Nuff Atas

13 Disember 2012

Susunan Angka Dan Tarikh Unik Jadi Pilihan



Tanggal 12.12.12! Itulah tarikh semalam. Angka atau digit itu dikatakan cantik, tidak kurang pula menganggap tarikh hari ini begitu unik dan istimewa.

Ini berikutan, susunan angkanya iaitu 12.12.12 kelihatan menarik dan cantik sebab berturutan serta memberi impak tersendiri apabila dicatat misalnya, pada sijil perkahwinan, kad kahwin dan sebagainya.

Angka tetap angka manakala kebaikan atau keburukan dibawa tiada kaitan dalam kehidupan seseorang, sebaliknya bergantung kepada empunya diri untuk mencorakkannya," Prof Madya Dr Mohammad Shatar Sabran, Pakar motivasi dan sosiologi, Universiti Putra Malaysia.

Mungkin sebab itulah lazimnya, tanggal sebegini ramai bercadang mengadakan majlis pertunangan, pernikahan, meraikan resepsi majlis perkahwinan dan merancang pelbagai acara lain, ada memilih tarikh bersalin pada hari berkenaan.


Tidak kurang juga menjadikan atau mengabadikan tarikh itu dalam bentuk simbolik seperti menjadikan angka berkenaan sebagai mas kahwin, hantaran dan hadiah istimewa. Justeru, tidak hairan jika ramai menunggu tarikh itu untuk diabadikan bagi mengadakan acara tertentu yang akan diingati, dikenang dan dipahat dalam lipatan sejarah untuk sepanjang hayatnya.

Malah, bukan individu saja, hotel dan kompleks beli-belah atau yang berasaskan perniagaan turut mengambil kesempatan menawarkan potongan istimewa kepada pelanggan mengikut angka itu sempena meraikan kehadirannya.

Digit cantik

Apakah sebenarnya keistimewaan atau yang menarik mengenai tarikh 12.12.12?

Selain berpendapat, digit yang cantik ada juga menganggapnya angka bertuah tetapi ada pula melihat ia sekadar nombor, apabila dibilang akan sampailah pada angka itu.

Tarikh hanya pengukuran peredaran masa atau jika berpandukan pada kalendar, angka tercatat hanya penanda peredaran masa. Dalam kata lain, tarikh adalah jumlah peredaran masa. Susunan tarikh dimulakan dengan bilangan hari diikuti dengan bilangan bulan dan diakhiri dengan bilangan tahun.

Persoalannya ramai orang percaya angka boleh membawa keburukan dan kebaikan. Bahkan, ada mempercayai angka mempunyai semangat atau tenaga semula jadi tertentu yang boleh membawa keburukan atau kebaikan kepada seseorang. Jangan terkejut, jika ada orang menggunakan angka tertentu untuk menjadikan dirinya bertuah!

Menurut perspektif Islam, tiada hari atau angka dianggap bertuah atau sial, sebaliknya semua dianggap sama. Begitu jugalah dengan angka atau tarikh 12.12.12.

Pakar motivasi dan sosiologi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata kegemaran memilih tarikh dan angka tertentu dalam masyarakat di negara ini sebenarnya sudah berakar umbi sejak dulu.

Angka dan hubung kaitnya dengan manusia menjadi tradisi dalam masyarakat di negara ini bukan saja hari ini saja tetapi sudah berkurun lama.

Katanya, misalnya dalam soal penentuan tarikh pernikahan, masyarakat dulu akan membuat perkiraan bagi memilih tarikh dan bulan Islam. Pemilihan dan penentuan tarikh itu dibuat berhati-hati bagi memastikan pasangan mempelai kekal bahagia melayari rumah tangga mereka.

“Bulan paling dielakkan berkahwin ialah Safar kerana kononnya membawa bencana. Contoh lain, berkaitan angka dalam kehidupan masyarakat di negara ini ialah ‘pantang’ mengadakan majlis persandingan serentak untuk dua pasangan pengantin. Jika majlis dibuat bersama, kononnya salah satu pasangan tidak akan kekal rumah tangga mereka.

“Begitu juga ingin bergambar, tidak boleh ambil bertiga kerana dipercayai kelak salah seorang akan meninggal dunia. Begitulah taksubnya kepercayaan masyarakat dulu dengan angka dan tarikh dalam kehidupan mereka. Bagaimanapun, kepercayaan seumpama itu sudah semakin pudar pada hari ini,” katanya.

Mudah diingati

Hari ini masyarakat lebih cenderung mengabadikan tarikh istimewa supaya peristiwa berkenaan mudah diingati serta terpahat di sanubari. Tiada kaitan dengan soal budaya, kepercayaan atau mitos.

Sebaliknya, pemilihan tarikh istimewa pada hari ini hanyalah sekadar aliran semasa yang menyuntikkan keseronokan dan sesuatu dekat dalam diri pada empunya diri. Apatah lagi, katanya bukan senang untuk ‘mendapatkan’ tarikh itu, malah mungkin individu terbabit terpaksa menunggu jangka masa panjang untuk menunggu kedatangan tarikh berkenaan bagi merealisasikan keinginannya.

Dalam aspek sosial juga tidak salah memilih atau menjadikan nombor yang dianggap ‘ajaib’ dan istimewa itu diabadikan dalam kehidupan seperti berkahwin, bertunang serta sebagainya. Peristiwa dan tarikh dipilih itu mungkin boleh dijadikan kenangan sepanjang hayat.

Jangan taksub

Jangan ingin mencatatkan sejarah dan keistimewaan dalam hidup serta semata-mata untuk mendapatkan tarikh diidamkan, individu mengabaikan perkara lain termasuk menyusahkan orang lain untuk datang ke majlis diadakan atau sanggup mengubah perkara yang mungkin lebih penting dilakukan pada hari itu.

“Jangan juga kerana keghairahan untuk mendapatkan angka cantik, individu itu membuat pertimbangan silap. Misalnya, dia mungkin sudah menetapkan tarikh istimewa itu untuk berkahwin tetapi masalahnya duit belanja masih tidak mencukupi. Disebabkan terdesak dan ingin juga penuhi hajat, dia sanggup berhutang dengan Along. Tidakkah itu bakal menyusahkannya kelak,” katanya.

Mengingatkan angka dan kehidupan seseorang termasuk kebahagiaan rumah tangga, tuah dan tiada kaitan dalam mencorak kehidupan seseorang.

Tegasnya, angka atau tarikh yang cantik dan dianggap istimewa hanya sekadar persepsi asas. Ini bermakna, angka tetap angka manakala kebaikan atau keburukan dibawa tiada kaitan dalam kehidupan seseorang, sebaliknya bergantung kepada empunya diri untuk mencorakkannya.



INFO: Angka dan kaitannya dengan kehidupan manusia

* Aliran gemar memilih angka atau nombor cantik bukan sekadar terhad kepada pemilihan tarikh untuk acara tertentu atau pemilihan angka pendaftaran kenderaan, nombor telefon dan lain-lain. Fenomena ini tidak salah selagi individu tidak beriktikad angka itu bakal membawa tuah dalam kehidupan.

* Ulama berpendapat, Islam bukan agama berfalsafah dengan angka. Ini bermakna, untung nasib seseorang juga tiada kaitan dengan angka yang ada dalam kehidupannya.

* Islam juga tidak kenal dengan amalan weton seperti pahing, legi dan lain-lain lagi. Oleh itu, umat Islam mesti jauhkan diri daripada berjumpa dengan orang tertentu kononnya, ingin mencari tarikh sesuai berdasarkan kiraan tanah, air, api, angin dan sebagainya. Perbuatan seumpama itu mampu mengheret individu terbabit ke lembah syirik kerana seolah-olah tidak percaya kepada Allah yang menentukan qada dan qadar.

*Aliran gemar memilih angka atau tarikh dilihat akan berterusan hingga tahun-tahun mendatang. Selagi ia tidak ditunjangi oleh perkara syirik, khurafat, tahyul ataupun apa-apa perkara yang mengganggu kestabilan iman, maka tidak menjadi masalah menghadirinya.

* Ada hari paling baik antara kesemua hari dan ada bulan paling baik antara semua bulan. Contohnya, bulan Ramadan dan juga hari Jumaat sebagai mana sabdanya: “Hari terbaik di mana matahari naik adalah hari Jumaat. Pada hari itu Adam dijadikan, dan pada hari itu dia telah masuk Syurga dan pada hari itu dia dikeluarkan darinya” (riwayat Muslim, al-Jumu’ah, 1410).

* Umat Islam diingatkan, jangan terikut-ikut dengan kepercayaan agama lain kononnya angka tertentu membawa malang seperti 4, 13 dan 666.

Sumber: BHarian

1 comments:

caliph shuriken berkata...

sy sekadar suka tgk angka & tarikh unik.. x laa sampai taksub dgn semua ni, huh...