13 Februari 2014
Bas Elektrik Melaka ~ Pengangkutan Awam Mesra Alam
SELAMA ini, lelaki berusia 68 tahun itu tidak pernah menaiki bas untuk bergerak ke mana-mana destinasi tempatan, sebaliknya lebih suka memandu sendiri sama ada menggunakan motosikal atau kereta.
“Jika ingin pergi ke luar Melaka, barulah saya menaiki bas,” ujar Wong Kiang Yong, yang ditemani isterinya, Ho Han Jah.
Namun, bas elektrik pertama negara yang telah dilancarkan di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka pada 6 Januari 2014 lalu oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron menarik perhatian pasangan tersebut.
“Saya memang tidak biasa naik bas tetapi selepas membaca satu laporan akhbar mengenai ujian bas elektrik ini di terminal bas Melaka Sentral, saya dan isteri terpanggil untuk mencuba.
“Ternyata bas ini bergerak secara senyap dengan pemanduan yang lancar,” jelas Kiang Yong.
Pasangan itu merupakan antara penumpang awal yang mencuba sistem pengangkutan bas elektrik pertama bernilai RM1.35 juta tersebut. Ia mula diuji untuk kegunaan orang ramai pada 8 Januari 2014 lalu.
Bas yang mempunyai kapasiti 50 penumpang iaitu 30 duduk dan 20 berdiri itu beroperasi bermula pagi hingga petang. Waktu perjalanan dilanjutkan sehingga ke malam pada hujung minggu atau mengikut keperluan.
Hasil projek usaha sama antara Panorama Melaka Sdn. Bhd. (Panorama Melaka) dengan syarikat AMDAC (M) Sdn. Bhd. (AMDAC) ini selari dengan usaha kerajaan negeri dalam merealisasikan dasar hijau di Melaka.
Ia dikenali sebagai Bas Elektrik Melaka telah direka dan dibiayai sepenuhnya oleh syarikat Automotif BYD Berhad (BYD) dari Shenzhen, China.
Selain di Melaka, kenderaan sama telah memasuki pasaran Amerika Syarikat, Belanda, China, Hong Kong dan beberapa negara maju lain sejak tahun 2010.
PAKAR Teknikal Bas Elektrik, Zaharuddin Mokhtar menyentuhkan Kad Pengecas (Charging Card) untuk tujuan imbasan sebelum mengecas bateri perkhidmatan Bas Elektrik.
Ujian percubaan
Menurut Pemangku Pengurus Besar Panorama Melaka, Mohd. Saleh Jusman, bas tersebut akan melalui ujian percubaan operasi dan pengumpulan data kesesuaian selama tiga bulan.
“Sekiranya tidak ada apa-apa halangan dan masalah, kemungkinan bas yang telah diluluskan boleh mula beroperasi di Melaka pada bulan September 2014 ini,” ujarnya ketika ditemui di Melaka Sentral.
Menjelas lanjut, beliau berkata, bas elektrik itu dijana oleh bateri ferum fosfat yang tidak mudah meletup apabila terdedah dengan kepanasan melampau.
“Bas ini juga dilengkapkan dengan sistem kawalan BMS untuk pemantauan voltan dan suhu bagi setiap bateri bagi tujuan keselamatan,” katanya.
Buat peringkat percubaan setakat ini, hanya terdapat satu stesen pengecas bas elektrik terdapat di Melaka Sental. Masa yang diambil oleh bas yang mengandungi tiga bateri ini ialah lima jam bagi pengecasan penuh.
“Keupayaan bateri boleh menjana kuasa untuk bergerak lebih kurang 300 kilometer,” ujarnya yang menyatakan jaminan ketahanan kadar efisien bateri ialah selama 16 tahun.
Menurut Saleh lagi, bas sistem diesel menggunakan minyak diesel yang bernilai RM170 sehari manakala bas elektrik melibatkan kos RM44.32 sehari iaitu 25 peratus daripada kos diesel.
Memandangkan bas tersebut menggunakan cas elektrik sepenuhnya, ia mampu memelihara alam sekitar daripada sebarang pencemaran.
JIN YONG menunjukkan cara alat keselamatan bas yang disediakan dalam Bas Elektrik untuk memecahkan tingkap cermin jika berlaku kecemasan.
“Faedah menggunakan bas elektrik ialah tiada pencemaran bunyi dan tidak ada penghasilan karbon yang menjurus kepada pencemaran udara,” tambahnya yang menggesa penduduk Melaka mencuba bas yang tidak dikenakan tambang sepanjang tempoh percubaan itu.
Hal ini diperakui oleh Pengarah AMDAC, Lai Jin Yong, yang menyifatkan bahawa kos operasi bas itu lebih rendah daripada bas diesel kerana tidak memerlukan penyelenggaraan berkala yang melibatkan kos tinggi.
“Ini ditambah dengan ciri-ciri keselamatan yang terdapat dalam bas ini seperti sistem televisyen litar tertutup di bahagian belakang bas dan cermin tingkap mudah pecah untuk kecemasan serta 11 laluan pintu kecemasan.
“Kami juga mengutamakan tempat duduk untuk orang kelainan upaya (OKU) dan mereka yang lebih memerlukan seperti wanita hamil dan warga emas. Tempat duduk mereka berwarna merah berbanding ungu untuk orang biasa,” jelas Jin Yong yang turut memaklumkan bahawa terdapat 1,200 buah bas elektrik yang digunakan di seluruh dunia pada masa ini.
Keselesaan
Mengutamakan keselesaan para pengguna, bas yang tertera ayat ‘Melaka Go Green’ ini dilihat lebih senyap, bersih dan nyaman jauh berbanding bas diesel.
Sistem penyamanan udara pada bas ini berkuasa secara maksimum kerana digerakkan dengan sistem putaran motor dan tidak menggunakan piston. Ini membuatkan bas ini terasa dingin terutamanya pada waktu siang.
Bagi memberi keselesaan dan kesenangan golongan OKU dan warga emas, sistem suspensi hidraulik yang terdapat pada bas ini menyenangkan laluan masuk dan keluar golongan tersebut.
RUANG duduk khas untuk penumpang Orang Kurang Upaya turut disediakan.
Bas yang dianggap sebagai pengangkutan awam masa hadapan akan berjalan secara percuma selama tiga bulan. Ia melalui kawasan bersejarah dan tarikan pelancong di Bandar Hilir seperti Bangunan Stadhuys, Dataran Pahlawan, Bukit Senjuang, Mahkota Parade dan Kota Laksamana.
Lebih menggembirakan hati penduduk Melaka, Saleh menjelaskan bahawa bas yang menggunakan sistem elektrik sepenuhnya ini akan mengenakan tambang yang sama dengan bas diesel.
Menjelaskan tentang bas berukuran 12 meter panjang dan 2.5 meter lebar tersebut, beliau menjangkakan penggunaan bas ini akan lebih meluas untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang kerana memberikan kesan positif kepada negara.
Saleh menambah, pihaknya juga telah mengkaji beberapa laluan di sekitar bandar raya Melaka dan dijangka sebanyak lapan hingga 10 unit bas berkenaan akan digunakan sebagai peringkat permulaan apabila ia mula beroperasi kelak.
Oleh SOFIATUL SHIMA WAN CHIK
Sumber: Kosmo
Labels:
Maklumat Umum,
Teknologi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan