26 Disember 2012

Mendalami Karenah Kanak-Kanak Pra-Tadika


Gelagat anak kecil dalam proses berdikari menguji kesabaran individu dewasa

DUNIA kanak-kanak dipenuhi keriangan terutama ketika usia tiga dan empat tahun. Ketika ini, kanak-kanak yang dikategorikan kanak-kanak pra-tadika mula aktif mengenali sekali gus meneroka alam sekelilingnya.

Berdasarkan perkembangan pra-tadika, kanak-kanak melalui proses tumbesaran secara normal mudah bertindak balas sendiri seperti mahu menyentuh, merasa, menghidu, dan mencuba sesuatu tanpa bantuan individu.

Ia berikutan proses dialami membuatkan mereka teruja mempelajari sesuatu, mengetahui cara mengalami dan melakukan sendiri sebarang aktiviti. Biasanya, kanak-kanak ini sibuk membina kemahiran hidup, menggunakan bahasa dan bersusah payah melakukan aktiviti serta berlatih mengawal perasaan.


Kanak-kanak pra-sekolah mahu berkembang secara individu tanpa terlalu terikat dengan ibu bapa. Mereka lebih mudah berdikari, tahu menyatakan keinginan kerana penguasaan bahasa lebih baik dan mempunyai harga diri (self-esteem) untuk menjalani proses pembelajaran dengan jayanya.

Perasaan takut terbentuk semasa umur pra-tadika. Ia disebabkan jangkaan terhadap tempat baru, jangkaan mempelajari sesuatu yang baru dan dipisahkan dengan ibu bapa atau orang penting dalam hidup mereka.

Pada usia sebegini, kanak-kanak lebih bersifat menguji individu sekelilingnya seperti menggunakan perkataan dilarang, mempamerkan perangai menjengkelkan dan mudah terikut dengan perangai kurang sopan.

Mengenal pasti tahap kesihatan

Seperti individu dewasa, kanak-kanak juga mengalami masalahnya tersendiri seperti menyesuaikan diri dalam persekitaran baru, bergaul dengan kawan-kawan dan berkongsi sesuatu dengan individu lain.

Proses ini adalah normal disebabkan perkembangan imaginasi dan fantasi kanak-kanak sentiasa berubah menjadikan kanak-kanak sukar membezakan fantasi dan realiti.

Tidak hairanlah jika kanak-kanak di usia ini lebih terpengaruh dengan apa yang ditonton, bercakap dengan kawan 'ajaibnya' dan mula bertindak di luar kawalan.

Bagi pengusaha pusat asuhan, tugas mereka adalah memantau perkembangan fizikal, kognitif, spiritual dan emosi kanak-kanak pra-tadika.

Cabaran utama menggalas tugas pendidik adalah mengenal pasti tahap kesihatan pendidikan kanak-kanak diasuh sama ada normal, hiperaktif, pendiam atau bermasalah.

Kadang-kadang, pendidik hanya boleh mengesan masalah istimewa kanak-kanak seperti disleksia, autisme major atau autisme minor hanya selepas usianya enam tahun.

Biasanya, perkembangan kanak-kanak pra-tadika bergantung pada kemahiran kognitif. Ada antaranya sedang bermain dan memulakan proses pembelajaran menyebabkan pengasuh jarang beri perhatian khusus.

Petah tanya soalan

Perkembangan fizikal kanak-kanak pra-tadika adalah aksi-aksi mudah seperti belajar menunggang basikal roda tiga, menangkap bola, dan aktiviti membina kemahiran suatu permulaan bagus terhadap perkembangan kanak-kanak ini.

Justeru, ibu bapa dan penjaga perlu kreatif mencipta permainan menyeronokkan seperti berjalan menjengket, melukis, bermain objek kecil seperti ‘puzzles’, dan menganjurkan perlawanan ‘finger painting’.

Emosi kanak-kanak adalah ekstrim dan singkat. Justeru, bagi mengelakkan berlaku perkelahian, individu dewasa berperanan membantu kanak-kanak ini mencipta peraturan jelas melalui perkataan.

Bagi menyerlahkan daya kepintaran atau kognitif kanak-kanak, bina situasi dan aktiviti yang memerlukan mereka melakukan sendiri. Pastikan ruang dalam dan luar bangunan mencukupi untuk aktiviti berkenaan.

Sesetengah kanak-kanak pra-tadika mula petah bercakap, bertanyakan soalan luar biasa dan mengemukakan kehendak, idea atau persoalan kerana ia proses pembelajaran normal.

“Biasanya, mereka mengambil masa panjang menjalani aktiviti dan aktiviti berkumpulan berisiko mengurangkan rasa bosan mereka.

Oleh Nadia Hamid
Sumber: BHarian [2012/12/22]

0 comments: