12 November 2012

Ancaman Bakteria Pada Kanak-Kanak



Kebanyakan kanak-kanak tidak tahu apa itu bakteria. Bagaimana bakteria boleh menyebabkan jangkitan kepada penyakit. Tahu mereka, tangan kotor perlu di basuh dan sering diajar mencuci tangan sebelum dan selepas makan.

Namun, disiplin dan amalan menjaga kebersihan dengan kerap mencuci tangan dan menerangkan kebaikan serta keburukan berkaitannya akan menyebabkan mereka sentiasa mengutamakan kesempurnaan.

Tambahan pula, di mana saja lokasinya terdedah kepada pencemaran bakteria. Malah, kajian mendapati 87 peratus daripada permukaan sekunder akan diliputi bakteria sekiranya langkah menjaga kebersihan tidak diamalkan secara menyeluruh di semua tempat khususnya premis kediaman.


Kanak-kanak terutama mudah dijangkiti penyakit apabila ibu bapa atau individu mengabaikan kebersihan diri di mana saja lokasinya termasuk di rumah dan persekitaran mereka.

Yang nyata kebersihan adalah kunci kesejahteraan hidup. Aspek kebersihan sebenarnya mempunyai hubungkait dengan mutu kecemerlangan dan sihat jika suasana kebersihan di sekitar mereka.

Kita seharusnya jangan memandang remeh dan mengabaikan aspek kebersihan kerana pelbagai jenis penyakit muncul, contohnya menerusi makanan yang terdedah kepada kekotoran atau tidak dibersihkan secara betul.

Makanan sedia dimakan seperti epal, anggur, lobak merah dan salad boleh membawa ancaman jangkitan penyakit kepada ahli keluarga sekiranya tidak dibersihkan dengan betul sebelum dimakan.

Risiko penyakit

Bakteria juga boleh merebak ke kawasan lain di rumah melalui sentuhan tangan. Kajian menunjukkan 90 peratus sentuhan tangan pada radio, kotak mancis dan botol umpamanya mengandungi bakteria.

Pengerusi Majlis Kebersihan Global, Prof John Oxford, berkata barangan umum sering digunakan di rumah seperti botol, papan pemotong dan bekas plastik sekiranya tidak dicuci dengan kerap akan menjadi tempat pembiakan bakteria.

“Keadaan itu jika tidak diberi perhatian akan mendedahkan ahli keluarga terutama kanak-kanak kepada risiko penyakit bawaan makanan dan penyakit berjangkit lain.

“Penyakit bawaan makanan ini sebenarnya boleh dicegah dan dirawat dengan mengutamakan aspek kebersihan untuk mengurangkan sebarang jangkitan penyakit sehingga mengancam nyawa,” katanya pada taklimat media mengenai Kebersihan Global di Kuala Lumpur.

Kenyataannya, masih ramai yang mengabaikan kebersihan diri terutama apabila membabitkan penyediaan makanan di rumah. Seperti kelaziman, selepas membasuh tangan secara ringkas dengan menadah tangan pada air sinki, individu akan segera mengelap tangan pada tuala dapur yang disangkut atau diletakkan saja di atas dapur.

Amalan kebersihan

Sama ada disedari atau tidak, banyak bakteria akan membiak pada tuala yang lembap yang di letakkan di atas permukaan dapur atau meja. Pun begitu masih ramai yang mengambil mudah mengenai kepentingan kebersihan dalam kehidupan seharian. Tahap kebersihan diri yang rendah memberi peluang kepada bakteria untuk membiak dan mengancam kesihatan secara keseluruhannya.

Beliau berkata, dalam usaha menghapuskan penyakit berjangkit dan meningkatkan amalan kebersihan diri, Majlis Kebersihan Global dengan kerjasama Dettol menjalankan dua penyelidikan ‘Cross-contamination’ dan ‘Back to School’ bertujuan merapatkan jurang pengetahuan antara penyebaran bakteria dan mengenal pasti titik perubahan positif dalam amalan kebersihan diri dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kajian ‘Cross-contamination’ menilai bagaimana pencemaran boleh berlaku semasa proses penyediaan dan penyimpanan makanan di dapur keluarga yang tipikal.

“Berdasarkan kajian orang ramai terdedah kepada ancaman penyakit bawaan makanan walaupun mereka ia dimasak di rumah mereka sendiri,” katanya.

Situasi itu berlaku kerana kurang prihatin terhadap disinfeksi ketika menyediakan makanan menyebabkan bakteria mudah berpindah daripada makanan mentah kepada permukaan sekunder seperti makanan yang sediakan atau pelbagai permukaan lain di dapur.

Implikasi kotor

Fakta mengenai ‘Back to School’ pula mengenal pasti faktor motivasi mengenai amalan kebersihan diri dalam rutin harian sewajarnya dipupuk ibu bapa kepada anak.

Kajian menunjukkan pendidikan mengenai kebersihan kepada kanak-kanak di peringkat awal usia penting kerana penerimaan mereka terhadap amalan kebersihan yang baik.

Kajian itu dilakukan di 14 negara termasuk Malaysia membabitkan 14,000 meliputi ibu dan kanak-kanak sekolah rendah (berusia antara lima hingga 12 tahun).

“Hasil kajian di Malaysia, mendapati satu pertiga daripada ibu risau anak mereka akan dijangkiti penyakit berjangkit di sekolah. Kebimbangan utama mereka ialah anak akan dijangkiti penyakit tangan, kuku dan mulut.

“Ini diikuti dengan penyakit bawaan makanan dan selsema bermusim. Sebanyak 89 peratus daripada ibu akan menasihati anak mereka mengenai amalan kebersihan yang baik seperti membasuh tangan dan menutup mulut menggunakan tisu ketika batuk,” katanya.

Sebanyak 64 peratus pula akan memastikan anak mereka membasuh tangan selepas pulang ke daripada sekolah manakala 20 peratus daripada ibu yang akan menyahjangkit barangan sekolah anak mereka seperti beg galas.

Prof Oxford berkata, dalam bahagian kedua kajian ‘Back to School,’ tujuh sekolah diuji untuk bakteria bagi mengesan tahap pencemaran. Hampir separuh daripada ibu yang ditanya percaya bilik air mempunyai jumlah bakteria yang paling banyak di sekolah, namun ujian bakteria menunjukkan perkara sebaliknya.

“Pencemaran di bilik air didapati tidak setinggi mana sebaliknya permukaan di kawasan makanan selalunya tercemar. Ini mendedahkan kanak-kanak sekolah, guru dan staf kepada bakteria ketika makan melalui sentuhan tangan atau peralatan hidangan seperti sudu, garpu, pinggan mahupun bekas makanan.

“Ancaman penyakit cirit-birit meningkat apabila perhatian tidak diberikan untuk menyahjangkit kawasan dan peralatan makanan. Hanya dua peratus daripada ibu yang percaya bekas makanan dibawa daripada rumah boleh menyebarkan penyakit seperti keracunan makanan,” katanya.

Ibu bapa perlu memberi lebih tumpuan kepada kesihatan anak dan menggalakkan mereka untuk mengamalkan tabiat kebersihan yang baik. Kajian perkembangan kognitif mendapati pendedahan kepada penyakit berjangkit ketika pada zaman kanak-kanak boleh mendatangkan implikasi kepada pertumbuhan dan perkembangan otak apabila meningkat dewasa.

INFO

* 2 bilion kes penyakit cirit-birit dilaporkan setiap tahun.
* Cirit-birit punca kedua kematian kanak-kanak di bawah umur lima tahun dan menyebabkan 1.5 juta kematian kanak-kanak setiap tahun.

* Membasuh tangan dengan betul menggunakan sabun antibakteria ketika menyediakan makanan penting untuk mencegah penyakit bawaan makanan.
* Pembersihan permukaan dan penyahjangkitan bersasaran penting untuk memutuskan rantaian jangkitan.

* Amalan membersihkan tangan paling berkesan untuk mencegah jangkitan penyakit berjangkit.

Oleh: Shaidah Shafie
Sumber: BHarian [2012/11/06]

2 comments:

Annamariana1989 berkata...

gunalah dettol...hehhehehhee

Ku Syida berkata...

Lifebuoy pun boley..Hehehehe...