06 Februari 2014

Dilema Pengguna Lorong Motosikal


Pengguna bimbang keselamatan diri

SUASANA di sekitar Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) di Subang Jaya, Selangor pada petang itu agak sesak dengan kenderaan yang ingin pulang ke rumah masing-masing selepas tamat waktu bekerja.

Dalam kesesakan itu, kelihatan kelibat beberapa buah motosikal cuba melepasi ratusan kenderaan yang bergerak perlahan di atas lebuh raya dengan menyusuri laluan kecemasan.

Itulah situasi yang sering dialami oleh seorang penunggang motosikal, Mohd. Azwan Abdul Hei, 28, yang berulang alik dari Cheras, Kuala Lumpur ke tempat kerjanya di Subang Jaya, Selangor sejak tiga tahun lalu.

Setiap hari dia akan menunggang motosikal di laluan utama berbanding lorong khas motosikal yang telah disediakan oleh pihak konsesi lebuh raya.


Menurut Mohd. Azwan, keputusannya memilih jalan utama berbanding lorong motosikal yang disediakan ialah enggan pisang berbuah dua kali. Pengalaman dirompak ketika menggunakan lorong tersebut dua tahun lalu menyebabkan dia trauma menggunakan kemudahan tersebut.

"Kejadian tersebut berlaku ketika saya dalam perjalanan pulang ke rumah. Pada masa itu saya sangat yakin berhubung keselamatan saya ketika menggunakan laluan tersebut dan tidak mengesyaki sebarang kejadian buruk bakal menimpa diri," ceritanya.

Dirompak

Bak kata pepatah, malang tidak berbau. Setibanya Mohd. Azwan di satu selekoh yang jauh dari laluan utama, dia terlihat kelibat sebuah motosikal dalam keadaan melintang di tengah-tengah laluan motosikal.

Dalam fikirannya, kemungkinan motosikal tersebut terlibat dalam kemalangan. Tanpa berfikir panjang Mohd. Azwan terus memberhentikan motosikal Yamaha Lagenda miliknya bagi mengenal pasti situasi sebenar yang berlaku.


JALAN berlopak merupakan salah satu faktor penunggang motosikal enggan menggunakan lorong khas motosikal yang telah disediakan. - Gambar hiasan

"Selepas saya memberhentikan motosikal, tiba-tiba tiga lelaki bertopi keledar muncul iaitu dua dari depan dan seorang dari arah belakang muncul dengan mengacukan pisau ke leher. Mereka memaksa saya menyerahkan semua barang berharga yang ada," kata pekerja swasta itu.

Menurut Mohd Azwan, perasaannya ketika itu tidak dapat digambarkan apabila perompak mengacukan pisau ke lehernya. Ketika itu, dia lebih memikirkan keselamatan diri berbanding harta benda.

Menurut Mohd. Azwan, dalam kejadian tersebut, dia mengalami kerugian wang tunai RM50, sebuah komputer riba dan dua buah telefon bimbit selain rantai motosikalnya turut dipotong oleh perompak sebelum mereka beredar.

"Saya bersyukur kerana tidak diapa-apakan oleh kumpulan perompak tersebut, namun selepas peristiwa itu saya begitu trauma untuk menggunakan laluan khas motosikal lagi," kata Mohd. Azwan yang hanya akan menggunakan lorong khas tersebut jika ditemani oleh rakannya.

Jelasnya, dia bukan sengaja mengambil risiko mempertaruhkan nyawa berhimpit-himpit dengan kenderaan lain di laluan utama tetapi terpaksa berbuat demikian atas faktor keselamatan.

Sementara itu, seorang lagi penungang motosikal yang mahu dikenali sebagai Azrey Kamarulzaman, 24, berpendapat, laluan khas motosikal hanya selamat digunakan pada waktu siang sahaja.

Menurut anak jati Pulau Pinang itu, keadaan jalan di laluan tersebut yang terlalu gelap pada waktu malam merupakan punca utama penunggang motosikal enggan menggunakan laluan itu.

"Laluan ini sangat gelap sehingga menimbulkan rasa takut dan menyeramkan pada waktu malam. Saya lebih rela disaman pihak polis kerana menggunakan jalan utama berbanding laluan motosikal.

"Keadaan ini berpunca daripada kurangnya lampu jalan di laluan tersebut, kalau ada pun keadaannya tidak sebaik di laluan utama," katanya.

Tambah pegawai pemasaran di sebuah bank itu lagi, antara faktor lain yang menyebabkan penunggang motosikal enggan menggunakan lorong khas motosikal ialah keadaan jalan yang berlopak, berpasir dan berlumut.


MOTOSIKAL merupakan penyumbang utama statistik kemalangan maut di negara ini.

Ujarnya, situasi sedemikian berlaku disebabkan kurangnya penyelenggaraan daripada pihak konsesi sehingga meningkatkan risiko kemalangan.

"Saya dapati lorong khas motosikal terutamanya di ibu negara tidak selamat kerana terdapat banyak lopak yang dibiarkan terlalu lama sebelum dibaik pulih," katanya sambil menunjukkan keadaan tayarnya yang rosak akibat lopak besar di laluan tersebut.

Kurang selesa

Dalam pada itu, dia turut melahirkan rasa kurang selesa terhadap keadaan susur keluar masuk di lorong tersebut yang dianggap tidak selamat dan berbahaya.

Ujarnya, keadaan sekitar susur keluar masuk di laluan itu memaksa penunggang motosikal melihat keadaan di sekeliling terlebih dahulu sebelum menggunakan lorong tersebut.

"Keadaan ini betul-betul berbahaya kerana ia mengundang risiko dilanggar dari arah belakang sekiranya penunggang motosikal masuk atau keluar dari susur tersebut sesuka hati," katanya.

Lain pula pendapat yang dilontarkan oleh seorang pemandu, Muhammad Fikri Azizan, 27. Menurut Muhammad Fikri, kewujudan laluan khas motosikal sangat membantu dalam mengurangkan kesesakan trafik di laluan utama terutamanya ketika waktu puncak.

Menurut juruteknik di sebuah syarikat swasta itu, kewujudan laluan khas motosikal memberi lebih keselesaan kepada pemandu kereta ketika memandu kerana tidak perlu berasak-asak bersama penunggang motosikal di laluan utama.

Ceritanya, dia sering mengalami situasi cemas ketika hendak menukar lorong walaupun sudah memberi isyarat kerana sering dihimpit motosikal.

"Sukar bagi pemandu untuk menukar lorong kerana mereka perlu memastikan tiada motosikal berada berhampiran kenderaan saya bagi mengelakkan berlakunya pergeseran dan kemalangan.


MENUNGGANG berseorangan di laluan khas motosikal membuka ruang kepada penjenayah.

"Cermin sisi kereta saya sendiri sudah beberapa kali dilanggar penunggang motosikal dan pecah akibat dilanggar motosikal, namun apa lagi yang boleh saya lakkan kerana jalan sudah menjadi semakin sempit terutama pada waktu puncak," jelasnya.

Menurut Fikri, dengan adanya lorong motosikal ia sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan risiko berlakunya kemalangan, terutamanya yang membabitkan motosikal.

Motosikal merupakan penyumbang utama statistik kemalangan maut di negara ini, sehubungan itu pihak berkuasa perlu perbanyakkan lorong motosikal terutamanya di beberapa lebuh raya sekitar ibu negara.

"Saya berharap lorong motosikal dapat ditambah di beberapa laluan terutamanya di laluan yang sesak bagi mengurangkan kemalangan. Antaranya ialah Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) dan Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

"Saya juga berharap pihak konsesi dapat meningkatkan ciri-ciri keselamatan lorong motosikal sedia ada bagi mengelakkan penunggang motosikal memasuki laluan utama," katanya.

Sumber: Kosmo

0 comments: