22 September 2012

Graduan Beroleh Penghargaan Tertinggi Universiti



Kedudukan serta martabat orang berilmu diangkat dan diletakkan di tempat yang tinggi. Ilmu dapat mengangkat darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi Allah dan masyarakat.

Firman Allah bermaksud: "Allah mengangkat beberapa darjat orang yang beriman dan orang yang diberi ilmu pengetahuan." (Surah al-Mujadalah, ayat 11) [Baca Lebih Lanjut]

Di dunia, orang yang berilmu akan dipandang tinggi dan sentiasa mendapat penghargaan masyarakat. Berikut adalah beberapa contoh bagaimana seseorang yang berilmu mendapat penghargaan yang sekaligus mengangkat martabat mereka di sisi masyarakat.

Tidak Cemerlang SPM Jadi Pengajaran

Walaupun hanya mencapai keputusan kredit (gred C ke atas) bagi empat mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mohamad Sabri Sinal @ Zainal, 25, tidak patah semangat sebaliknya terus memasang cita-cita untuk meraih kejayaan lebih besar.


Tawaran melanjutkan pelajaran peringkat Diploma di sebuah kolej swasta digunakan sebaiknya bagi membolehkan pemenang Pingat Emas Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) itu mengintai peluang ke universiti awam.

"Saya terpaksa menongkah arus dengan meninggalkan aktiviti yang tidak berfaedah yang sebelum ini saya sering lakukan seperti lepak bersama rakan-rakan dan bermain permainan video.

"Pada masa lapang saya belajar dan berkongsi ilmu dengan rakan-rakan atau mengadakan kelas tambahan percuma mengajar pengaturcaraan kerana dengan cara itu saya lebih mudah memahami ilmu yang dipelajari," katanya selepas Majlis Konvokesyen UUM ke-25 Sesi Pertama pada 18 September, 2012. [BERNAMA]

Pelajar Aeroangkasa Catat Sejarah

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Aeroangkasa, Azlan Shah Abdul Jalil, muncul penuntut kejuruteraan pertama Universiti Sains Malaysia (USM) menerima Anugerah Pelajaran Diraja, Majlis Raja-Raja Malaysia.

Azlan, 23, penuntut kejuruteraan pertama dari Kampus Cawangan Transkrian memenangi anugerah itu yang diumumkan pada Konvokesyen USM ke-46 tahun ini. Catat PNGK 3.70

Beliau yang berasal dari Bandar Baru Bangi, Selangor mengambil masa empat tahun untuk menamatkan pengajiannya dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.70.

"Saya tidak menduga menjadi penuntut kejuruteraan pertama menerima anugerah ini dan bersyukur dengan kejayaan ini hasil sokongan keluarga, pensyarah dan rakan," katanya ketika di Panggung Pelenggang Cahaya, Pusat Pengajian Seni USM, pada 18 September 2012.

Turut terima Hadiah Pingat Emas Canselor

Azlan yang turut menerima Hadiah Pingat Emas Canselor berkata, perkara penting yang menyumbang kepada kejayaan itu adalah saling berkongsi ilmu antara rakan dan menyertai pelbagai aktiviti anjuran universiti.

Beliau sedang bertugas sebagai pembantu penyelidik di bawah bekas pensyarahnya dijangka melanjutkan pengajian di luar negara dalam jurusan sama di bawah skim Rancangan Latihan Kakitangan Akademik USM.

Saya memang bercita-cita menjadi pensyarah dalam bidang ini kerana ia masih baru di Malaysia dan ingin melahirkan lebih ramai pakar dalam industri aeroangkasa pada masa depan, katanya.

Turut menerima anugerah sama ialah graduan Ijazah Sarjana Muda Dietetik, V Divya, 24, dengan PNGK 3.91 dan kini melanjutkan pengajian dalam bidang Sarjana Pemakanan Klinikal di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Penerima Anugerah Pingat Emas USM bagi pelajar kelainan upaya (PKU), Khu Li Huang pula menyifatkan kemalangan yang dialami ketika berusia 16 tahun bukan halangan untuk mencapai kejayaan cemerlang. [BHarian]

Kaedah Pembelajaran Secara Berkongsi Ilmu Dan Berfokus

Kejayaan graduan-graduan ini diharapkan menjadi motivasi kepada pelajar-pelajar di  Malaysia termasuk pelajar-pelajar sekolah menengah yang akan menghadapi peperiksaan awam SPM dan STPM agar terus bersemangat meneruskan perjuangan mengulangkaji pelajaran.

Kejayaan dalam mengejar ilmu bukan datang dengan mudah tanpa usaha berterusan dan berfokus. Petua-petua kejayaan individu yang disebutkan kisahnya di atas patut dijadikan contoh untuk diikuti dan diamalkan oleh setiap pelajar.

Mohamad Sabri Sinal @ Zainal dan Azlan Shah Abdul Jalil menyatakan bahawa antara petua kejayaan mereka adalah berkongsi ilmu dengan rakan-rakan. Kaedah ini bermaksud belajar secara berkumpulan dengan melaksanakan aktiviti berpincangan dan pembentangan sesama ahli dalam kumpulan.

Mohamad Sabri mendapati adalah lebih mudah memahami dan mengingati ilmu yang dipelajari dengan kaedah ini.

Adakah sebahagian besar pelajar-pelajar sekolah melaksanakan keadah ini dalam pembelajaran dan proses mengulangkaji mereka?

1 comments:

caliph shuriken berkata...

diakui tanpa pengorbanan & perancangan yg rapi tiada kejayaan akan dicapai...