03 Oktober 2012

Larangan Bawa Telefon Bimbit Ke Sekolah Kekal



Kementerian Pelajaran masih mengekalkan peraturan larangan membawa dan menggunakan telefon bimbit oleh murid dan pelajar di seluruh sekolah di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peraturan larangan itu dinyatakan melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/2009.


Bagaimanapun beliau yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, kementerian itu sedang mengkaji keperluan penggunaan gajet teknologi oleh murid dan pelajar di sekolah.

"Sehubungan itu, satu sesi perbincangan meja bulat telah diadakan pada 25 Ogos lalu melibatkan pihak-pihak berkepentingan iaitu kumpulan pengetua, guru besar, guru, ibu bapa dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Perbincangan meja bulat ini adalah bagi membincangkan keperluan pengguna gajet teknologi di sekolah dan cadangan berkaitan penggunaan gajet teknologi oleh murid dan pelajar di sekolah," katanya.

Pada Julai lepas, kementerian itu mengusulkan cadangan membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi seperti telefon bimbit dan iPad ke sekolah bermula tahun 2013 depan.

Bagaimanapun cadangan itu mendapat bantahan terutama daripada persatuan ibu bapa dan guru yang rata-rata berpandangan langkah terbabit akan mengundang lebih banyak masalah selain menjejaskan pembelajaran pelajar.

Sumber: Utusan [03/10/2012], BHarian [03/10/2012]



Perlu sangatkah murid bawa telefon bimbit?

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyatakan satu sesi perbincangan meja bulat telah diadakan pada 25 Ogos 2012 lalu melibatkan pihak berkepentingan antaranya pengetua, guru dan ibu bapa membincangkan keperluan serta cadangan berkaitan penggunaan peralatan komunikasi itu oleh murid.

‘Kementerian Pelajaran sedang meneliti secara menyeluruh pendapat serta pandangan masyarakat termasuk tokoh akademik, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO), guru, ibu bapa dan murid sebelum satu keputusan muktamad diumumkan.

Sebagai makluman satu usul telah dikemukakan oleh pihak kementerian pada Julai 2012 lepas untuk membenarkan murid membawa peralatan komunikasi seperti telefon bimbit dan iPad ke sekolah bermula pada tahun 2013 depan.

Sesungguhnya isu telefon bimbit ini dinyatakan dengan jelas melalui Surat Pekeliling Iktisas Bil. 11/2005 Garis Panduan Penggunaan Telefon Bimbit Oleh Murid Sekolah dan Surat Pekeliling Iktisas Bil. 2/2009 Penguatkuasaan Larangan Membawa Dan Mengguna Telefon Bimbit Oleh Murid Di Sekolah.

Kedua-dua Pekeliling ini tidak membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah bertujuan mendidik murid menggunakan alat tersebut dengan cara yang betul dan larangan ini hanya berkuatkuasa dalam kawasan sekolah.

Penggunaan alat itu tanpa kawalan boleh mengganggu kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu boleh mendatangkan pelbagai masalah disiplin seperti kecurian, pergaduhan serta penyebaran bahan maklumat yang boleh mempengaruhi perlakuan negatif dalam kalangan murid.

Membawa dan menggunakan telefon bimbit adalah melanggar peraturan dan boleh diambil tindakan disiplin dengan hukuman amaran bertulis dan dilarang menggunakan kemudahan sekolah atau mengambil bahagian dalam program atau aktiviti sekolah untuk satu tempoh tertentu.

Terdapat dua pandangan berhubung isu telefon bimbit ini. Pihak yang menyokong akan menggunakan premis era perkembangan dunia teknologi dan peredaran zaman moden. Bagi mereka penggunaan alat elektronik ini adalah suatu keperluan dan elok dilihat secara positif serta menekankan aspek kebaikan yang boleh didapati melaluinya.

Dalam zaman IT ini kecanggihan alat telekomunikasi memang banyak keperluannya, bergantung kepada kebijaksanaan dan bagaimana alat itu digunakan dalam usaha meningkatkan kebolehan dan keupayaan murid.

Telefon bimbit masa kini begitu canggih di mana penggunaannya boleh berfungsi sebagai sebuah komputer. Mempunyai kemudahan Internet dan boleh menyimpan beribu-ribu maklumat yang boleh digunakan pada bila-bila masa.

Oleh itu sekiranya digunakan dengan cara yang betul, dapat membantu murid mendapatkan maklumat yang diperlukan dengan cepat dan berkesan. Dalam hal ini kerjasama dan bimbingan guru sangat diperlukan supaya penggunaan alat tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Telefon bimbit juga boleh digunakan sebagai alat penghubung yang mudah dan cepat. Murid dapat menghubungi ibu bapa apabila diperlukan seperti memaklumkan perubahan waktu balik sekolah atau makluman perubahan oleh ibu bapa sendiri.

Ia juga boleh digunakan semasa kecemasan. Misalnya, boleh menghubungi segera guru atau ibu bapa jika berlaku perkara yang tidak diingini seperti kejadian buli, peras ugut atau culik.

Namun demikian di pihak satu lagi adalah pandangan sebaliknya. Menurut mereka jika dibenarkan akan menimbulkan jurang perbezaan antara murid yang berada dengan yang tidak mampu. Sudah tentu murid yang datang dari keluarga yang berpendapatan tinggi dan menengah atas tiada masalah menyediakan alat itu untuk anak mereka. Tetapi murid daripada keluarga berpendapatan rendah telefon bimbit adalah suatu peralatan mewah.

Suasana ini boleh melebarkan jurang dan rasa rendah diri bagi mereka yang tidak mampu. Matlamat sekolah sebagai tempat untuk mendidik dan membangunkan diri murid yang datang dari pelbagai latar belakang akan terjejas.

Membawa telefon bimbit ke sekolah boleh menimbulkan masalah lain seperti kecurian dan pergaduhan. Bagi murid yang tidak memiliki alat itu mungkin akan mengambil kesempatan untuk mencuri telefon bimbit rakan mereka. Kejadian ini akan membawa kepada suasana tegang apabila timbul rasa syak wasangka dan tuduh menuduh akhirnya boleh mengakibatkan pergaduhan.

Proses pengajaran dan pembelajaran boleh terganggu apabila murid sibuk menggunakan telefon bimbit mereka. Tumpuan murid akan terjejas dan tidak dapat mengikuti pengajaran guru sepenuhnya.

Ada kalanya alat ini boleh digunakan sebagai kamera video yang dapat merakam termasuk sesuatu yang lucah atau berbentuk negatif. Dikhuatiri juga akan menimbulkan perbuatan meniru dalam ujian dan peperiksaan kerana sesuatu cacatan dan maklumat boleh disimpan dan dilihat pada bila-bila masa.

Jika dibenarkan murid membawa alat itu ke sekolah maka tugas guru akan bertambah. Sudah tentu guru akan ditugaskan mengawal dan memantau penggunaannya agar tidak disalahguna. Cuba bayangkan jika terdapat seribu orang murid di sekolah itu dan semuanya membawa telefon bimbit sudah tentu sedikit sebanyak akan mengganggu ketenangan dan ketenteraman sekolah.

Keputusan muktamad Kementerian Pelajaran sentiasa dinantikan sama ada kekal mematuhi arahan Surat Pekeliling sedia ada atau membuat perubahan sebaliknya. Atau opsyen ketiga dengan membenarkannya secara terhad maksudnya hanya kepada murid yang lebih senior.

Oleh Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.
Sumber: Utusan [09/10/2012]

Lihat Juga: Bolehkah Bawa Henfon dan iPad Ke Sekolah?

1 comments:

Unknown berkata...

tapi sekarang bebudak tak pakai henpon dah..jika dorang bawak samsung tabs acane lak ??