03 Mac 2013

Kopi Termahal Di Dunia Hasil Daripada Sisa Buangan Haiwan

Mulakan pagi anda hari ini dengan minuman berasaskan kopi .....
Bagi saya memadai dengan serbuk kopi yang harganya biasa-biasa sahaja serta mampu dibeli oleh sebahagian besar peminat kopi di Malaysia atau barangkali juga di Dunia ...



KOPI luwak yang hanya boleh didapati di Indonesia dianggap sebagai kopi paling pelik di dunia. Ia hanya boleh dihasilkan menerusi najis sejenis musang yang dikenali sebagai luwak oleh masyarakat tempatan. Secara semula jadi, musang tersebut akan terlebih dulu memakan biji kopi pada waktu malam sebelum penduduk kampung mengutip najis haiwan itu untuk diproses menjadi serbuk kopi.

Antara lokasi hangat penghasilan kopi yang mempunyai nilai komersial AS$700 (RM2,170) sekilogram itu ialah di sekitar Bali, Sumatera, Jawa dan Sulawesi.

Kopi itu pernah mencetuskan kontroversi apabila ada segelintir pihak yang mendakwa bahawa ia haram dimakan oleh orang Islam kerana dihasilkan menerusi proses pencernaan haiwan.



MUSANG luwak yang menghasilkan kopi paling mahal di dunia menerusi proses pencernaan selepas ceri kopi dimakannya.

Namun Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Ke-98 yang bersidang selama tiga hari mulai 13 Februari 2012 lalu memutuskan bahawa kopi tersebut harus dimakan.

Menurut laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), biji kopi luwak adalah bersifat najis.

“Ia harus dijadikan bahan minuman dengan syarat biji kopi tersebut masih dalam keadaan baik, tidak berlubang, tidak pecah dan dapat tumbuh jika ditanam.

“Biji kopi tersebut juga hendaklah disucikan terlebih dulu daripada najis,” demikian kenyataan fatwa itu.

Muzakarah juga memutuskan bahawa kopi luwak yang dihasilkan hendaklah mendapatkan pengiktirafan halal daripada Jakim atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebelum dipasarkan kepada masyarakat Islam.

Bagaimanapun musang bukanlah satu-satunya haiwan yang boleh menghasilkan kopi bermutu tinggi.

Di Thailand, masyarakat setempat menggunakan gajah bagi mempercepatkan penghasilan biji kopi berbanding musang yang hanya mampu memakan buah kopi dalam kuantiti terhad.


GAJAH akan diberi makan kira-kira 33kg buah kopi bagi menghasilkan sekilogram biji kopi.

Menurut mereka yang pernah menghirup kopi itu, rasa kopi gajah jauh lebih enak berbanding kopi robusta atau arabika yang bermutu tinggi.

Tetapi untuk merasa kopi itu tidaklah begitu mudah kerana ia hanya boleh didapat di tempat tertentu sahaja iaitu di beberapa hotel mewah di Thailand, Maldives dan Abu Dhabi. Harganya pula mencecah sehingga AS$68 (RM211) secawan.

Harga bagi setiap kilogram biji kopi yang siap diproses didagangkan sebanyak AS$1,100 (RM3,409).

“Apabila gajah memakan biji kopi itu, asid perutnya akan memecahkan protein yang terkandung di dalam biji kopi. Sebab itulah rasanya begitu sedap. Kopi itu juga lebih lembut berbanding kopi biasa,” kata pengasas kopi yang terhasil daripada gajah yang merupakan warga Kanada, Blake Dinkin, 43.


DANKIN menunjukkan kopi yang dihasilkan oleh gajah siap dibersihkan sebelum dibakar.

Perut gajah yang besar menjadi bonus dalam menghasilkan kopi yang berkualiti apabila ia mengambil masa kira-kira 15 hingga 30 jam untuk memproses biji kopi bersama-sama dengan pisang, tebu dan makanan lain. Justeru rasa kopi itu turut ditambah dengan aroma buah-buahan.

Antara lokasi penghasilan kopi tersebut di Thailand termasuklah di kawasan Segitiga Emas Anantar dan Phrao iaitu di utara Thailand.

Jumlah yang dihasilkannya juga terhad apabila hanya 20 ekor gajah yang diberi makan biji kopi untuk memprosesnya. Daripada jumlah 10,000 biji kopi, ia hanya mampu menghasilkan satu kilogram kopi.

“Daripada 33 kilogram (kg) kopi yang diberi makan kepada gajah, hanya sekilogram kopi Black Ivory yang dihasilkan. Ini adalah kerana sebahagian daripada kopi telah musnah kerana dikunyah. Hanya biji kopi yang tidak pecah sahaja yang akan diproses,” kata Dinkin.


MONYET Formosan Rock akan meluah kembali biji kopi yang dimakan sebelum diproses menjadi minuman.

Di Taiwan, monyet Formosan Rock turut memainkan peranannya dalam menghasilkan kopi termahal. Ia berbeza berbanding kopi luwak dan kopi gajah kerana biji kopi akan diludah oleh monyet selepas dimamah.

“Monyet itu selalunya memilih biji kopi yang nampak ranum dan berwarna merah menyala untuk di makan. Tetapi ia akan meludahnya kembali kerana tidak boleh dicerna,” kata seorang pengusaha kopi di Taiwan, Lio Ching Tung.

Jelas Ching Tung yang berpengalaman selama 30 tahun dalam perusahaan itu, kopi muntah monyet itu mempunyai rasa manis dan sedikit rasa vanila.

