31 Mac 2014
Apabila Kejayaan Dalam Peperiksaan Diukur Dengan Semua A
Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan seminggu yang lalu. Kepada yang lulus, tahniah! Tidak kiralah lulus cemerlang atau lulus cukup makan. Anda berhak diberi ucapan tahniah.
Kepada yang sudah berusaha keras tetapi tidak memperoleh keputusan yang diharapkan, jangan bersedih. Itu bukan pengakhiran hidup. Bagi yang gagal atau dapat keputusan teruk kerana banyak main atau ambil mudah pun tak perlu bersedih dan menyesal. Itu pilihan anda. Ada banyak pengajaran berguna yang boleh dijadikan peluang memperbaiki diri.
Seperti biasa, kita merasa amat kagum dan tersentuh bila menyoroti kisah-kisah kejayaan pelajar cemerlang SPM. Lebih-lebih lagi bagi pelajar yang hidup dengan latar belakang penuh kekurangan.
Kisah kejayaan anak kepada pemandu lori, pemandu teksi, buruh kasar, nelayan, konstabel polis, lans koperal askar dan anak yatim piatu patut menjadi pendorong dan inspirasi besar kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan itu.
Ini belum lagi cerita kejayaan calon-calon yang cacat fizikal atau orang kurang upaya. Mereka wajar dijadikan contoh. Dengan segala kekurangan fizikal, mereka masih mampu lulus dalam peperiksaan ini. Ada juga yang mencatat keputusan setaraf dengan pelajar cemerlang lain. Golongan ini menukar kekurangan yang ada menjadi kekuatan dalam jiwa.
Kesedihan kerana gagal dalam peperiksaan adalah perkara biasa. Tetapi rawan kerana keputusan cemerlang adalah pelik. Bunyinya macam janggal, tak masuk akal tetapi percayalah perkara ini berlaku. Sama ada secara diam-diam atau terang-terangan, perkara ini memang berlaku.
Kebelakangan ini ada satu trend taksub dengan keputusan semua A. Mereka hanya mahukan A. Bagi sesetengah pelajar kategori ini, keputusan yang bercampur-campur dengan B dan C adalah satu kegagalan. Slip SPM yang mempunyai abjad selain daripada A+, A dan A- tidak sempurna malah ada yang menganggapnya sebagai memalukan.
Pelajar yang taksub ini akan merasa malu dan rendah diri yang amat dengan segelintirnya murung dengan keputusan sedemikian.
Cuba perhatikan kes yang berikut ini. Seorang pembaca Utusan Malaysia berkongsi pengalamannya berhubung perkara ini. Beliau menghadiri satu majlis pengumuman keputusan SPM di sebuah sekolah berprestasi tinggi di Subang Jaya.
Sekolah tersebut memang hebat rekod pencapaian peperiksaan. Bagaimanapun khabarnya keputusan dua peperiksaan sedikit merosot tahun lalu.
Dalam majlis tersebut, wajah pengetua kelihatan tidak begitu ceria sewaktu membaca pengumuman. Barangkali kerana tidak banyak nama pelajar yang dapat 10A, 9A, 8A dapat dibacakannya.
Cerita pembaca itu lagi, sebaik sahaja nama pelajar yang mendapat keputusan 10A, 9A diumumkan, bunyi tangisan mengatasi bunyi tepukan tahniah! Anehnya yang menangis itu bukan calang-calang pelajar. Mereka adalah pelajar yang turut mendapat keputusan cemerlang 8A, 7A, 6A, 5A! Teruk sangatkah mendapat keputusan seumpama itu?
Ada yang meninggalkan majlis itu secara senyap-senyap. Duduk di satu sudut bangunan sekolah dan menangis diam-diam. Pada satu peringkat mereka terpaksa ditenangkan oleh guru-guru. Nada percakapan mereka selepas itu tidak lagi berbunyi kegembiraan sebaliknya disulami dengan ayat-ayat sedih dan penyesalan.
Renungan kepada pelajar yang rasa teruk kerana gagal mendapat semua A dalam peperiksaan.
Teruk sangatkah kalau tidak mendapat semua A dalam SPM? Buruk sangatkah kalau sekadar mendapat 4A dan bercampur dengan satu dua B dan C?
Jika inilah keadaannya, fenomena ini amat tidak sihat. Semua ibu bapa mahu anak-anak mereka berjaya. Guru-guru yang mengajar mereka pun mahu melihat kejayaan anak murid masing-masing.
Tetapi A bukan segala-galanya. Percayalah itu semua rezeki yang Allah telah tentukan. Peperiksaan SPM hanyalah satu permulaan kepada kehidupan di luar yang lebih besar dan mencabar.
Para pelajar perlu diajar menghargai dan menerima apa sahaja keputusan yang diperoleh. Lagipun mereka telah berusaha sedaya upaya. Mereka perlu bersyukur walau apa jenis keputusan yang dapat. Lebih-lebih lagi yang mendapat keputusan cemerlang seperti 5A, 6A, 7A, 8A!
Pihak sekolah perlu mengkaji semula keperluan menganjurkan majlis yang semata-mata meraikan kejayaan pelajar yang berjaya mendapat semua A. Dalam majlis sedemikian terpampang jelas unsur-unsur diskriminasi antara pelajar yang berderet-deret dapat A dengan yang dapat kurang A dan bercampur-campur antara A, B dan C. Yang tidak mendapat A langsung apatah lagi!.
Keadaan yang sama pernah berlaku tidak lama dahulu. Setiap tahun ada segelintir pelajar mengambil berbelas-belas subjek demi memecahkan rekod berbelas-belas A yang dicipta oleh ikon pelajar cemerlang terdahulu.
Setiap kali keputusan SPM diumumkan satu negara menunggu, pelajar mana yang bakal memecahkan rekod berbelas-belas A itu.
Fenomena ini tidak lagi berlaku kini sebaik Kementerian Pendidikan menghadkan calon-calon kepada satu jumlah tertentu sahaja matapelajaran yang boleh diambil.
Inilah masalahnya bila kejayaan sekadar diukur berasaskan keputusan peperiksaan!
Sumber: Utusan
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan