12 Januari 2013

Imaginasi Filem Star Trek Jadi Realiti

Star Trek kini berada di Pusat Sains Negara menanti kunjungan anda semua ...
Bermula 19 Disember 2012 hingga 31 Mac 2013 ...
Rasailah pengalaman angkasa lepas di sana ...
Anda juga berpeluang untuk melihat gajet-gajet canggih ....
Yang dahulunya adalah imaginasi dalam Star Trek, tetapi kini telah menjadi realiti ...



SEKITAR pukul 11 pagi akhir Disember 2012 lalu, keadaan ruang pameran Star Trek: The Exhibition di Pusat Sains Negara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur yang agak sepi mula meriah dengan kehadiran para pengunjung.

Orang yang datang melawat mempunyai banyak ragam terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan kaum. Variasi usia semuda empat tahun sehingga mencecah 60 tahun.

Reaksi mereka juga berbeza-beza. Kanak-kanak berasa begitu teruja melihat kostum, prop-prop untuk lakonan dan set pakaian yang begitu unik. Bagi golongan dewasa pula, mereka melihat barang-barang pameran dengan begitu teliti sekali.


Langkah berjalan yang diambil sangat perlahan, manakala setiap penerangan dibaca satu persatu. Kadangkala, terukir senyuman pada bibir pengunjung, barangkali teringat memori menonton filem atau drama bersiri tersebut ketika usia muda.

Star Trek merupakan francais hiburan fiksyen sains Amerika Syarikat yang direka oleh Gene Roddenberry dan buat masa sekarang hak milik dipegang oleh stesen televisyen CBS Broadcasting Inc. (CBS).

Francais itu bermula pada tahun 1966 dengan penyiaran drama bersiri, Star Trek yang kemudian dikenali sebagai Star Trek: The Original Series. Terdapat 12 judul filem dan enam drama siri Star Trek dari tahun 1966 hingga 2013.

Pameran yang pertama kali berlangsung di Asia itu mempamerkan prop, kostum dan set pengambaran daripada lima siri televisyen Star Trek dan 11 filem termasuk blockbuster pada tahun 2009 arahan J.J. Abrams.

“Bukan sahaja menjadi bandar raya pertama di Asia yang mengadakan pameran ini, tetapi ia dapat memberikan pelawat menyelami dunia Star Trek.

“Para pelawat dapat mengingati adegan-adegan ikonik dengan melihat barang-barang yang dipamerkan di sini,” kata Pengerusi EMS Group Holdings Pte. Ltd., Datuk Jared Lim.

Harapan Jared, pameran itu nanti dapat memberi inspirasi kepada pengunjung terutamanya kanak-kanak untuk membina karier dalam bidang sains dan teknologi.


BARANG-BARANG pameran seperti kostum dan replika ini pernah digunakan dalam siri Star Trek.

Bahan pameran

Pameran tersebut berlangsung selama tiga bulan bermula sejak 19 Disember 2012 hingga 31 Mac 2013. Sebelum ini, semua barang pameran itu dipamerkan di Vancouver, Kanada.

Proses persediaan untuk pameran mengambil masa selama tiga minggu dengan seliaan tiga orang wakil daripada CBS bagi memantau dan menyusun prop-prop supaya kedudukan sama seperti ketika pengambaran sebenar.

Mereka dibantu oleh lapan orang kakitangan Total Sports Asia. Sebanyak 10 kontena diperlukan untuk memuatkan kesemua barang pameran tersebut untuk dibawa ke sini.

“Mereka sangat berhati-hati dalam menyelenggara barang pameran termasuk reka letak dan laluan pengunjung,” kata salah seorang wakil Total Sports Asia, Mohammad Azlan Mohd. Yunus, 23, yang ditemui di Bukit Kiara, Selangor.

Rekaan susun letak pameran tersebut membolehkan para pengunjung berpeluang menikmati Star Trek: The Exhibition secara interaktif dengan gaya muzium.

Mohammad Azlan kini menjadi satu-satunya individu yang diberi tanggungjawab menjaga dan menyelenggara setiap barang pameran sepanjang berada di Kuala Lumpur.

Antara bahagian pameran yang paling lama dipasang ialah Brigde yang menempatkan pusat kawalan kapal angkasa USS Enterprise.

Menurut Mohammad Azlan, kawasan tersebut mengambil masa dua hari kerana ruang yang kecil dan barang pameran yang sangat berat sehingga memerlukan foklif untuk mengangkat serta memindah.


PAMERAN filem Star Trek dilihat mampu mencetus minat kanak-kanak terhadap bidang sains.

Tugas hariannya memerlukan dia berada di situ sebelum dibuka dan ditutup kepada pengunjung.

Selain Bridge, replika kapal USS Enterprise setinggi tujuh meter yang digunakan dalam Star Trek juga menghiasi dewan pameran.

Pameran itu secara keseluruhannya mengumpulkan 150 barang seperti kostum, model dan prop.

Namun begitu, jika dibuat perkiraan untuk set penggambaran seperti Bridge, Transporter dan Kuarters Picard, bilangan barang pameran boleh bertambah berkali ganda.

Bridge apabila dipecah-pecahkan kepada bahagian kecil termasuk perhiasan dan prop sahaja berjumlah 143 pecahan. Bilangan bilik Pengangkut lebih kurang 50 bahagian, manakala Kuarters Picard berjumlah 100 pecahan.

Selain terkenal menjadi bahan hiburan bergenre cereka sains, francais itu turut dikenali ramai dengan memberi inspirasi kepada perkembangan teknologi dan penciptaan baharu.

Garis masa seluruh siri televisyen dan filem Star Trek bermula pada tahun 2820 Sebelum Masihi yang dipapar dalam episod All Our Yesterdays, musim ketiga Star Trek pada tahun 1969.


SET pengambaran Bridge ini merupakan bahan pameran yang paling lama memakan masa untuk dipasang.

Setakat ini, paparan tahun hiburan francais itu terhenti pada tahun 2387 Selepas Masihi melalui filem berjudul Star Trek yang diterbitkan pada tahun 2009.

Inspirasi gajet hari ini

Menggunakan latar masa yang begitu kehadapan, maka setiap peralatan dan sistem perhubungan turut direka supaya kelihatan begitu canggih serta maju walaupun olok-olok.

Menariknya, setiap rekaan sama ada set penggambaran mahu pun prop sesuai dengan logik sains dan dikatakan beberapa alatan yang digunakan watak-watak Star Trek memberi inspirasi terhadap gajet yang ada sekarang.

Sebagai contoh, alat communicator dikatakan memberi inspirasi kepada pencipta sekarang mereka telefon bimbit tanpa wayar dan kecil.

Communicator merupakan salah satu alat yang digunakan oleh karakter francais itu untuk berkomunikasi dengan markas ketika sedang menjelajah ke kawasan baharu.

Selain alat tersebut, mereka turut membawa tricoder. Ia berfungsi sebagai pengimbas yang merupakan senjata mengeluarkan laser.

Bagaimanapun, communicator dilihat terkehadapan kerana tidak memerlukan sebarang isyarat dan boleh digunakan di luar lapisan atmosfera.

Satu lagi prop yang pasti menarik perhatian pengunjung ialah Personal Access Display Device (PADD) yang muncul dalam siri Star Trek dengan paparan akhir tahun 2260.

Pada tahun 2364, dalam siri Star Trek yang diterbitkan sekitar tahun 80-an, gajet tersebut mula mengecil dengan pelbagai saiz, mempunyai kawalan skrin sesentuh dan ringan.

Ia digunakan karakter fiksyen sains itu untuk mendapatkan data atau maklumat yang sedikit, tetapi dalam bentuk lengkap. PADD juga dapat melukis rajah skematik dan foto-foto.

Dikatakan gajet Star Trek yang berusia lebih 20 tahun lalu itu memberi inspirasi terhadap penciptaan tablet sekarang yang turut sama berfungsi untuk mengakses data-data yang ringkas.


SUSUN atur prop di set penggambaran kuaters Picard ini diletakkan sama seperti yang dipaparkan dalam siri fiksyen sains itu.

Alat pengimbas lokasi, tricoder pula dikatakan memberi inspirasi wujudnya Google Earth yang memberi maklumat mengenai keadaan geografi, peta dan imej maya glob pada waktu sebenar.

Sebenarnya, banyak lagi prop Star Trek yang secara tidak langsung memberi inspirasi kepada teknologi kini seperti storan maklumat yang kecil dan picagari yang menggunakan sistem hidraulik.

Namun, ada juga teknologi Star Trek yang terlalu terkehadapan dan tidak mungkin dapat direalisasi dalam tempoh terdekat seperti transporter yang terkenal dengan petikan: ‘Beam me up, Scotty’.

Ia berfungsi dengan menukar manusia atau objek menjadi bentuk tenaga sebelum ditembak ke kawasan yang mahu ditujui sebelum diubah semula menjadi fizikal asal.

Proses tersebut dipanggil penyahbahanan dan penjelmaan semula. Biarpun telepengangkutan itu dilihat sangat logikal dari sudut sains, tetapi teknologi itu masih lagi jauh untuk diadakan buat masa sekarang.

Selepas Kuala Lumpur, Malaysia, pameran Star Trek: The Exhibition akan berada di Taipei pada akhir Mei 2013 diikuti Kaohsiung, Taiwan pada bulan September 2013.

Oleh ADLAN JAAFAR
Sumber: Kosmo

2 comments:

MyFreeMinded berkata...

Menarik gak ni tapi sempat ke kami bawak anak2 kesini. :)

Jahirah berkata...

hehee baru taw...