Nuff Atas

25 Disember 2012

Pencen Swasta (PRS) Boleh Keluar Di Usia 55 Tahun



Pencarum Skim Persaraan Swasta (PRS) masih boleh mengeluarkan simpanan mereka apabila berumur 55 tahun, meskipun kerajaan sudah melanjutkan umur persaraan swasta kepada 60 tahun.

Pengerusi Pentadbir Pencen Swasta Malaysia (PPA), Datin Zaiton Mohd Hassan, berkata semua caruman yang dibuat kepada PRS terbahagi kepada dua sub-akaun dan pencarum boleh mengeluarkan 70 peratus simpanan apabila mencapai umur persaraan manakala 30 peratus boleh dikeluarkan setahun sekali selepas itu.

Katanya, PRS yang dilancarkan Julai 2012 lalu adalah caruman sukarela yang memberi pilihan kepada orang ramai untuk menambah simpanan persaraan mereka menerusi sumbangan jangka panjang dalam persekitaran yang dikawal selia.



“Buat masa ini, Suruhanjaya Sekuriti (SC) menetapkan pencarum PRS boleh mengeluarkan sebanyak 70 peratus simpanan mereka apabila berumur 55 tahun, walaupun kerajaan melanjutkan umur persaraan swasta kepada 60 tahun bermula tahun 2013. Bagaimanapun, perkara ini akan dikaji dengan lebih lanjut,” katanya.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan umur persaraan sektor swasta dilanjutkan kepada 60 tahun daripada 55 tahun yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2013, seperti yang ditetapkan di bawah Akta Umur Persaraan Minimum 2012.

Menerusi akta berkenaan, umur persaraan minimum pekerja sektor swasta ialah 60 tahun dan majikan tidak boleh memaksa pekerja bersara sebelum mencapai usia itu.

Mengenai PRS, ia ditawarkan oleh tujuh firma pengurus dana dan sebuah syarikat insurans kepada individu yang terdiri daripada pelabur runcit, bekerja sendiri, pekerja serta majikan.

Setakat ini, empat syarikat telah melancarkan skim persaraan mereka iaitu CIMB-Principal Asset Management Bhd, Public Mutual Bhd, Manulife Unit Trust Bhd dan Hwang Investment Management Bhd.

Pentadbir Pencen Swasta Malaysia (PPA) ditubuhkan Julai 2012 lalu bagi mentadbir, memantau dan menggalakkan pertumbuhan dan operasi industri PRS.

Mengenai cadangan untuk meningkatkan bilangan penyedia skim PRS, Zaiton berkata: “Buat masa ini, jumlah itu sudah mencukupi kerana masih ada syarikat yang masih belum melancarkan skim persaraan swasta mereka. Mungkin kerana menantikan waktu yang sesuai serta melihat kepada kehendak pasaran,” katanya.

Beliau berkata, dana PRS dijangka mencecah RM30.9 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang walaupun bilangan pencarum masih lagi rendah pada masa ini berikutan masih kurangnya kesedaran terhadap skim persaraan alternatif itu.

“Jika dibandingkan dengan jumlah simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akhir tahun lalu mencatatkan sebanyak RM469 bilion dan dalam tempoh 10 tahun ia mungkin meningkat kepada RM600 bilion. Saiz sasaran PRS ini hanya lima peratus daripada jumlah berkenaan,” katanya.

Bagi menggalakkan penyertaan , Zaiton berkata pencarum akan menikmati pelepasan cukai sehingga RM3,000 bagi 10 tahun pertama dari tahun taksiran 2012 manakala majikan yang menyumbang kepada skim itu untuk pekerja mereka pula akan diberikan potongan cukai sehingga 19 peratus.

Oleh Zuraidah Mohamed
Sumber: BHarian [2012/12/24]

1 comments:

MY Investor berkata...

Hi there, I would like to share a 3 part article about PRS from my blog at Invest-Made-Easy.blogspot.com

Part 1 : Private Retirement Scheme (PRS), What’s In Store For Investors?
http://invest-made-easy.blogspot.com/2013/01/private-retirement-scheme-prs-whats-in.html

Part 2 : Private Retirement Scheme (PRS), What Is The Expected Performance?
http://invest-made-easy.blogspot.com/2013/01/private-retirement-scheme-prs-what-is.html

Part 3 : Private Retirement Scheme (PRS), Enjoying The Benefits of Tax Relief
http://invest-made-easy.blogspot.com/2013/01/private-retirement-scheme-prs-enjoying.html