24 April 2013

Evolusi Dan Mutasi Selsema Burung H7N9

Gambar hiasan
Gambar hiasan

Ayam sebar virus H7N9

Penyelidik mengesahkan virus selesema burung H7N9 yang mula dikesan Februari 2013 lalu disebarkan oleh ayam di pasar haiwan ternak kepada manusia. Pasar haiwan ternak banyak didapati di Asia. Hasil penyelidikan terbaru itu dilaporkan oleh majalah The Lancet.

Kes pertama jangkitan terhadap manusia dilaporkan di Shanghai sebelum virus itu dikesan di wilayah selatan Zhejiang dan Beijing di utara.

Selepas seorang pesakit berusia 39 tahun dirawat di hospital kerana virus berkenaan, sepasukan penyelidik mula menguji 486 orang yang melaporkan tanda-tanda jangkitan pernafasan.

Ia diketuai oleh Profesor Lanjuan Li dari Universiti Zhejiang, Hangzhou, China dan Profesor Kwok-Yung Yuen dari Universiti Hong Kong.

Ujian mereka menunjukkan tiga daripada pesakit dijangkiti virus H7N9 dan meneruskan kajian bagi mengenal pasti petanda jelas jangkitan. Oleh kerana semua pesakit terdedah kepada haiwan ternakan, mereka berusaha mengesahkan bagaimana jangkitan berlaku daripada ternakan kepada manusia.


Mereka mengambil sampel ayam, quails, burung merpati dan itik di enam pasar haiwan ternak yang dikunjungi pesakit. Sebanyak 40 peratus burung merpati dan 20 peratus ayan yang diuji didapati positif H7N9.

Penyelidik membandingkan struktur genetik virus H7N9 dengan seorang pesakit dan mendapati beberapa persamaan menunjukkan virus disebar oleh ayam. Mereka memutuskan manusia bukan penyebar jangkitan virus itu selepas meneliti 303 kediaman dan pejabat pesakit.

Seselema burung H7N9 sudah menjangkiti 108 orang dan membunuh 22 penduduk China di beberapa kawasan berasingan. [BHarian : 2013/04/28]

Kemungkinan Merebak Ke Luar China

Dalam pada itu, pegawai FAO Subhash Morzaria berkata, beliau bimbang virus berbahaya itu akan merebak ke luar China.

“Tanah besar ini bersambung, terdapat kemungkinan seseorang membawa ternakan ayam dan itik yang sakit ke luar sempadan yang akan menyebabkan virus H7N9 merebak. Kami sedang melaksanakan program pemantauan di beberapa buah negara jiran seperti Myanmar, Laos dan Vietnam yang bersempadan dengan China,” tambahnya.

Virus baharu tersebut menyebabkan jangkitan teruk pada manusia sekali gus meningkatkan kebimbangan ia merebak dengan mudah kepada wabak pandemik.

“Namun, setakat ini, tiada tanda virus H7N9 berjangkit daripada manusia kepada manusia seperti virus selesema H1N1,” jelas Morzaria. - Reuters / [Kosmo; 12/4/2013]

Tiada bukti virus berjangkit

Pakar melahirkan kebimbangan kemungkinan virus H7N9 bermutasi kepada bentuk yang lebih mudah berjangkit antara manusia dengan manusia sehingga menyebabkan wabak.  Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, tiada bukti virus H7N9 boleh berjangkit daripada manusia kepada manusia.

Kebanyakan kes jangkitan virus H7N9 berlaku di Shanghai, Zhejiang, Jiangsung dan Anhui yang jaraknya beberapa ratus kilometer.

Musnah ternakan

Pihak berkuasa kesihatan di China berkata, ia masih belum mengetahui bagaimana virus itu merebak, tetapi percaya H7N9 mungkin berjangkit daripada burung kepada manusia, mendorong tindakan memusnahkan sejumlah besar ternakan ayam di beberapa bandar.

Organisasi Makanan dan Pertanian Pertubuhan Makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) berkata H7N9 menunjukkan hubung kait dengan manusia tetapi hanya menyebabkan ‘penyakit ringan atau tiada sakit langsung’ ke atas ayam yang dijangkiti.

Keadaan ini menyebabkan usaha mengenal pasti sumber jangkitan atau pemindahan virus sukar dilakukan.- AFP / [BHarian: 15/04/2013]



Tiada kes selesema burung H7N9 dikesan di Malaysia

Kementerian Kesihatan mengesahkan tiada sebarang kes selesema burung (H7N9) dalam kalangan unggas dikesan berlaku di negara ini, berdasarkan hasil pemantauan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tiada bukti menunjukkan H7N9 boleh menular daripada manusia kepada manusia.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai mengelak daripada mengunjungi pasar menjual unggas hidup di negara yang terlibat dengan jangkitan avian influenza.

"Mereka yang pulang dari Shanghai, Anhui, Jiangsu dan Zhejiang, China dengan gejala pernafasan dinasihat memakai topeng muka dan segera mendapatkan rawatan perubatan, seterusnya memaklumkan sejarah perjalanan mereka kepada doktor," katanya.

Orang ramai juga dinasihat tidak memegang unggas yang ditemui mati, mengamalkan kebersihan diri serta segera mendapatkan rawatan di klinik berhampiran jika mendapat gejala serupa influenza (ILI) terutama mereka yang terlibat dengan pengendalian unggas, katanya.

Noor Hisham juga mengingatkan penternak dan pengusaha ladang unggas agar mematuhi nasihat serta panduan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan melaporkan sebarang kejadian kluster ILI kepada pejabat kesihatan daerah terdekat.

Beliau berkata, kementerian akan terus memantau perkembangan semasa melibatkan jangkitan virus itu, yang disahkan menular di China mulai 29 Mac 2013.

Sehingga 5 April 2013, WHO mengesahkan 16 kes dengan enam kematian disebabkan H7N9 dilaporkan di Shanghai, Anhui, Jiangsu dan Zhejiang, China.

Bagaimanapun, katanya, WHO setakat ini tidak mengeluarkan sebarang nasihat perjalanan atau kenyataan berhubung larangan melawat ke China.- Bernama / [Sinar Harian: 06/04/2013]

Evolusi Dan Mutasi Selsema Burung

JURNAL Perubatan New England menerbitkan laporan Human Infection with a Novel Avian-Origin Influenza A (H7N9) Virus yang memberikan maklumat terperinci mengenai kajian yang dijalankan oleh penyelidik di Beijing dan Shanghai.

Laporan itu turut mengandungi kajian kes ke atas tiga penduduk di Shanghai dan wilayah Anhui yang dijangkiti virus berbahaya tersebut.

Kajian mereka mendapati komponen H7 (virion yang mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) daripada satu virus dan protein daripada spesies virus lain) berasal daripada influenza A (H7N9) mempunyai gen yang sama dengan itik ditemui di wilayah Zhejiang dan komponen N9 pula dikenal pasti pada burung hijrah dari Semenanjung Korea.

Selain itu, enam lagi segmen genetik mempunyai persamaan tinggi dengan spesies burung Brambling yang ditemui di Beijing.

Virus itu didakwa kurang berbahaya berbanding H5N1 dan simptom yang menyerang kanak-kanak juga tidak terlalu teruk seperti sebelum ini.

Bagaimanapun, orang dewasa yang dijangkiti akan mengalami cirit birit, menyebabkan tisu otot rosak masuk ke dalam salur darah dan sindrom pernafasan akut teruk.

Bilangan sel darah putih juga dikatakan hanya menurun sedikit atau berada paras normal tidak seperti keadaan pesakit yang dijangkiti H5N1.

Sementara itu, bahagian Q226L dalam gen H virus H7N9 dipercayai mengalami mutasi, selain E627K dalam protein PB2 juga yang didakwa mampu menjejaskan   saluran pernafasan spesies mamalia.          

Memandangkan bilangan kes dan kadar kematian semakin meningkat, penyelidik melihat virus itu sememangnya telah mengalami mutasi yang boleh menyekat sel reseptor di sepanjang saluran pernafasan manusia dan ia juga didakwa boleh disebarkan melalui udara dalam bentuk titisan air.

Kajian mereka juga menunjukkan spesies mamalia sebagai pengantara tuan rumah.

Dalam artikel lain diterbitkan dalam edisi sama di bawah jurnal itu yang ditulis oleh Timothy Uyeki dan Nancy Cox dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit turut menyokong hasil kajian tersebut yang mendedahkan virus terbabit telah mengalami mutasi untuk membolehkan ia menjangkiti spesies mamalia.

Kajian saintifik oleh sembilan penyelidik Belanda dan China yang diterbitkan baru-baru ini pula menunjukkan H7N9 adalah hasil campuran dari tiga virus selesema ditemui dalam burung di Asia.

Pendedahan analisis data genetik itu dibuat berdasarkan penyelidikan ke atas tujuh sampel yang diperoleh dari China.

Ketua Virologi di Institut Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Kebangsaan Belanda, Marion Koopmans memaklumkan bahawa mereka turut membuat data dengan perbandingan dengan virus H7N7 yang pernah menyerang Netherlands pada 2003 dan H7N1 di Itali pada 1999-2000.

Serangan H7N7 di Belanda menyebabkan kira-kira 30 juta ayam di 255 ladang ternakan terlibat dimusnahkan selain 89 orang dijangkiti dan seorang maut.

Perbandingan tersebut menunjukkan penularan secara meluas di China mengakibatkan kepelbagaian genetik.

"Kepelbagaian itu mencetuskan kebimbangan kerana beberapa tanda membuktikan berlaku peningkatan ancaman terhadap tahap kesihatan orang ramai," jelasnya lagi.  

Walaupun pakar di China dan WHO mengesahkan tiada bukti menunjukkan H7N9 boleh disebarkan secara mudah antara manusia, namun analisis terhadap tiga sampel awal menunjukkan virus itu telah mengalami mutasi yang bakal mendatangkan risiko kepada penduduk di negara tersebut.

Menurut Koopmans lagi, tiada jaminan H7N9 tidak dapat disebarkan oleh sesama manusia.

Sehingga kini, tiada vaksin untuk mencegah H7N9 dicipta. Difahamkan, WHO sedang berusaha menghasilkan vaksin sesuai untuk melindungi orang ramai dari jangkitan virus berbahaya tersebut.

Sumber: Sinar Harian

1 comments:

Dayang Deno berkata...

deno pun selsema skrg nih.. adehhh