Kopi yang mengambil masa dua minggu untuk dihasilkan iaitu dengan melalui proses pengeringan di bawah matahari dan dibakar itu dijual pada harga AS$60 (RM186) bagi setiap setengah kilogram.

Sumber: Kosmo

Hukum Meminum Kopi Luwak (Musang)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan Hukum Meminum Kopi Luwak (Musang).

Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa Allah SWT memerintahkan umatNya supaya memilih rezeki yang halal dan memakan makan yang baik sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Baqarah, ayat 172 yang bermaksud:

“ Wahai orang yang beriman! Makanlah dari rezeki yang baik yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu beribadat kepada-Nya.”

Muzakarah juga berpandangan bahawa kaedah fiqhiyyah menetapkan bahawa hukum asal mengenai sesuatu adalah harus selagimana tidak ada dalil muktabar yang mengharamkannya. Ulama’-ulama’ fiqh muktabar menjelaskan bahawa mana-mana bijian yang dimuntahkan oleh haiwan atau yang keluar bersama najis haiwan tersebut, selagi mana ianya tidak rosak dan masih kekal dalam rupa bentuknya yang asal atau jika ditanam ia mampu tumbuh, maka ia dihukumkan sebagai mutanajjis dan bukan najis.

Sehubungan itu, selaras dengan penegasan dan pandangan-pandangan tersebut, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa biji Kopi Luwak (musang) adalah bersifat mutanajjis dan ia harus dijadikan bahan minuman dengan syarat:

1. Biji kopi tersebut masih dalam keadaan baik, tidak berlubang, tidak pecah dan dapat tumbuh jika ditanam; dan

2. Biji kopi tersebut hendaklah disucikan terlebih dahulu daripada najis.

Muzakarah juga memutuskan supaya Kopi Luwak yang dihasilkan hendaklah mendapatkan sijil pengesahan halal daripada JAKIM atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebelum dipasarkan kepada masyarakat Islam.

Sumber: e-fatwa

Kopi Tahi Musang difatwa halal oleh MUI

Kopi Luwak atau Kopi Tahi Musang, kopi termahal di dunia dari Indonesia, difatwa halal oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI) dengan syarat biji kopi berkenaan telah dibersihkan daripada kotoran.

"Kopi Luwak dihukumkan mutanajis, ertinya terkena najis. Kopi Luwak dinyatakan halal setelah melalui proses pembersihan. Meminum Kopi Luwak dihalalkan, kemudian mengeluar, menjual beli, meminum Kopi Luwak, hukumnya boleh," kata Ketua Suruhanjaya Fatwa MUI Ma'ruf Amin.

Kopi Luwak adalah sejenis kopi yang diproses dengan fermentasi secara semula jadi dalam pencernaan haiwan luwak, binatang yang sejenis dengan musang yang tinggal di pepohonan.

Biji kopi yang masih berkulit, ditelan kemudian sisanya yang berupa biji kopi dengan kulit dalam kopi, keluar bersama kotorannya. Sebelum diolah, biji kopi yang telah keluar tadi dipisahkan dari kotoran luwak secara manual.

MUI mengeluarkan fatwa tersebut berikutan banyak pertanyaan dan keluhan umat Islam mengenai perkara itu, dan berharap dengan adanya fatwa berkenaan, hukum mengenai pengambilan Kopi Luwak menjadi lebih jelas.

Sementara itu, setiausaha Suruhanjaya Fatwa MUI, Aminuddin Yakub berkata, MUI telah melakukan kajian dan mendapati haiwan luwak hanya makan kulit luar buah kopi dan menyisakan kulit dalam buah tersebut.

"Dan kalau ditanam, biji kopi itu boleh tumbuh. Dengan demikian, itu bukan najis, melainkan mutanajis," katanya.

Mutanajis berbeza dengan najis kerana ia suatu benda yang dilarang untuk dimakan oleh umat Islam, seperti daging babi, namun mutanajis adalah keadaan apabila sesuatu benda terkena najis, ia dapat dikatakan halal jika najis itu dibersihkan.

Kopi Luwak sangat masyhur di kalangan penggemar kopi di Indonesia serta di peringkat antarabangsa kerana memiliki cita rasa unik, hasil daripada proses pembuatan yang "aneh". Harganya yang mahal juga turut menjadi penarik kepada para penikmat kopi.

Di Amerika Syarikat, Kopi Luwak dikenal sebagai kopi kotoran kucing atau "cat-poo coffee" dan dijual dengan harga AS$190 untuk 500 gram. Kopi tersebut juga didakwa dikategorikan sebagai langka atau jarang ditemui kerana setiap tahun, hanya 250 kilogram dihasilkan.

Di pasaran antarabangsa, harganya berkisar antara AS$100 hingga AS$350 sekilogram.

Sumber: Utusan [21/07/2010]

4 comments:

MyFreeMinded berkata...

Pernah baca berkaitan kopi luwak ini. Sambutan terhadap kopi ini memang memberangsangkan, tapi bagi kami (Saya dan En. Suami ) cukuplah dengan pilihan kopi biasa saja. :)

Unknown berkata...

biaq betik? huhu..naseb baek sye xgemar minum kopi...heee.

Dayang Deno berkata...

pelik2 la kopi skrg nih... yg lg pelik tu ada pulak org nak minum hasil buangan haiwan.... ish3

ecadwinkyasha berkata...

geli la...