01 April 2014
Bebas Trafik Di Tengah Ibu Kota Kuala Lumpur
PROGRAM KL Pagi Bebas Kenderaan bertujuan merealisasikan impian bandar raya hijau.
AGAK asing berada di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur tanpa sebarang bunyi hon, kelibat kenderaan yang mengasak termasuk penunggang motosikal yang mencilok tatkala keadaan trafik sesak di ibu kota.
Cuma sesekali kedengaran bunyi enjin komuter bergema meneruskan rutin perjalanan di sekitar Dataran Merdeka dan ribuan warga kota yang bebas melakukan aktiviti di jalan raya utama bandar raya itu.
Hasil idea Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjaya merubah hiruk-pikuk kota itu kepada lokasi yang menenangkan walaupun dalam tempoh dua jam bermula pukul 7 pagi sehingga 9 pagi.
Program Kuala Lumpur Pagi Bebas Kenderaan dianjurkan atas kesedaran mengurangkan penggunaan kenderaan, merupakan tarikan terbaharu di Kuala Lumpur selain menyokong Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM).
Dianjurkan pada hari Ahad minggu pertama dalam setiap bulan, program berkenaan memberikan peluang kepada pengunjung melakukan pelbagai aktiviti riadah di jalan raya utama di ibu kota tanpa sebarang gangguan lalu lintas.
Terdapat pelbagai aktiviti dilakukan seperti berjoging, berjalan kaki dan berbasikal. Ia juga menjadi saat yang terbaik buat keluarga meluangkan masa melepak di Kuala Lumpur.
Bebas kenderaan
Dalam tempoh dua jam tersebut, DBKL menutup jalan raya sepanjang enam kilometer (km) meliputi Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Dang Wangi, Jalan Ampang, Jalan P Ramlee, Jalan Tun Perak, Jalan Raja, Jalan Mahkamah Persekutuan dan Jalan Leboh Pasar dari sebarang kenderaan.
Pada pukul 6 pagi, sekitar kawasan Dataran Merdeka sudah mula dibanjiri pengunjung. Pelbagai ragam yang dapat disaksikan. Ada yang merakam gambar, tidak kurang sekadar membentang tikar dan berbaring sambil menghayati keindahan bandar raya itu.
Bagi pengunjung yang sudah terbiasa dengan keadaan sesak di Kuala Lumpur mengakui pelik berada dalam wajah baharu kota raya itu. Namun, mereka akui seronok berpeluang merasai sendiri sisi berbeza bandar yang tidak pernah lelap itu.
Seorang pekerja swasta di Jalan Sultan Ismail, Anita Talib, 43, berkata, sepanjang lebih 10 tahun dia belum pernah merasai suasana Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar yang amat aman.
“Perasaan saya ketika ini tenang dan seronok. Bayangkan hampir setiap tahun hanya ketika musim perayaan kami warga kota bebas daripada kesesakan lalu lintas di sini.
“Program anjuran DBKL ini lagi hebat kerana kami boleh melakukan pelbagai aktiviti riadah di jalan raya yang lazimnya sibuk dengan kenderaan,” katanya ketika ditemui.
Berpesta
Kelibat beberapa pengayuh beca turut menarik perhatian pengunjung, termasuklah pasukan berkuda DBKL yang sedang berkawal sepanjang program itu berlangsung.
Kawasan berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka di Jalan Raja Uda pula berubah menjadi medan pentas persembahan kasut beroda.
Tepukan gemuruh dan sorakan teruja pengunjung menarik perhatian orang awam mengerumuni kira-kira 20 ahli pasukan Roller Sports Family.
Mereka melakukan pelbagai aksi seperti melompat palang dan meluncur secara berkumpulan. Ia umpama menyaksikan sebuah persembahan pakar akrobatik kasut beroda.
Seorang daripada ahli kumpulan berkenaan, Nur Farisha Emalin, 18, berkata, dia bersama ahli kumpulan sengaja mempersembahkan kelincahan masing-masing bagi memeriahkan lagi program tersebut.
Dia yang turut teruja apabila kali pertama beraksi di jalan raya ibu kota, menganggap persembahan tersebut sebahagian daripada latihan pasukan.
“Semakin ramai pengunjung berkumpul, pasukan kami semakin bersemangat. Selain menajamkan kemahiran sedia ada, ia merupakan sumbangan kami dalam menyatakan sokongan terhadap program ini,” katanya.
Nur Farisha yang juga pelajar Kuala Lumpur Metropolitan University College dalam bidang fisioterapi mula aktif dalam persembahan kasut beroda sejak berusia 13 tahun.
PASUKAN berkuda DBKL yang berkawal turut menarik perhatian pengunjung.
Dia yang sering ke kuliah sama ada menaiki kemudahan awam atau kenderaan peribadi menyokong penuh terhadap program terbaharu DBKL itu.
“Saya pernah membayangkan bagaimana keadaan di sekitar Kuala Lumpur tanpa kenderaan sesak sepanjang hari.
“Apabila diberitahu rakan-rakan mengenai program sehari tanpa kenderaan di Kuala Lumpur, ia umpama mimpi menjadi realiti,” ujarnya.
Sementara itu, sekumpulan wanita dilihat rancak berbual sambil memerhatikan anak-anak mereka yang bebas bermain di jalan raya.
Aminah Ali, 43, ketika ditemui berseloroh sambil berkata hanya di Program Go Green-KL Car Free Morning mereka berasa selamat bersembang di tengah-tengah jalan raya.
“Saya yakin program ini boleh diteruskan pada setiap hujung minggu bukan sahaja pada Ahad pertama setiap bulan.
“Kami warga kota menyokong penuh sekiranya program ini berterusan. Selain beriadah, kami boleh berjumpa kenalan baharu dan menggunakan kualiti masa hujung minggu bersama keluarga sebaiknya,” katanya.
Oleh AHMAD ISYAFIQ MAD. DESA
Sumber: Kosmo
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan