30 Mac 2013

Cara Mudah Membudaya Penjimatan Elektrik


Bil elektrik boleh dijimatkan dengan banyak melalui transformasi tingkah laku dan tabiat harian.

Pengguna yang terasa beban kos kehidupan sebenarnya mempunyai dua pilihan untuk mengatasi keadaan itu iaitu berusaha mendapatkan lebih wang atau kurangkan perbelanjaan.

Kekangan masa, bagaimanapun, menjadikan pilihan kedua sebagai lebih mudah dan praktikal untuk dilakukan.

Ini boleh dimulakan dari rumah, antaranya dengan memastikan penggunaan elektrik secara berhemah yang seterusnya mampu mengurangkan perbelanjaan bil elektrik dengan nyata.


Kemampuan mengurangkan bil elektrik dengan penggunaan berhemah misalnya dibuktikan melalui satu projek pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Marudi, Baram, Sarawak.

Projek ini berjaya memenangi pertandingan kecekapan tenaga anjuran Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (Wecam), sekaligus membuktikan kadar penggunaan elektrik dapat dikurangkan sehingga 70 peratus dalam tempoh dua bulan.

MELINDUNGI KEPENTINGAN SEMUA PIHAK

Ia dianggap sebagai satu penjimatan wang yang ketara, malah Setiausaha Agung Wecam, Foon Weng Lian amat teruja menyaksikan kejayaan penjimatan yang sebenarnya lebih tinggi berbanding 50 peratus sasaran penjimatan.

Kesatuan WECAM ditubuh oleh Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dengan kerjasama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta penggerak lain industri air dan tenaga bagi melindungi kepentingan setiap lapisan pengguna berhubung kitar air dan tenaga negara.

Menariknya, projek pelajar SMK Marudi hanya mengubah beberapa tabiat biasa tetapi amat praktikal termasuk meninggikan suhu penyaman udara di bilik guru dan sebagainya kepada 24 darjah Celsius.

"Banyak pejabat tidak melaraskan suhu penyaman udara mengikut keperluan sebaliknya ditetapkan kepada 16 darjah Celsius sepanjang masa sedangkan tabiat itulah yang banyak merugikan tenaga," tegas Foon.

Terkini, kerajaan juga mengambil inisiatif mengeluarkan pekeliling yang mewajibkan pejabat kerajaan menaikkan suhu penyaman udara sekitar 23-24 darjah Celsius.



CONTOHI SMK MARUDI

Beliau mengajak orang ramai mencontohi projek pelajar berkenaan termasuk mematikan penyaman udara dan sebaliknya menghidupkan kipas pada hari hujan, serta kerap membuka tingkap untuk meningkatkan peredaran udara.

Lampu juga jarang digunakan pada waktu siang sebaliknya sekolah itu memilih untuk menghias bilik menggunakan warna terang yang membenarkan pantulan cahaya semulajadi menerangi bilik.

Foon mengakui kagum dengan komitmen pelajar yang berjaya membuktikan bil elektrik boleh dijimatkan dengan banyak melalui transformasi tingkah laku dan tabiat harian.

Justeru Foon menyeru agar pengguna khususnya ibu bapa dapat belajar daripada pengalaman pelajar sekolah itu dan dapat mengubah beberapa tabiat dalam kehidupan seharian bagi membantu mengurangkan perbelanjaan.

Beliau memberi contoh satu tabiat pembaziran universal iaitu tidak mematikan suis televisyen dan dekoder tv kabel apabila tidak digunakan.

"Dekoder yang berada pada mod bersedia sebenarnya masih menggunakan sekitar 85 hingga 90 peratus tenaga elektrik, bayangkanlah berapa banyak tenaga elektrik yang dibazirkan sekiranya ia tidak ditutup sepanjang malam atau 24 jam sehari," tanya Foon.

ARUS PENDAM MASIH MENGALIR

Selain menutup suis perkakas elektrik yang tidak digunakan, pengguna juga digesa menanggalkan terus palam perkakas daripada punca kuasa elektrik.

