Nuff Atas

14 Disember 2012

Mencari Keikhlasan Dalam Diri


Kuasa, kekayaan dan pengaruh adalah ujian besar dalam keikhlasan

Ulama terkemuka dan ahli ibadah yang zuhud, Al-Fudhail bin Iyadh, berkata meninggalkan amal kerana manusia adalah riak, mengerjakan amal kerana manusia adalah syirik. Sedangkan ikhlas adalah jika Allah memberikan anugerah kepadamu untuk meninggalkan kedua-duanya.

Bagaimanapun, sukar untuk menentukan keikhlasan seseorang. Keikhlasan tidak boleh dinilai hanya berdasarkan kata-kata seseorang yang menyebut perkataan ikhlas atau catatannya yang bertulis ikhlas.

Biasanya kuasa, kekayaan dan pengaruh banyak menguji keikhlasan seseorang. Semakin masyhur dan terkenal seseorang itu, semakin mencabar diri dan kedudukannya. Sebab itulah sesetengah ulama takutkan kemasyhuran dan sanjungan yang boleh membawa fitnah kepada diri dan agamanya.


Fudhail bin Iyadh berkata, “Jika anda mampu untuk tidak dikenali oleh orang lain, maka laksanakanlah. Anda tidak rugi sekiranya tidak terkenal. Anda juga tidak rugi sekiranya tidak disanjung orang lain. Demikian pula, janganlah gusar jika anda menjadi orang yang tercela di mata manusia. tetapi menjadi manusia terpuji dan terhormat di sisi Allah.”

Rasulullah SAW bersabda: “Beruntunglah seorang hamba yang memegang tali kendali kudanya di jalan Allah sementara kepala dan tumitnya berdebu. Apabila ia bertugas menjaga benteng pertahanan, ia benar-benar menjaganya. Dan jika ia bertugas sebagai pemberi minuman, ia benar-benar melaksanakannya.”

Kisah Khalid Ibn Waled sangat diingati apabila perbincangan berhubung maksud keikhlasan dalam konteks kepemimpinan. Kegagahan dan kepahlawanan Khalid Ibn Waled sebelum dan selepas Islam tidak boleh dinafikan sesiapapun.

Bahkan beliau terus diberi kepercayaan sebagai seorang panglima perang selepas memeluk Islam kerana kebolehannya yang diakui. Namun, kedudukan beliau sebagai seorang Islam akhirnya diuji dan keikhlasannya dinilai ketika pemerintahan Saidina Umar Al Khattab.

Khalid Ibn Waled yang terkenal dengan keberanian dan kehebatan strategi perangnya telah dilucut jawatan sebanyak dua kali oleh Khalifah iaitu pada tahun 13 Hijrah, sejurus selepas Saidina Umar dilantik sebagai khalifah dan sekali lagi pada 17 Hijrah.

Kedua-dua peristiwa itu bukanlah disebabkan Khalifah tidak memandang jasa dan pengorbanan Khalid Ibn Waled dan bukan juga disebabkan Khalid menghadapi masalah hubungannya dengan Khalifah.

Tindakan yang dilakukan Saidina Umar adalah semata-mata untuk menjaga keyakinan umat Islam terhadap Allah. Khalifah tidak mahu umat Islam terpengaruh dan terpukau dengan kebolehan Khalid Ibn Waled sehingga tersilap sangka bahawa kemenangan Islam disebabkan kehandalan Khalid, bukannya kerana bantuan Allah SWT.

Meskipun dilucutkan jawatan, Khalid Ibn Waled tanpa rasa kecewa telah menanggalkan serban seorang panglima perang lalu diserahkannya kepada Abu Ubaidah seperti mana yang diminta oleh Khalifah.

Begitu juga peristiwa di mana Khalid Ibn Waled dipecat dari jawatannya sebagai Gabenor di Syria oleh Khalifah lalu beliau berkata: “Amir al-Mukminin (Umar) melantik aku sebagai Gabenor dan setelah urusan menjadi licin dan lancar, beliau melucutkan jawatanku.

Lalu seorang lelaki berkata: “Sabarlah wahai tuan, ia waktu untuk bermulanya fitnah."

Khalid kemudian menjawab: “Selagi anak Al-Khattab ini hidup, selagi itu tiada ruang fitnah boleh berlaku.”

Bagi menggambarkan pandangan jauh, ketegasan dan keberanian Khalifah Umar, Khalid Ibn Waled menerima pemecatannya itu dengan baik bagi menggambarkan sahsiahnya sebagai seorang Islam.

Khalid Ibn Waled dilihat begitu yakin terhadap kepimpinan Saidina Umar yang lebih mengutamakan kepentingan memelihara agama, demi mengelakkan fitnah dan menghalang pemujaan kepada tokoh.

Betapa sukarnya mencari keikhlasan yang dimiliki oleh insan bernama Khalid Ibn Waled pada hari ini terutama ketika berdepan dengan ujian kesetiaan kepada pasukan dan organisasi.

Oleh Amran Zakaria
Sumber: BHarian [2012/12/11]

0 comments: