perayaan.

Sejak dilaksanakan pada 2001, Ops Sikap yang menggantikan Ops Statik memperkenalkan beberapa pembaharuan ketika pelaksanaannya seperti tindakan saman serta-merta yang dijalankan pada edisi ke-25 sempena Tahun Baru Cina.

Dalam pada itu, Ismail berkata polis juga akan melakukan beberapa pembaharuan dalam penugasan anggotanya, untuk mengurangkan kejadian jenayah ketika sambutan Aidilfitri. [BERNAMA]

Pendekatan Penguatkuasaan Lebih Tegas

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid berkata, berdasarkan kajian selepas Ops Sikap ke-25 sempena Tahun Baru Cina, Februari 2012 lepas, pendekatan itu telah berjaya mengurangkan kadar kemalangan maut.

"Ops Sikap ke-25 merupakan kali pertama kita dapat menurunkan kadar kematian dan untuk Ops Sikap akan datang kita guna pendekatan sama dengan mengeluarkan saman dan kadar kompaun trafik yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata, Ops Sikap ke-26 selama 26 hari bermula 10 hingga 26 Ogos ini akan diadakan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM). Beliau berkata, pihaknya bekerjasama dengan semua pihak dalam usaha mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya terutama pada musim perayaan.

Dalam Ops Sikap ke-25, Februari 2012 lalu, penurunan sebanyak 155 kes kemalangan maut melibatkan 168 kematian dicatatkan berbanding Ops Sikap ke-24 iaitu 183 kes kemalangan maut membabitkan 199 kematian. [BERNAMAKosmo]

5 comments:

khairul berkata...

lagi byk ops sikpa...lg byk kemalangan maut..apa la nk jdi ngan driver kt Malaysia ni

the malay male berkata...

ada usaha untuk mengurangkan kes kemalangan. selebihnya bergantung kepada sikap pemandu kita.

Cikgu Ma berkata...

nyaris kena saman...errk, tah la..nak ke pasar minggu..skali ada roadblock..mmg x sempat pakai sit belt..tarik separuh jer...polis lepaskan mcm tu jer...

teha berkata...

xsbr eh nk rye.. hahhaha !

paripariputih berkata...

setuju dgn en del... klw ops byk macam mana pun, tetapi sikap pemandu masih mau berlumba2 tak berjaya jugak rasanya ops 1 ni :P