27 September 2012
Kisah Lembu Dalam Lori
Suatu hari ketika aku sedang mengajar di dalam kelas tingkatan 5 Berlian, beberapa orang pelajar yang duduk berhampiran jendela begitu asyik melontarkan pandangan mereka ke seberang jalan menerusi jendela.
Aku sergah mereka..
"Apa yang menarik sangat di luar tu?" kataku sambil memandang tepat ke arah salah seorang daripada mereka.
"Saya tengok lembu dalam lori tu, cikgu," kata pelajar yang aku pandang mukanya.
Aku melihat ke arah luar menerusi jendela. Kelihatan sebuah lori membawa seekor lembu berhenti di seberang jalan. Tiada apa yang pelik dengan lembu yang terdapat di dalam lori tersebut.
Cuma barangkali pelajar-pelajar tersebut yang sebahagian besarnya dibesarkan dengan persekitaran taman perumahan dan bandar, melihat lembu adalah sesuatu yang jarang mereka lakukan.
Untuk beberapa ketika, aku terpaksa membebel menegur perbuatan pelajar-pelajar ini kerana tidak memberikan perhatian terhadap proses pembelajaran.
"Berkaitan lembu di dalam lori, saya ada satu kisah tentangnya," kataku.
Aku diam seketika menantikan jika ada apa-apa respons daripada pelajar-pelajar.
Oleh kerana tiada sebarang respons daripada pelajar-pelajar ini, maka aku mengambil keputusan menyambung tugas pengajaran yang tergendala sebentar tadi.
"Cikgu! Cikgu ceritalah tentang lembu dalam lori tu!," kata salah seorang pelajar yang terkenal dengan sikap banyak mulutnya.
"Saya ingatkan awak semua tak nak dengar cerita tersebut tadi..." kataku.
"Baiklah.... Saya mulakan cerita..."
"Dalam sebuah lori yang sedang bergerak terdapat 5 ekor lembu.." kataku memulakan cerita.
"Ketika dalam perjalanan yang tidak diketahui destinasinya, tiba-tiba sebuah bas sekolah yang mengekori lori yang membawa lembu itu membunyikan hon.
Oleh kerana terkejut, dua ekor daripada lembu tersebut telah melompat.
Bagaimanapun lori tersebut tidak berhenti malahan meneruskan perjalanan seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku," demikianlah ceritaku.
"Persoalannya. Berapa ekor lembukah yang tinggal di dalam lori tersebut meneruskan perjalanan mereka," soalku di akhir penceritaan.
Tanpa perlu berfikir lama, mereka terus memberikan jawapan.
Kebanyakan pelajar di dalam kelas tersebut menyatakan bahawa terdapat hanya tiga ekor lembu sahaja di dalam lori itu yang meneruskan perjalanan.
Jawapan mereka yang sedemikian adalah dengan alasan 2 ekor daripadanya telah melompat keluar daripada lori tersebut.
Dalam hati, aku berasa bangga terhadap kefahaman pelajar-pelajar ini dalam ilmu matematik yang mereka pelajari. Cikgu Matematik mereka tentu juga akan merasa bangga kerana usahanya mengajar kemahiran operasi tambah dan tolak tidak sia-sia.
Suatu hakikat yang pelajar-pelajar ini lupa ialah lembu bukanlah atlet lompat tinggi atau lompat pagar. Lompatan seekor lembu pun bukanlah sehebat lompatan seekor kuda.
Adakah anda juga mempunyai jawapan yang sama tentang bilangan lembu yang tinggal sebagaimana jawapan pelajar-pelajar ini?
Pastikan anda memikirkannya secara logik ....
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
4 comments:
haha pandai jugak ya budak2 tu
bilangan tetap sama sbb melompat jaa, bukan melompat kuar, hukk...
tetap 5 ekor...dia lompat dalam lori bukan lompat kuarkan...heheh
lima jugak..sebab melompat je..bukan lompat keluar kan??
tu sbb lori jalan lekkk je.. :D
Catat Ulasan