17 Ogos 2012

Iktikaf Di Masjid Pada 10 Hari Terakhir Ramadhan


Umat Islam digalakkan beriktikaf di masjid dan memperbanyakkan ibadat pada 10 malam terakhir Ramadan.

SECARA umumnya, Ramadan terdiri daripada tiga bahagian, 10 hari terawal, 10 hari pertengahan dan 10 hari terakhir yang penuh rahmat, berkat dan pengampunan. Oleh itu, 10 malam terakhir adalah puncak kepada segala ibadah dalam bulan Ramadan.

Sempena 10 hari terakhir Ramadan, umat Islam digalakkan beriktikaf di masjid dan memperbanyakkan ibadat-ibadat pada malamnya seperti Qiamullail dan Solat Sunat Tahajud, Solat Sunat Hajat, Solat Sunat Tasbih, berzikir bertahmid, membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah SWT.

Umat Islam digalakkan menghidupkan malam Ramadan dengan solat. Rasulullah SAW bersabda daripada Abu Hurairah yang bermaksud: Barang siapa melakukan solat pada malam-malam Ramadan dengan iman dan mengharap keredaan-Nya, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan. (riwayat Bukhari dan Muslim).


Inilah juga yang disebut Qiamullail Ramadan. Iaitu barang siapa melakukan solat malam pada bulan Ramadan sebulan penuh, maka Allah SWT menjanjikan ampunan daripada segala dosa-dosanya. (rujukal-Qadar: 1-5).

Malam qadar mempunyai beberapa erti, antaranya malam kemuliaan, kerana pada malam tersebut permulaan diturunkan al-Quran dari Lauh Mahfuz kepada Nabi Muhammad SAW.

Terdapat beberapa hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Aisyah r.a., dan Ibnu Umar bahawa, Nabi SAW telah beriktikaf di dalam masjid 10 hari terakhir Ramadan.

Pada bulan Ramadan ini Allah SWT menurunkan Lailatulqadar iaitu malam kemuliaan yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Di dalamnya penuh keberkatan dan kesejahteraan sampai terbit fajar.

Oleh itu, Rasulullah SAW sangat menggalakkan kita berusaha mencari dan beriktikaf di malam Lailatulqadar. Aisyah r.a., meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Carilah malam Lailatulqadar pada bilangan yang ganjil dalam tempoh sepuluh hari bulan Ramadan. (riwayat Bukhari, Muslim, At-Tarmizi dan Ibnu Majah).

Untuk mencari malam Lailatulqadar ini, masjid dan surau sewajarnya diimarahkan demi menggandakan ibadah.

Ini disebabkan 10 malam terakhir terdapat satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan iaitu malam Lailatulqadar, 10 malam terakhir ini masjid dan surau sepatutnya penuh seperti sepuluh malam pertama.

Dalam sebuah hadis, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa solat malam pada malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan harapan pahala daripada Allah maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. (riwayat al-Bukhari).

Oleh AMINUDIN MANSOR
Sumber: Utusan



Definisi I’tikaf:

Dari segi istilah: I’tikaf bermaksud duduk di masjid dalam rangka ibadah yang dilakukan oleh orang yang tertentu, dengan sifat atau cara yang tertentu dan pada waktu yang tertentu (Lihat Fathul Bari 4 : 344)

Dalil-Dalil Pensyariatan I’tikaf:
Dalil al-Quran:
Dan janganlah kamu campuri mereka itu, sedang kamu beri`tikaf dalam mesjid”(Al Baqarah : 187)

Dalil-dalil As-Sunnah:

Dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam biasa beri’tikaf pada bulan Ramadhan selama sepuluh hari. Namun pada tahun wafatnya, Baginda beri’tikaf selama dua puluh hari”.[HR. al-Bukhari no. 2044 ]

‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata:
Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam beri’tikaf pada sepuluh hari yang akhir dari Ramadhan sehingga Allah mengambil nyawanya, setelah kewafatan baginda isteri-isteri baginda pun beri’tikaf .”[HR. al-Bukhari no. 2026 dan Muslim no. 1172]

Hukum I’tikaf

Al-Imam Ibn al-Munzir berkata: Para ulama’ telah bersepakat/ijma’ bahawa I’tikaf adalah sunat, dan bukan kewajipan kecuali jika seseorang bernazar mewajibkan dirinya untuk melakukan I’tikaf [Al Mughni, 4/456 ]

Al-Imam Ibn Arabi al-Maliki dan Ibn Batthal rahimahumallah menyatakan bahawa I’tikaf merupakan sunnah muakkadah/sunat yang sangat dituntut kerana Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam tidak pernah meninggalkannya.

Waktu I’tikaf

I’tikaf boleh dilakukan pada bila-bila masa, dan ia sangat ditekankan pada 10 hari akhir Ramadhan kerana Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam sentiasa melakukannya.

Batasan Waktu:

Ulama’ bersepakat bahawa I’tikaf tidak mempunyai had masa maksima. Majoriti ulama’ berpendapat bahawa tiada masa minima untuk I’tikaf. I’tikaf sah walau hanya duduk seketika di dalam masjid.

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah berkata:
“Adapun tentang minima tempoh I’tikaf, pendapat yang benar yang diputuskan oleh jumhur ulama’ ialah disyaratkan berada di dalam masjid, dan dibenarkan melakukannya dalam tempoh yang panjang mahupun pendek, hatta walau satu jam mahupun seketika” [al-Majmu’, 6/514]

Di Manakah Lokasi I’tikaf?

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah berkata, “Para ulama bersepakat bahawa disyaratkan melakukan i’tikaf di masjid.”[Fathul Bari, 4/271 ]

Ini berdalilkan ayat berikut ayat 187 surah al-Baqarah: “Dan janganlah kamu campuri mereka itu, sedang kamu beri`tikaf dalam mesjid”.

Para ulama’ berbeza pendapat apakah ia sah dilakukan di semua masjid yang mendirikan solat lima waktu berjemaah, atau hanya untuk masjid jami’/masjid yang dilakukan solat fardhu Jumaat.?

Imam Malik Rahimahullah berpendapat ia sah dilakukan di mana-mana masjid yang didirikan solat fardhu lima waktu secara berjemaah [di dalam istilah di Malaysia, dipanggil surau/musolla]

Kredit:  SoalJawab.Wordpress

0 comments: