11 Februari 2013

Tangani Stres Dengan Sebaiknya



Apa itu stres?

Stres adalah tekanan perasaan iaitu gangguan emosi kesan tindak balas sesuatu di luar kebiasaan atau kemampuan seseorang atau disebabkan sesuatu beban yang menimpa seseorang. Apabila berlaku stres, badan menghasilkan hormon adrenalin dan cortison yang menyebabkan jantung berdegup lebih laju, pernafasan lebih kencang dan tekanan darah meningkat.

Dr Hans Selye, pengasas teori tekanan perasaan atau stres, mendefinisikannya sebagai reaksi yang tidak spesifik oleh diri seseorang disebabkan sesuatu bebanan yang menimpanya.

Menurut Perunding Psikologi Pusat Perubatan Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Khairi Rahman, tekanan adalah perubahan fisiologi yang boleh dilihat secara ketara dalam diri seseorang. Ia terhasil apabila seseorang itu berasa keperluan melebihi keupayaan.


“Semua orang boleh merasai tekanan, tidak kira sama ada lelaki atau wantia, tua atau muda. Ketika berlaku tekanan, badan akan mengeluarkan hormon rangsangan yang dipanggil adrenalin ke dalam saluran darah.

“Hormon ini bersama yang lain akan menyebabkan beberapa perubahan di dalam tubuh sebagai persiapan untuk melindungi diri,” katanya.

Antara perubahan itu ialah denyutan jantung bertambah laju dan tekanan darah meningkat (untuk mengepam lebihan darah kepada otak, otot dan jantung); gula, lemak dan kolesterol dalam darah akan bertambah (untuk memberi lebihan tenaga kepada badan); pernafasan seseorang akan lebih laju (untuk menyalurkan lebihan oksigen yang diperlukan) dan begitulah seterusnya.

Perubahan ini berlaku secara tabii seiring dengan keperluan tubuh kita ketika itu. Bagaimanapun, jika tekanan berpanjangan dalam hidup dan kita tidak bijak mengurusnya, ia akan bertukar menjadi teruk yang boleh menyebabkan berlakunya penyakit tertentu.

Punca stres

Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan stres. Punca stres berkait rapat dengan persekitaran seseorang seperti masalah keluarga, kewangan, rakan, tempat kerja dengan majikan atau rakan sekerja, masalah kesihatan seperti penyakit kanser, masalah kesuburan, kematian atau perpisahan, kesesakan lalu lintas dan terlampau banyak kerja.

Stres juga berpunca daripada sikap atau sifat semula jadi seseorang seperti kurang keyakinan diri, cepat putus asa, bersifat perfectionist, mengalami masalah berkomunikasi dengan baik atau berterus terang dan cepat marah.

Punca yang tersenarai ini adalah bersumberkan persekitaran dan individu sendiri, selain itu, stres juga boleh berlaku akibat gangguan sihir, melalui jin dan iblis. Tekanan perasaan yang berpunca daripada gangguan sihir sukar dikesan oleh perubatan moden.

Dr Khairi menambah, antara faktor yang boleh menyumbang kepada tekanan ialah masalah kewangan, perceraian, penderaan fizikal dan mental, tekanan kerja mahupun masalah kekeluargaan.

“Selain itu, faktor biasa yang menyumbang kepada tekanan ialah alkohol atau dadah, kematian, tidak bekerja, kesukaran untuk sesuaikan diri di tempat baru dan banyak lagi.

“Apabila diri dalam keadaan tekanan, simptom seperti insomnia (susah tidur), kemurungan, susah hati akan berlaku.

“Kerana itu, apabila dalam keadaan tertekan, kita memerlukan seorang teman untuk meluahkan perasaan bagi mengurangkan tekanan dialami,” katanya.

Katanya, wanita lebih berisiko diserang tekanan berbanding lelaki. Ini kerana wanita lebih beremosi manakala kaum Adam ‘dilindungi’ sikap ego semula jadi yang ada pada diri mereka.

“Jika tekanan tidak dirawat, ia boleh menimbulkan kemudaratan kepada orang lain. Misalnya, bapa menghadapi tekanan kerja boleh menyebabkan bahaya kepada anak dan isteri seperti melakukan penderaan fizikal. Ia juga mampu mengancam orang lain dan diri sendiri.