Tegas Foon, masih terdapat arus tenaga pendam yang mengalir merentasi palam ke peralatan elektrik berkenaan jika tidak dicabut meskipun suis telah dimatikan.

Malahan, amalan menanggalkan plak sebenarnya menyelamatkan perkakas elektrik, apabila berlakunya arus limpah ekoran ribut petir yang boleh menyambar litar elektrik dan merosakkan perkakas.

Antara tip mudah yang boleh menjadi amalan sekeluarga di rumah adalah memastikan lampu dan kipas dipadam jika tidak digunakan, jangan sesekali meninggalkan komputer dan alatan elektrik lain selama lebih 30 minit tanpa dimatikan dan palamnya ditanggal daripada punca kuasa.

Pilih dengan teliti barangan elektrik yang lebih menjimatkan tenaga seperti TV yang menggunakan monitor LCD, pemanas air segera berbanding pemanas air dalam tong dan lampu kalimantang berbanding lampu mentol bulat.

BUDAYA PENJIMATAN ELEKTRIK

Apapun amalan penggunaan tenaga secara cekap itu perlu dijadikan budaya walau di mana kita berada termasuk di pejabat, tempat awam atau semasa bercuti di resort.

Bayangkanlah jika setiap daripada kita membudayakan amalan ini, sudah tentu kadar penjanaan tenaga elektrik negara dapat dikurang atau sekurang-kurangnya kekal pada satu paras mendatar. Ini seterusnya akan mengurangkan pembebasan gas rumah hijau ke atmosfera dan membantu mengatasi pencemaran alam sekitar.

Ini juga dapat mengurangkan kos perbelanjaan keseluruhan penjanaan dan penghantaran elektrik negara, lantas mengawal kebarangkalian kenaikan tarif elektrik yang mendadak.

Lagipun sampai bila Petronas mampu membayar bebanan subsidi gas asli sebanyak 66 peratus berbanding harga pasaran, untuk menanggung kos penjanaan tenaga elektrik.

Sedangkan kita sebagai pengguna mahu terus menikmati subsidi dan kita mengeluh apabila tarif elektrik terpaksa dinaikkan bagi menanggung kos penghasilan tenaga yang sentiasa meningkat.

BELI ALAT ELEKTRIK SELAMAT

Kerajaan sebenarnya menjalankan banyak kajian dan insentif bagi menggalakkan pengguna menggunakan tenaga elektrik secara cekap.

Malah, Suruhanjaya Tenaga yang mewujudkan label jaminan kecekapan tenaga untuk ditampal pada perkakas dan alatan elektrik yang memenuhi piawai keselamatan dan kecekapan penggunaan elektrik.

"Malangnya terlalu ramai pengguna yang tidak membaca apatah lagi memahami label jaminan itu termasuklah jurujual kedai elektrik," keluh Foon.

Selain itu, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menyediakan baucer program Mencapai Kelestarian Menerusi Kecekapan Tenaga (SAVE) iaitu RM200 bagi peti sejuk dan RM100 bagi penyaman udara yang menepati piawai kecekapan tenaga.

Layari laman web www.switch.org.my serta www.saveenergy.gov.my untuk memahami lebih banyak cara menjimatkan tenaga elektrik serta aplikasi kalkulator untuk mengira sendiri penggunaan elektrik harian anda.

Oleh Wan Shahara Ahmad Ghazali
Sumber: BERNAMA

3 comments:

Unknown berkata...

mmm buat mase skrang mmg sy amalkan jimat letrik ni trmasuk gunekan pralatan yg jimat letrik.tp kkdang harge brg tu yg xtahan tu..mahal

roza berkata...

bill letrik sye hanye Rm 110 je sebulan...he he

PiNkYCaT berkata...

jgn guna perkakas letrik baru jimat...hehehehe;)

yg penting kena pandai hadkan penggunaan dan elakkan pembaziran...tapi kdg2 pyg jugak nak buat ni...hihi;p