Nuff Atas

15 Disember 2012

Rumah Bersih Nyaman Serta Bebas Formaldehid


Kemasan gam pencetus formaldehid.

Rumah dengan dekorasi indah sememangnya menjadi dambaan ramai. Ada yang sanggup membiarkan tingkap dan pintu tertutup rapat, bagi mengelakkan debu luar daripada masuk ke dalam rumah.

Begitupun, susun atur dan indahnya hiasan di dalam rumah, tanpa sedikit habuk dan debu, bukan ukuran ia selamat untuk didiami sebaliknya aliran udara berkualiti dihirup dalam rumah itulah ukuran keselamatan kita berada di dalamnya.

Justeru, bagaimana mengelakkan daripada rumah menjadi sarang penyakit?

Rumah tertutup dengan banyak penggunaan perabot atau kertas dinding menggunakan kemasan gam mendedahkan, kualiti udara di dalam rumah tidak selamat disebabkan pendedahan keterlaluan terhadap formaldehid.

Gam digunakan dalam kertas dinding dan perabot boleh menghasilkan tindak balas udara yang menghasilkan formaldehid, iaitu sejenis gas tidak berwarna digunakan dalam larutan sebagai pengawet dan bahan penyahjangkitan.



DARI mana datangnya Formaldehid di dalam rumah kita?

Gam pencetus

Pendedahan ini dilakukan menerusi kajian Nippon Paint (Malaysia) Sdn Bhd dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini.

Kajian bertajuk ‘Indoor Air TVOCs and Formaldehyde Monitoring Programme and Its Impact on Respiratory Health, Allergies and Asthma Among Building Occupants’ itu menganalisis lebih 1,000 sampel kualiti udara bangunan termasuk pejabat, rumah dan tempat awam di sekitar Lembah Klang yang mendapati kualiti udara di dalam rumah kebanyakan penduduk kota kurang berkualiti disebabkan pengaliran udara yang kurang baik dan penggunaan perabot dan peralatan rumah berasaskan gam yang boleh bertindak balas sesama sendiri lalu terhasillah formaldehid.

Pegawai Akademik dan Penyelidik, Unit Sains Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan (USKKP), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Syazwan Aizat Ismail, berkata, tidak ramai yang mengetahui mengenai formaldehid ini dan bagaimana ia memberikan impak kepada kesihatan isi rumah.

Mengulas mengenai formaldehid dan bagaimana ia menjejaskan kesihatan umum, katanya, penemuan kajian, mendapati tahap formaldehid dalam rumah berada pada paras yang boleh menjejaskan kesihatan individu, khususnya kesukaran bernafas dan alahan kepada individu yang berada di dalam rumah berkenaan.

“Berbeza di negara membangun, formaldehid sudah lama dikenal pasti sebagai bahan pencemar berbahaya yang memudaratkan kesihatan. Pendedahan terhadapnya juga turut dikawal dari segi perundangan. Bagaimanapun di Malaysia, kesedaran kualiti udara serta bahaya formaldehid masih baru dan secara keseluruhannya masih ramai yang belum mengetahui mengenainya,” katanya.

Pilih hiasan praktikal

Formaldehid adalah gas tanpa warna, berbau kuat, larut air dan mempunyai jisim yang sama seperti udara. Ia sangat mudah meruap dalam suhu sekeliling atau kelembapan tinggi dan mudah terkumpul dalam bangunan tumpuan ramai.

“Jika kita terdedah dengan formaldehid dalam jangka panjang, ia boleh menyebabkan pengumpulan cecair dalam paru-paru untuk menghasilkan pneumonia dan bengkak paru-paru,” kata Syazwan Aizan Ismail.

Beliau berkata, masyarakat amat mudah terpengaruh dengan cara menghias dekorasi rumah supaya tampak cantik, tanpa mengetahui susun atur rumah menghalang pengaliran udara serta pemilihan peralatan yang tidak praktikal.

Malah Syazwan menyifatkan penggunaan pewangi rumah berasaskan bahan kimia boleh mengancam kesihatan individu khususnya yang mempunyai masalah pernafasan seperti asma. Beliau sebaliknya menyarankan penggunaan pewangi berasakan tumbuh-tumbuhan yang nyata lebih selamat seperti bunga rampai dan serai wangi.

Sementara itu Pengurus Besar Nippon Paint (M) Sdn Bhd, Gladys Goh Kaye Jen, berkata Nippon menghasilkan cat yang berupaya membersihkan udara di dalam rumah iaitu ‘Odour - Less Air Care’.

“Ia dihasilkan bertujuan menyerap formaldehid berbahaya dan menyegarkan udara. Cat ini berperanan dengan menyerap formaldehid, kemudian menukarkannya ke dalam bentuk wap air. Hasilnya, udara yang segar dilepaskan,” katanya.

INFO: Formaldehid

* Bahan kimia industri biasa dan Volatile Organic Compound (VOC), di mana perabot kayu, disinfeksi, gam dan bahan penebat.

* Produk ini menghasilkan formaldehid sebagai gas tidak berwarna. Formaldehid wujud di udara. Sumber formaldehid menghasilkan formaldehid untuk tempoh yang lama, kadangkala bertahun.

* Tahap formaldehid boleh mencecah lebih 0.03 bahagian per juta sekiranya rumah/bangunan dipenuhi perabot kayu dan permaidani.

* Formaldehid biasanya muncul di mana saja termasuk rumah. Tahap kandungannya yang tinggi di udara boleh mengakibatkan mata berair, batuk dan nafas berbunyi serta gatal hidung dan tekak.

* Asap rokok adalah penyumbang terbesar formaldehid untuk udara dalaman. Sama ada perokok atau penghidu asap rokok, keduanya-duanya terdedah dengan tahap formaldehid yang berbahaya.

* Satu dalam lima orang adalah sensitif terhadap formaldehid dan akan menunjukkan simptom walaupun pada tahap pendedahan yang rendah.

Panduan mudah

* Benarkan aliran udara berlaku di dalam rumah dengan membuka pintu dan tingkap pada hujung minggu.
* Elakkan menggunakan perabot dan kertas dinding banyak menggunakan gam.

* Pilih perabot dan peralatan rumah praktikal dan tidak mudah memerangkap habuk.
* Kerap membersihkan rumah.

* Elakkan pewangi rumah daripada bahan kimia sebaliknya pilih tumbuhan-tumbuhan seperti pandan dan serai wangi.

* Bau hapak boleh dihapuskan dengan penggunaan arang.

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
Sumber: BHarian [2012/12/13]

3 comments:

محمد رازيق berkata...

formaldehie tu mmg bahaya. kat lab, sy guna benda tu.

Aishah Jahirah berkata...

bahaya ni...kena bagi udara segar masuk dlm umah.

teha berkata...

nice sharing :)