“Namun harus diingat, tekanan bukan hanya negatif tetapi ada juga yang positif. Contohnya, tekanan boleh memotivasikan diri apabila seseorang itu terasa perlu berbuat sesuatu dan melakukannya dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Simptom stres

Tanda stres boleh dikategorikan kepada empat bahagian:

1. Fizikal - Badan letih, sakit kepala, susah tidur, sakit badan terutamanya di bahagian bahu dan tulang belakang, degupan jantung kuat, tekak loya, ketar badan, tangan berpeluh dan rasa sejuk.

2. Mental - Mudah lupa, hilang tumpuan, susah buat keputusan, fikiran celaru, serabut.

3. Emosi - Kerisauan, kebimbangan, fikiran negatif, membuat andaian tidak betul, sugul dan muram, mudah kecewa, sentiasa takut, sensitif, panas baran dan mudah hilang sabar.

4. Sikap - Suka mengeluh, makan banyak, merokok, minum arak berlebihan, agresif, maki hamun dan suka salahkan orang lain.



Kesan stres

Kesan positif stres ialah, ia dapat meningkatkan tenaga dan motivasi seseorang. Namun begitu, stres boleh menyebabkan banyak kesan negatif dan mudarat kepada kesihatan. Misalnya pening kepala, degupan jantung laju, sakit di bahagian bahu dan leher, masalah susah tidur, sakit belakang, selalu berpeluh dan masalah sembelit atau cirit-birit.

Pesakit yang gagal mengawal stres akan menyebabkan kesan jangka panjang, seperti gangguan sistem imunisasi, kemurungan, tekanan darah tinggi, strok, sakit jantung, masalah kesuburan, kencing manis, gastrik dan ulser, asma dan masalah kulit seperti alahan kulit, jerawat dan psoriasis.

Stres mampu melemahkan sistem imunisasi badan dan memudahkan kuman dan virus menyerang badan kita dan senang untuk seseorang dijangkiti penyakit seperti demam, selsema, batuk dan penyakit lain.

Kaedah mengawal stres.

Mengamalkan cara hidup sihat seperti menjaga pemakanan, waktu tidur dan rehat yang cukup, kurangkan pengambilan kafein dan aktif melakukan senaman.

Pengurusan masa lebih efektif dan menjadi seorang produktif dapat mengurangkan stres lalu lambakan tugas harian dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Belajar berkomunikasi dengan lebih efisyen dan berterus-terang supaya perkara yang menyebabkan stres dapat diselesaikan dan tidak disimpan di dalam hati

Belajar teknik cara pernafasan yang betul dapat membantu menenangkan.

Bercakap dengan seseorang yang boleh dipercayai tentang masalah atau stres yang dihadapi seperti kaunselor yang dapat memberikan nasihat terbaik.

Menangani stres dari perspektif Islam

Apabila stres seseorang perlu mengambil wuduk dan mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan solat lima waktu, solat sunat dan solat tahajud dan banyakkan membaca al-Quran dan berzikir setiap masa. Insya-Allah hati akan tenang dan stres berkurangan. Hal ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: "Bukankah dengan mengingati Allah itu, hati-hati akan menjadi tenang.." (Surah Ar'Ra'd, 28)

Ayat al-Quran sebagai terapi stres

Reda dengan ketentuan Ilahi dan setiap masalah atau stres adalah ujian Allah supaya hamba-Nya menjadi lebih tabah dan matang dalam kehidupan. Pasti terdapat hikmah atas setiap ujian yang menimpa kita. Firman Allah ;

"Sesungguhnya sesudah kesulitan itu terdapat kesenangan, setelah kesulitan ada kemudahan.." (surah Al Insyirah, ayat 5-6)

Berdoa dan memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh setiap masa, terutama selepas waktu solat dan berdoa di waktu susah dan senang supaya Allah permudahkan masalah dan stres yang dialami oleh hamba-Nya

Sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang Allah kurniakan kepada hamba-Nya seperti nikmat ibu bapa, anak-anak dan keluarga, nikmat kesihatan, pekerjaan, masa lapang, makanan dan sebagainya.

Firman Allah di dalam al-Quran :
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta." (Al-Ankabut:2-3)

"Allah tidak memberi kesusahan seseorang hamba melainkan apa yang terdaya olehnya." (Al-Baqarah: 286)

Rawat stres dengan ayat al-Quran

Dengn rawatan islam, pesakit stres diberikan ayat berikut untuk diamalkan dan disertai dengan doa kepada Allah SWT untuk memohon penyembuhan. Ayat yang perlu diamal adalah:

1. Surah Muhammad, ayat 21 hingga 32
2. Surah Tohaa, ayat 120 hingga 135

Cara amalannya ialah pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Muhammad tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu surah Tohaa tiga kali pada siang. Pembacaan hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah untuk penyembuhan.

Proses mengenal pasti (diagnosis) adalah sangat penting dalam rawatan Islam. Kalau punca stres disebabkan masalah persekitaran atau individu, cara rawatan adalah seperti biasa. Sekiranya stres berpunca daripada gangguan sihir atau jin, sebaik-baiknya pesakit terlebih dahulu datang berjumpa perawat Pusat Rawatan Islam seperti Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah supaya dapat mereka membuang sihir tersebut dan mengeluarkan jin yang terdapat di dalam tubuh terlebih dahulu sebelum pesakit mengamalkan bacaan surah yang diberikan. Bagi stres disebabkan gangguan sihir dan jin, sukar bagi perubatan moden untuk menyembuhkan kerana jin dan iblis hanya boleh diubati melalui ayat al-Quran.

Terapi penyembuhan melalui ayat al-Quran memerlukan masa, keyakinan disiplin dan kesabaran. Pesakit tidak boleh menjangkakan dengan membaca surah pada hari ini, penyakit akan sembuh pada esoknya. Kesabaran dan keyakinan sangat penting dalam proses rawatan. Pesakit mesti yakin akan mukjizat ayat Al-Quran dan yang paling utama doa kepada Allah SWT memohon penyembuhan, keberkatan dan rahmat-Nya.

Ramai bertanya, mengapakah ayat al-Quran yang diberikan, terjemahannya tidak ada kena-mengena dengan penyakit yang menimpa pesakit atau perkataan penawar atau penyakit yang dirawat. Sebenarnya, semua ayat al-Quran yang diturunkan oleh Allah bersifat penawar dan ini tidak boleh dijelaskan mengikut logik akal.

Tiap gugusan ayat yang diberikan mempunyai sifat aura tersendiri untuk menyembuhkan penyakit. Terjemahan bukanlah ukuran bahawa sesuatu ayat al-Quran itu ada kena-mengena dengan fungsi dan sifat penyembuhan atau simpton penyakit. Misalnya surah Al Waqiah diriwayatkan mampu memberi kemurahan rezeki kepada sesiapa yang istiqamah membacanya, namun terjemahan surah Al Waqiah bukan mengenai rezeki dan kekayaan, sebaliknya mengenai suasana kiamat, syurga dan neraka.

Justeru, perkara ini tidak dapat dijelaskan dengan logik akal manusia.

Kepada mereka yang mengalami gejala stres dinasihatkan agar tidak menjadikan tekanan sebagai penghalang kejayaan hidup dan menjadi seorang yang berputus asa. Rasulullah SAW pernah bersabda sewaktu ditanya oleh sahabat,

"Siapakah orang yang paling banyak sekali terkena ujian?" jawab baginda, "Nabi-nabi dan seterusnya orang yang seumpama mereka. Maka barangsiapa yang tebal imannya nescaya banyaklah ujian yang akan menimpanya dan barangsiapa yang lemah imannya, sedikit pula ujiannya." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)

Setiap yang bermula pasti akan berakhir, Tiap masalah ada penyelesaiannya dan tiap penyakit ada penawarnya. Yakinlah pada Allah SWT, nescaya Dia pasti membantu kita. Insya-Allah.

Sumber: Utusan, HMetro [2013/01/19]

4 comments:

ainun berkata...

Info yang menarik..tQ :)

Karen Monica berkata...

bila stress tidak dapat dikawal..memang bahaya

MyFreeMinded berkata...

Apa2 stress pun kalau kita balik kepada ajaran Islam kita, semuanya ada penyelesaian. :)

mawar libra berkata...

stress tak dapat di elakan dalam kehidupan mencabar masa kini.... terpulang lah pada kita nak mengatasinya... stress berlebihan bahayakan kesihatan...