19 November 2012

Warga Emas Jepun Aktif Bekerja


ISHIHARA yang berusia 80 tahun mahu aktif berpolitik meskipun sudah melepaskan jawatannya sebagai Gabenor Tokyo. 

SETIAP pagi, Mitsumi Kobuna, 73, perlu bangun tidur seawal pukul 5 pagi. Lelaki itu bersiap-siap dan bergegas ke pasar Tsukiji yang terletak di Tokyo, Jepun untuk memproses ikan untuk jualan sehingga pukul 8 malam.

Sejak umur 18 tahun, peniaga yang tidak lekang dengan senyuman itu bergelumang dengan ikan-ikan segar selama enam hari seminggu. Ia merupakan perniagaan keluarga yang diwarisi sejak empat generasi.

Sepanjang sepuluh tahun pertama, dia membiasakan diri dengan pekerjaan tersebut dan kini, Kobuna berharap dapat bekerja untuk tempoh dua hingga tiga tahun lagi meskipun rambutnya telah memutih.

Situasi yang dilalui Kobuna bukanlah luar biasa di Jepun. Ramai warga emas negara tersebut masih aktif bekerja walaupun telah lanjut usia.


Secara purata, Kobuna bekerja sehingga usianya mencecah 69 tahun, melebihi purata umur 64 tahun di 34 buah negara membangun di bawah Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD). Warga emas Perancis pula secara majoriti bekerja sehingga umur 59 tahun sahaja.

Contoh jelas warga emas yang aktif bekerja ialah bekas Gabenor Tokyo, Shintaro Ishihara yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai gabenor pada bulan Oktober 2012 lalu bagi menubuhkan sebuah parti politik baharu. Bayangkan, pada usia 80 tahun, Ishihara masih mahu bergiat dalam dunia politik.

Rasa tua

Pemilik sebuah warung teh di bandar Kagurazaka, Koji Saito, pula mendedahkan bahawa dia bekerja selama enam atau tujuh hari seminggu untuk tempoh 12 jam sehari.

"Jika saya berhenti bekerja, saya akan rasa tua. Sudah 50 tahun saya bekerja di sini dan kalau saya berhenti, bermakna hidup saya telah berakhir," ujar Saito yang berumur 75 tahun.

Pemikiran sebegitu dipercayai terbina dalam kalangan generasi yang hidup pada zaman peperangan atau selepas peperangan. Mereka mengerti kesusahan mendapat pekerjaan waktu dahulu dan percaya hanya kerja dapat membangunkan negara mereka semula dan bebas daripada kancah kemiskinan.

Kenji Wada, 73, yang bekerja sebagai peguam memberitahu: "Kerja bukan sekadar untuk meneruskan hidup. Duit merupakan faktor kedua kerana tujuan kita bekerja adalah bagi memenuhi tanggungjawab sebagai anggota masyarakat."

Tambahnya, sejak mula mengamalkan khidmat guaman lebih 40 tahun lalu, dia bekerja dengan banyak syarikat Jepun dan antarabangsa. Katanya, syarikat-syarikat tersebut percaya pada kemampuannya dan dia tidak dinilai berdasarkan usia.

Kerja selepas bersara

Undang-undang yang dikuatkuasakan Jepun pada bulan Ogos 2012 lalu menyatakan setiap syarikat perlu mengekalkan pekerja yang berusia 65 tahun ke atas, sekurang-kurangnya mereka yang masih mahu bekerja. Sejajar dengan itu, usia bagi pembayaran pencen dilanjutkan daripada umur 60 tahun pada waktu ini menjadi 65 tahun menjelang tahun 2025.

Penguatkuasaan baharu itu tidak menimbulkan sebarang bantahan di Jepun malah majoriti mereka bersetuju dengan pegangan pepatah 'bekerja adalah sihat.'

"Saya tidak pernah bertanya kepada diri sendiri sama ada kerja saya ini menarik atau tidak. Bapa saya bekerja sehingga umur 80 tahun dan saya juga akan bekerja sehingga penghujung usia.

"Hidup saya dibina sedemikian rupa dan sekarang bukan masanya untuk berubah. Jika saya bersara, apa yang boleh saya lakukan?" soal Seichiro Fukui, 64, yang menjadi broker insurans, ejen hartanah dan peniaga biskut beras selama 41 tahun.

Di Jepun, persoalan yang sering membelenggu pekerja warga emas adalah bagaimana untuk mengelakkan diri daripada menjadi tidak berguna dan mencari erti kehidupan selepas persaraan? Segelintir mereka menemui penyelesaiannya iaitu dengan bekerja semula.

Yumiko Tominaga, 61, bersara sebagai guru 10 tahun lebih awal disebabkan masalah kesihatan. Selepas sembuh, dia membuat keputusan untuk berkecimpung dalam bidang pembuatan teh dan roti.

Pesara awal tersebut kembali ke kampungnya di Hitachiota, di timur laut Tokyo bagi membuka kedai roti khususnya dalam penyediaan makanan berasaskan tepung beras.

Kongsi Tominaga: "Saya rasa segar dan gembira dapat bekerja demi kebaikan orang lain."

Sumber: Kosmo

3 comments:

EH - Ekslamasi Holistik berkata...

Usia bukan penghalang utk bekerja...

Annamariana1989 berkata...

kan bagus kalo org malaysia contohi diorang...

teha berkata...

sbb tu jepun terus maju kot.. heheheh :)