27 November 2012

Bidan ~ Insan Berjasa Menyambut Kelahiran Bayi

Terima Kasih Mak Bidan ....
Kerana menyambut kelahiranku ....
Kerana menyambut kelahiran anak-anakku ...
Kerana menyambut kelahiran semua bayi yang mungkin ...
Agar mereka semua lahir dengan selamat ke dunia ini ...
Syukur Alhamdulillah ...
Segalanya dengan izin Allah ...


Jasa Bidan Menyambut Kelahiran Bayi Patut Dihargai.

"Pengalaman ketika mula- mula betugas sebagai bidan di Juaseh, Kuala Pilah, takkan saya lupa sampai bila-bila," demikian kata Toobaloshany Vasathakumar, yang menghabiskan sebahagian besar usianya membantu wanita melahirkan anak.

Semua pengalaman yang dikutipnya sejak mula bertugas sebagai bidan pada 1967, masih segar dalam ingatannya hingga kini.

"Suatu hari, saya berbasikal ke sebuah rumah di sebuah kampung untuk membantu seorang wanita melahirkan anak, tapi malangnya, ketika lalu di sebatang titi, saya tergelincir dan jatuh ke dalam sungai. Mujurlah beberapa lelaki yang bekerja di sawah berdekatan, segera datang menolong saya.


"Saya kuyup seluruh tubuh dan apabila sampai di rumah itu, keluarga berkenaan yang terkejut melihat keadaan saya, memberi sehelai kain untuk disalin dan selepas itu saya segera menjalankan tugas saya," kata Tooba, yang kemudian berkhidmat di Hospital Universiti selama 31 tahun sebelum bersara.

KERJAYA PENUH KENANGAN

Tooba adalah antara beribu-ribu bidan (midwife) yang menerima latihan pada zaman sebelum Merdeka untuk memberi penjagaan sebelum dan selepas bersalin, khususnya di luar bandar bagi mengurangkan kadar kematian bayi.

Kini, ketika berusia 68 tahun, Tooba terus menabur jasa dalam bidang yang sudah sebati dengan dirinya iaitu membantu mereka yang pertama kali melahirkan anak dan yang sudah berulang kali bersalin, tetapi dalam persekitaran serba moden iaitu di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.

Tooba berkata dia berasa amat puas apabila dapat membantu para ibu melahirkan anak dengan selamat, selalunya setelah melalui tempoh kehamilan yang penuh mencabar dan sakit bersalin selama beberapa jam.

"Saya akan bimbing mereka cara melahirkan anak apabila siibu sudah benar-benar bersedia untuk itu. Saya juga memberi petua kepada siibu tentang cara untuk mengatasi rasa sakit dan takut.

"Apabila bayi selamat dilahirkan, saya akan ambil dan serahkan bayi itu kepada ibunya. Senyuman yang terukir di wajah mereka terakam abadi di ingatan saya," kata Tooba.

Oleh kerana Tooba sendiri mempunyai anak, dia amat memahami betapa gembiranya menjadi seorang ibu. Tooba mempunyai seorang anak lelaki yang kini berusia 31 tahun.

DULU DAN KINI

Suatu ketika dahulu, tugas seorang bidan meliputi semua perkara berkaitan kehamilan. Mereka perlu mendidik wanita tentang gejala yang perlu diperhatikan semasa hamil dan ketika hampir bersalin serta cara yang betul untuk menyusukan bayi.

Bagaimanapun, kini terdapat petugas yang membantu bidan serta jururawat ketika menguruskan sesuatu kelahiran. Lebih ramai jururawat juga diambil bekerja di pelbagai wad, termasuk di bilik bersalin.

Apakah ganjaran yang diterima seseorang bidan?

"Saya menerima ucapan terima kasih dan dapat melihat kasih sayang seorang ibu terhadap anak yang baru dilahirkannya. Inilah perkara yang amat menyentuh jiwa saya," kata Tooba sambil sesekali melemparkan pandangan kepada rakan setugasnya, Surinder Kaur.

KISAH SURINDER

Surinder Kaur, merupakan jururawat perbidanan yang telah bertugas di Gleneagles Kuala Lumpur sejak tahun 2000, memiliki 25 tahun pengalaman sebagai bidan, termasuk di hospital kerajaan.

Kata bidan yang mendapat latihan awal di Hospital Besar Alor Setar ini, tugas sebagai bidan amat mencabar.

"Saya berusaha melakukan yang terbaik untuk membantu pesakit yang hendak bersalin, terutama mereka yang menghadapi masalah untuk melahirkan anak. Saya akan beri semangat kepada mereka dan membantu mereka melalui detik-detik 'menyakitkan' ketika hendak bersalin.

"Saya pernah 'ditahan' bakal seorang ibu. Dia mahu saya berada di sisinya hingga bayinya selamat dilahirkan. Saya buat keputusan untuk terus berada di situ walaupun tempoh saya bertugas pada hari itu sudah berakhir dan jururawat yang akan bertugas untuk tempoh berikutnya juga, sudah sampai," kata Surinder.

Kata bidan ini, doktor mengkaji semula keadaan wanita itu dan melakukan pembedahan Caesarean untuk mempercepat proses bersalin.

DITAMPAR PESAKIT

Amat jarang wanita yang hampir melahirkan anak bersikap sabar dan memahami keadaan sebenar, terutama ketika dia mengalami kesakitan yang amat dahsyat. Penderitaannya hanya reda apabila melihat bayi comel yang baru dilahirkannya berada dalam keadaan sihat di tangan jururawat.

"Jangan sekali-kali mencari pasal dengan wanita yang sedang mengalami kesakitan," kata Surinder dalam nada bergurau.

Dia masih ingat detik-detik mencemaskan di bilik bersalin beberapa tahun lepas apabila seorang remaja berusia 16 tahun yang hamil akibat dirogol, dibawa ke Hospital Besar Alor Setar, untuk melahirkan anak.

"Remaja yang kuat tenaganya ini cuba melarikan diri dari bilik bersalin ketika menanggung kesakitan untuk melahirkan anak. Ketika itu, pintu rahimnya sudah terbuka. Saya cuba memegangnya dengan sekuat hati dan remaja itu terpaksa menahan kesakitan akibat penggunaan kaedah forsep, yang dianggap suatu opsyen selamat bagi kes yang dialaminya. Tiba-tiba, saya rasa pipi saya teramat sakit. Remaja itu menempeleng saya rupanya. Semuanya berlaku dengan begitu pantas," kata Surinder.

Melayan 40 hingga 50 pesakit setiap hari di bilik bersalin hospital awam bukanlah tugas mudah.

Walaupun pelbagai risiko yang mungkin mereka hadapi, Tooba dan Surinder tetap menyintai tugas yang mereka lakukan sejak sekian lama itu.

Membantu seseorang wanita melahirkan bayi merupakan tugas yang amat mulia dan mencabar bagi seseorang bidan. Tetapi, berapa ramaikah yang sudi mengenang budi insan yang amat berjasa itu?

Oleh Hazlinda Hamzah
Sumber: BERNAMA [19 Nov 2012]

1 comments:

EH - Ekslamasi Holistik berkata...

Kerjaya bidan perlu dihargai...