31 Mac 2013
SBT Tingkat Mutu Pendidikan Negara
Penubuhan 91 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dalam tempoh tiga tahun sejak 2010 menjadi platform kepada negara memperkasa kebolehan pelajar sekali gus menyumbang kepada peningkatan mutu pendidikan di sekolah.
Pada masa sama, Kementerian Pelajaran menyasarkan penubuhan 19 lagi SBT pada tahun 2013 ini yang akan melonjakkan mutu pendidikan sekolah rendah dan menengah.
Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan dan Perhubungan Sekolah Berprestasi Tinggi, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pelajaran, Faridah Yang Razali, berkata fokus utama SBT bukan saja untuk pelajar mempunyai pengetahuan akademik cemerlang, bahkan turut menguasai kemahiran berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif.
Pelajar serba boleh
Katanya, ia juga sebagai elemen membentuk kemahiran memimpin, kemahiran dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris, sahsiah dan nilai serta semangat identiti nasional yang kuat.
"Pemilihan SBT melalui tiga proses saringan yang ketat oleh Kementerian Pelajaran (KPM). Sekolah bukan sahaja perlu cemerlang dalam akademik, tetapi perlu ada pencapaian dalam bidang kokurikulum di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta mempunyai jaringan dan jalinan kukuh dengan institusi pendidikan atau agensi kerajaan dan bukan kerajaan dan menjadi penandaarasan dari dalam dan luar negara.
"Calon juga dinilai dari segi pengurusan kewangan yang baik sebagai prasyarat. Penilaian ke atas calon dilaksanakan oleh Jemaah Nazir dan Jaminan kualiti bagi memastikan sekolah benar-benar layak berdasarkan dokumentasi atau bukti yang dikemukakan," katanya.
Faridah berkata, pemberian SBT bukan saja menumpukan kepada usaha menaikkan mutu kecemerlangan di sekolah itu saja, sebaliknya bertindak sebagai mentor kepada sekolah berhampiran di kawasannya.
Beri peruntukan khas
Katanya, peruntukan khas RM700,000 diperoleh selepas berstatus SBT bagi tahun pertama sebelum jumlah berikutnya, RM500,000 (tahun kedua) serta RM300,000 bagi tahun ketiga dan seterusnya.
"Kita menetapkan empat kriteria kepada sekolah dalam menggunakan peruntukan disalurkan meliputi pembangunan modal insan, pengantarabangsaan, penyelenggaraan dan ubah suai kecil serta harta modal.
"Walaupun ada syarat dari segi cara penggunaan (peruntukan), namun kementerian secara dasarnya tetap memberi kuasa autonomi kepada sekolah merancang apa juga program asalkan ia memfokuskan kepada meningkatkan kecemerlangan sekolah," katanya.
Kemudahan lain dinikmati SBT termasuk kursus dan latihan khas diberi kepada warga pendidiknya termasuk pengetua.
Ditanya mengenai pencapaian SBT berbanding sekolah lain, Faridah berkata, beberapa aspek dilihat termasuk dari segi pencapaian akademik pelajar serta daya kreativiti, karismatik, kebolehan memimpin dan komunikasi yang meningkat.
Dari segi prasarana sekolah katanya, penggunaan alat bantuan mengajar lebih menarik selain penggunaan teknologi dan kelengkapan makmal yang lebih moden.
Sehingga kini, katanya Johor adalah negeri paling banyak SBT iaitu 13 diikuti Selangor (10), Terengganu (9), Kedah (9), Kuala Lumpur (8) serta 7 di Pahang dan Pulau Pinang, manakala selebihnya di negeri lain.
Oleh Mohd Nasaruddin Parzi
Sumber: BHarian [2013/03/25]
Ramai Ibu Bapa Pilih Sekolah Berprestasi Tinggi
Ramai ibu bapa percaya bahawa guru banyak bertanggungjawab terhadap prestasi anak mereka di sekolah. Bagaimanapun, ibu bapa juga gagal menerima hakikat bahawa apa yang boleh dilakukan oleh para guru adalah terhad.
Oleh itu, adalah penting bagi ibu bapa untuk berusaha bersama-sama dengan anak mereka bagi menambahbaik prestasi akademik mereka.
SEKOLAH
Terdapat 10,066 buah sekolah di Malaysia - 7,733 sekolah rendah dan 2,333 sekolah menengah, menurut Kementerian Pelajaran.
Sebuah daripada sekolah menengah itu adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ12, sebuah sekolah menengah untuk menampung pelajar dari kawasan penempatan USJ3, USJ11, dan USJ12. Sekolah ini menerima status kelompok pada 2011.
'Kelompok sekolah-sekolah cemerlang' adalah sistem merit yang dilaksanakan dalam sektor pendidikan negara ini. Status ini diberi bagi sekolah dengan pelajar yang menunjukkan prestasi tinggi, dan ia menawarkan autonomi yang lebih lagi dalam pentadbiran sekolah.
KELAS BESAR
Pengetua SMK USJ12, Zaharah Ishak berkata pada tahun ini, seramai 503 pelajar memasuki Tingkatan Satu dalam sekolah kelompok ini, dengan tambahan 11 kelas untuk menampung lebih ramai pelajar.
"Kami mempunyai kelas-kelas yang besar sekarang ini dan setiap kelas boleh menampung 45 pelajar. Keseluruhannya, kami mempunyai 2,203 pelajar.
"Sekolah ini mempunyai 11 kelas masing-masing bagi Tingkatan Satu, Dua, dan Tiga dan 12 kelas masing-masing bagi Tingkatan Empat dan Lima," jelas Zaharah.
Sekolah kelompok ini mempunyai 111 guru untuk mendidik pelajar yang terdiri daripada semua kaum dan lapisan masyarakat.
Mengenai SMK USJ12 ini ia adalah sebuah sekolah popular dalam kalangan ramai ibu bapa, khas bagi mereka dengan anak yang akan mengorak langkah ke persekolahan menengah selepas peperiksaan UPSR. Para pelajar sekolah ini juga berdisiplin tinggi, yang menjadi elemen penting bagi sekolah kelompok.
Menurut Jabatan Pelajaran Selangor, terdapat lebih 10 sekolah kelompok (sekolah rendah dan menengah) di daerah Petaling Perdana.
PENDIDIKAN
Tetapi mengapa pula ibu bapa memilih sekolah kelompok ini bagi anak mereka?
Seorang pegawai Kementerian Pelajaran menjelaskan bahawa sekolah-sekolah Berprestasi Tinggi dalam kategori sekolah-sekolah kelompok adalah berorientasi keputusan. Sekolah-sekolah ini mempunyai sumber yang mencukupi serta menguruskan kewangan mereka dengan baik.
Kini, terdapat 153 sekolah kelompok di seluruh negara termasuk 46 sekolah rendah dan 107 sekolah menengah terdiri daripada sekolah-sekolah berasrama dan sekolah-sekolah kebangsaan bandar dan luar bandar.
Pada keseluruhannya, 213 sekolah di seluruh negara dikenali kerana kecemerlangan akademik dan ko-kurikulum, dan 60 daripadanya dalam kategori Amat Cemerlang. Kesemua sekolah ini mencapai standard 'Band 1' terutama berhubung program akademik dan aktiviti ko-kurikulum.
MOTIVASI
"Saya memberi motivasi kepada pelajar dan memastikan mereka menunjukkan pencapaian baik dalam peperiksaan.
"Saya akan memastikan para pelajar setiap kelas menumpukan perhatian kepada guru masing-masing, dan saya percaya dalam memotivasi pelajar," kata penolong kanan di SMK USJ12, Datin Suhailah Abdullah.
Sekolah-sekolah dalam gred A, B dan C dan SMK USJ12 adalah sekolah kelompok gred B di Selangor.
Sekolah kelompok gred B perlu mempunyai purata gred 4 (atau lebih rendah) dalam keputusan PMR, SPM, dan STPM bagi tiga tahun berturut-turut, berbanding dengan sekolah dalam kelompok gred A yang perlu mengekalkan purata gred 3 (atau bawah).
Sekolah-sekolah kelompok dalam kategori gred B kebanyakannya adalah sekolah harian, yang telah wujud sejak lebih 100 tahun. Sekolah-sekolah ini termasuk sekolah-sekolah sukan, kebangsaan, agama dan vokasional.
Menurut Jabatan Pelajaran Selangor, terdapat 25 lagi sekolah kebangsaan dalam senarai untuk dijadikan sekolah kelompok.
Oleh Hazlinda Hamzah
Sumber: BERNAMA [27/02/2013]
Labels:
Pendidikan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan