16 Februari 2014
SP1M ~ Pantau Peniaga Sambil Berjimat
KECEWA dengan sikap sesetengah peniaga yang tidak mempamerkan tanda harga barangan membuatkan Nazira Nadhia Azemee, 26, mencari-cari saluran terbaik untuk menyampaikan aduan bagi membela haknya sebagai pengguna.
Bukan itu sahaja, dia turut tidak berpuas hati dengan tindakan peniaga tidak bertanggungjawab yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan kawalan.
Dua tahun lalu, wanita yang bekerja di sektor awam itu diperkenalkan dengan program keahlian Skuad Pengguna 1Malaysia (SP1M) yang dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Program tersebut ternyata memberikan jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapinya selama ini.
“Banyak kebaikan diperoleh selepas saya mendaftar sebagai ahli SP1M. Semua aduan berkaitan hak pengguna boleh dibuat dengan mudah dan ianya cukup berkesan.
“Pihak berkuasa bertindak menyiasat aduan yang diberikan dan mengenakan tindakan sewajarnya kepada peniaga yang mengambil kesempatan. Selain itu, semua ahli mendapat ganjaran dalam bentuk diskaun atas belian dengan hanya menunjukkan kad SP1M kepada peniaga berdaftar,” ujarnya.
Pengguna bijak
Biarpun banyak manfaat yang ditawarkan sekiranya menjadi ahli skuad tersebut, 99 peratus daripada 29.24 juta rakyat negara ini masih belum mengetahui tentang kewujudan program berkenaan.
Setakat 22 Januari 2014, jumlah keahlian SP1M di seluruh negara ialah 162,509 orang.
Tidak dinafikan keadaan ekonomi semasa di Malaysia semakin mencabar. Kewujudan kad tersebut membolehkan rakyat meringankan sedikit sebanyak kos sara diri dengan menjadi pengguna bijak sebelum keluar berbelanja.
JIKA terdapat peniaga yang tidak menunjukkan tanda harga, anda boleh mengadukan perkara tersebut ke talian bebas tol 1800-886-800 atau di laman web e-aduan/kpdnkk.gov.my.
Dengan mendaftar sebagai ahli SP1M, pengguna berfungsi sebagai mata dan telinga pihak kerajaan dengan melakukan pemantauan secara sukarela dan melaporkan sebarang aduan tentang hak kepenggunaan secara terus kepada KPDNKK. Kaedah tersebut mengambil pendekatan konsep membeli-belah sambil memantau.
Penubuhan skuad pengguna dapat mewujudkan jalinan kerjasama antara pihak berkuasa dengan rakyat bagi memantapkan usaha pemantauan harga barangan dan perkhidmatan di Malaysia.
Pada masa sama, kemahiran dan pengetahuan pengguna mengenai trend harga barangan dan perkhidmatan di pasaran dapat ditingkatkan. Selain itu, kad tersebut berfungsi sebagai kad kesetiaan dengan pengguna berpeluang menjadi pelanggan setia kepada rakan dagang yang menawarkan diskaun tertentu.
Terbela
Dalam pada itu, penjawat awam, Ahmad Nazmee Adnan, 27, berkata, dia gembira kerana setiap aduan akan disiasat pihak berkuasa sekiranya terdapat peniaga yang tidak beretika.
“Nasib sebagai pengguna akan terbela jika lebih ramai rakyat di negara ini tampil ke depan, memahami peranan dan hak masing-masing.
“Selain aduan, pengguna berpeluang mendapat ganjaran dalam bentuk diskaun ketika berbelanja dengan rakan dagang yang tersenarai dalam SP1M,” katanya yang sudah mendaftar sebagai ahli sejak lapan bulan lalu.
Dia turut berkongsi pengalaman mendapat potongan harga ke atas barangan sukan di premis Mizi Sports dan diskaun harga makanan di restoran Ani Sop Utara.
Namun, ahli SP1M tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang atau mengambil tindakan ke atas peniaga bagi pihak KPDNKK. Setiap aduan akan disiasat dan mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu untuk diselesaikan.
KEAHLIAN SP1M terbuka kepada rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas.
Sebagai contoh, jika anda ke pasar malam dan terlihat mana-mana pemilik premis yang tidak mempamerkan tanda harga secara jelas, boleh mengadu terus ke talian 1800-886-800. Kaedah lain adalah dengan mengisi borang aduan atas talian di e-aduan.kpdnkk.gov.my.
Aduan boleh dibuat pada setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 9 pagi hingga 5.30 petang kecuali pada cuti umum.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Gerakan Kepenggunaan KPDNKK, Mohd. Haziman Ab. Ghani, berkata, keahlian SP1M terbuka kepada rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas.
“Orang awam hanya perlu mendaftar butiran peribadi melalui pautan atas talian di www.1pengguna.com/skuadpengguna, cetak slip dan bawa slip tersebut ke cawangan Bank Rakyat berdekatan bagi mendapatkan kad keahlian.
“Bayaran sebanyak RM2 akan dikenakan ke atas keluaran kad tersebut. Pengguna boleh menyemak senarai rakan dagang yang mengambil bahagian di laman web berkenaan,” jelasnya ketika ditemui di bangunan KPDNKK, Putrajaya.
Rakan dagang
Peniaga yang berminat menjadi rakan dagang juga boleh mendaftarkan butiran perniagaan mereka di laman web tersebut dan menyatakan kadar diskaun yang ingin diberikan kepada pelanggan. Antara manfaat yang bakal diterima rakan dagang adalah pengiklanan percuma di laman web KPDNKK dan akhbar serta berpeluang mengikuti program kepenggunaan anjuran kementerian.
PENGGUNA boleh menggunakan kad SP1M di premis yang mempamerkan pelekat yang dikeluarkan oleh KPDNKK.
Setakat ini, sebanyak 2,298 syarikat yang melibatkan 3,264 cawangannya mendaftar sebagai rakan dagang di bawah SP1M. Mereka menawarkan diskaun antara dua hingga 50 peratus bergantung kepada terma dan syarat.
Rakan dagang terdiri daripada syarikat atau koperasi buku, alat tulis, pakaian, kelengkapan sukan, barang runcit, penginapan, pengangkutan, pelancongan, makanan dan pusat kesihatan.
Antara senarai rakan dagang terlibat ialah pasar raya Mydin, Sogo, kedai peralatan sukan Mizi Sports, kedai buku MPH dan syarikat penerbangan Firefly.
“Terdapat lapan hak pengguna yang perlu disedari oleh rakyat Malaysia iaitu hak untuk mendapat keperluan asas, membuat pilihan, mendapatkan maklumat, ganti rugi, pendapat, pendidikan pengguna, perkhidmatan atau barangan dan alam sekitar yang bersih serta selamat.
“Bagaimanapun, tidak semua aduan boleh dirujuk kepada KPDNKK. Misalnya, aduan di luar bidang kuasa kami seperti perbankan dan insurans akan disalurkan kepada agensi yang berkenaan,” jelasnya.
Sebarang pertanyaan dan perkembangan terkini mengenai SP1M boleh dimajukan di akaun Facebook, Skuad Pengguna KPDNKK.
Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI
Sumber: Kosmo
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan