15 Disember 2012

Akta Perlindungan Data Peribadi Kuatkuasa 1 Januari 2013



Akta Perlindungan Data Peribadi yang bertujuan mencegah penyalahgunaan data peribadi orang awam untuk tujuan komersial, akan berkuatkuasa 1 Januari 2013.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang berkata, akta itu yang diluluskan Parlimen pada 2010, akan memainkan peranan penting dalam melindungi kepentingan individu dan menjadikannya satu kesalahan bagi entiti korporat atau individu untuk menjual maklumat peribadi atau membenarkan penggunaan data oleh pihak ketiga.

Beliau berkata, banyak pihak berasakan penguatkuasaan akta itu adalah tepat pada masanya kerana ia akan memudahkan pemindahan dan penghantaran maklumat peribadi serta maklumat yang amat penting dengan lancar.


"Ia memberikan orang ramai lebih banyak kawalan terhadap data peribadi mereka. Apabila persetujuan diperlukan untuk pemprosesan data, ia diberi dengan jelas dan bukannya secara tersirat atau rekaan," katanya.

Audit data berterusan

Beliau berkata organisasi, dari satu sudut, perlu memulakan amalan audit data peribadi secara berterusan untuk memastikan ia mematuhi undang-undang kerana mereka kini berhadapan dengan tanggungjawab yang semakin banyak dan akauntabiliti dalam pemprosesan data peribadi yang didedahkan kepada mereka.

Salang berkata, untuk mentadbir undang-undang itu, Jabatan Perlindungan Data Peribadi ditubuhkan pada 16 Mei 2011.

Beliau berkata mengikut akta itu, mereka didapati bersalah boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda RM300,000 atau kedua-duanya.

Sumber: BERNAMAUtusanBHarian  [12/12/2012]

0 comments: