14 Februari 2014
Usman bin Affan Menginfak Harta Demi Islam
PARA sahabat Nabi mempunyai bermacam-macam ragam. Ada yang kaya, ada juga yang miskin. Namun begitu, semangat untuk menyumbang kepada dakwah Islam menyatukan mereka.
Antara sahabat Nabi yang kaya ialah Usman bin Affan. Beliau sangat mahir berniaga, justeru berjaya menjana pendapatan yang cukup banyak. Harta yang beliau miliki sepenuhnya digunakan untuk pelaburan akhirat. Beliau bertekad 'membeli' syurga dengan harta yang beliau miliki.
Berkata Abu Hurairah: Usman bin Affan telah 'membeli' syurga daripada Rasulullah SAW sebanyak dua kali. Kali pertama apabila beliau membeli perigi rumah. Dan kali kedua apabila beliau membiayai pasukan usrah (perang Tabuk)." (riwayat Al-Hakim dalam Al-Mustadrak)
Perigi rumah
Perigi rumah adalah satu-satunya sumber air bersih di Madinah apabila kaum muslimin berhijrah ke kota itu. Menurut Ibnu Abd. al-Bar dalam kitab al-Istiab, sumur ini milik seorang Yahudi. Beliau tidak membenarkan kaum muslimin mengambil air daripadanya melainkan dengan bayaran.
Rasulullah SAW bersabda: Siapa yang membeli perigi rumah lalu menyerahkannya kepada kaum muslimin, maka ia akan memiliki telaga di dalam syurga."
Apabila mendengar cadangan Nabi ini, Usman segera mendatangi pemuda Yahudi itu. Setelah tawar-menawar berlaku, orang itu bersetuju menjual setengah bahagian sahaja. Harga yang ditetapkan ialah 12,000 Dirham.
Usman bersetuju membeli setengah bahagian itu. Kedua-duanya sepakat menetapkan satu hari milik Yahudi dan satu hari yang lain untuk Usman. Pada hari milik Yahudi, tiada siapa yang datang untuk mengambil air. Sebab mereka telah mengambil air untuk persediaan dua hari pada hari milik Usman.
Melihat perkara ini, Yahudi itu berkata kepada Usman: Engkau telah merosak perniagaanku." Ia lalu menjual bahagiannya kepada Usman pada harga 8,000 Dirham.
Perang Tabuk
Adapun perang Tabuk, maka peperangan ini ialah peperangan terakhir yang dihadiri oleh baginda Nabi SAW. Pasukan Islam mesti keluar ke Tabuk untuk menghadang pasukan Rom yang dikhabarkan telah bersiap-siaga menyerang Madinah.
Persiapan perang kali ini sangat mencabar. Cuaca pada masa itu sangat panas. Kendaraan dan bekalan juga sangat minimum. Justeru, al-Quran menyebut peristiwa ini sebagai: saat al-usrah (saat-saat sukar).
Abdurahman bin Khabbab bercerita: Aku menyaksikan Rasulullah SAW menggalakkan manusia untuk berinfak bagi peperangan ini. Usman lalu berdiri dan berkata: "Wahai Rasulullah, aku menjamin 100 ekor unta dan keperluannya."
Baginda lalu menggalakkan infak sekali lagi. Usman kembali berdiri dan berkata: "Wahai Rasulullah, aku menjamin 200 ekor unta dan keperluannya."
Baginda menggalakkan infak sekali lagi. Usman kembali berdiri dan berkata: "Wahai Rasulullah, aku menjamin 300 ekor unta dan keperluannya."
Abdurahman berkata: aku melihat Rasulullah turun dari mimbar sambil bersabda: Tidak akan membahayakan Usman apa yang akan ia lakukan setelah ini." (riwayat al-Tirmidzi).
Sabda ini menunjukkan bahawa dosa-dosa Usman telah diampuni oleh Allah kerana sumbangan besar beliau untuk dakwah Islam.
Ukuran iman
Usman bin Affan patut menjadi teladan seluruh umat Islam terutama yang memiliki kelebihan harta. Pandanglah harta sebagai titipan Allah yang mesti diserahkan apabila diminta. Permintaan itu tidak lain ialah apabila dakwah dan umat Islam memerlukan bantuan anda.
Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa seorang Mukmin yang kuat lebih baik dan dicintai Allah SWT berbanding Mukmin yang lemah. Kekuatan ini bukan hanya dalam tenaga sahaja, akan tetapi meliputi juga aspek ekonomi, politik dan ilmu pengetahuan.
Siapa yang memiliki salah satu kelebihan ini, hakikatnya tengah diamanahkan tanggungjawab untuk membela Islam menerusi amanah tersebut. Dan ukuran iman seseorang ditentukan oleh sikapnya dalam menjalankan amanah ini dengan baik.
Semoga kita boleh menjadi seperti Usman bin Affan. Seorang sahabat Nabi yang telah dijanjikan syurga semenjak beliau masih hidup lagi. Amin Ya rabbal alamin
Oleh UMAR MUHAMMAD NOOR
Penuntut pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM)
Sumber: Utusan
Labels:
Tazkirah
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan