Azizul dan isteri didapati bersalah
Hasrat pasangan Azizul Raheem Awaluddin dan isterinya, Shalwati Norshal untuk meneruskan kehidupan seperti biasa dengan empat anak mereka tidak kesampaian apabila Mahkamah Daerah Solna, Stockholm, Sweden mendapati mereka bersalah atas pertuduhan memukul keempat-empat anaknya antara 2010 hingga 2013.
Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, berdasarkan keputusan penghakiman bertulis yang diserahkan Hakim Mattias Moller kira-kira pukul 11 pagi waktu tempatan (6 petang waktu Malaysia) pada 28 Mac, 2014, Azizul Raheem dijatuhi hukuman penjara 10 bulan manakala Shalwati pula dipenjara 14 bulan.
Kedua-dua mereka didakwa di bawah Akta Perlindungan Kanak-Kanak Sweden," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Oleh NOR SHAFAWATI YUP
Sumber: Kosmo [29032014]
Empat beradik tabah ibu bapa dipenjara
ANAK-ANAK Azizul Raheem dan Shalwati. Dari kiri, Ammar, Adam, Arif dan Aisyah.
4 beradik tabah terima keputusan ibu bapa dihukum penjara
Keempat-empat anak pasangan Malaysia, Shalwati Norshal dan Azizul Raheem Awalludin, yang dihukum penjara oleh mahkamah di Sweden pada 28 Mac, 2014, menerima keputusan itu dengan tabah walaupun sedih.
Ibu saudara empat beradik itu, Shaleena Norshal, berkata ketika beliau memberitahu keputusan mahkamah itu, mereka dapat menerimanya dengan tenang.
"Jadi mereka memahami dan bersyukur yang ibu bapa mereka hanya dikenakan hukuman penjara minimum," katanya.
Shaleena, 43, seorang guru, adalah penjaga sementara kepada empat anak saudaranya itu.
pada 28 Mac, 2014, Mahkamah Daerah Solna di Stockholm mendapati Shalwati dan Azizul Raheem Awaluddin iaitu Pengarah Pelancongan Malaysia di Sweden bersalah atas tuduhan mencabuli integriti dan memukul empat anak mereka, Aisyah, 15; Ammar, 12; Adam, 11 dan Arif, 7.
Shalwati dihukum penjara 14 bulan dan diperintah membayar pampasan 67,200 krona (RM33,909) manakala Azizul Raheem dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan diperintah membayar pampasan 36,400 krona (RM18,367) kepada anak mereka.
Shaleena berkata dia dan anggota keluarga yang lain sering memberitahu empat beradik itu bahawa perkara itu terjadi bukan kerana salah mereka.
"Mereka akan terus tinggal bersama-sama kami dan mereka juga dah semakin selesa tinggal di sini, Aishah pun dah boleh bertutur dalam bahasa Melayu sekarang.
"Saya juga nak berterima kasih kepada pihak Kedutaan Malaysia di Stockholm yang banyak membantu dari awal hingga akhir," katanya.
Pada 28 Mac, 2014, Mahkamah Daerah Solna di Stockholm mendapati Azizul yang merupakan Pengarah Pelancongan Malaysia di Sweden dan Shalwati bersalah atas tuduhan mencabuli integriti dan memukul empat anak mereka.
Shalwati dihukum penjara 14 bulan dan diperintah membayar pampasan SEK67,200 (RM33,909) manakala Azizul dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan diperintah membayar pampasan SEK36,400 (RM18,367) kepada anak mereka.
Pasangan itu dituduh memukul anak mereka, Aisyah, 15; Ammar, 12; Adam, 11 dan Arif, tujuh tahun.
Sumber: Bernama, Kosmo [30032014], BHarian [29032014]
Rumusan awal [Pada 23 Februari, 2014]
1. Perjalanan Kes
PEGUAM Kristofer Stahre menyatakan bahawa kes ini dijangka berpanjangan dan penghakiman atau keputusan kebiasaannya akan dikeluarkan dua minggu selepas perbicaraan selesai iaitu dijangka pada pertengahan bulan Mac.
2. Proses Soal Siasat Ke atas Anak Pasangan Terbabit
Proses soal siasat ke atas anak-anak pasangan terbabit dijalankan oleh pegawai penyiasat yang mana berbeza dengan proses kebiasaan yang dijalankan di Malaysia atau negara lain seperti di Amerika Syarikat.
SukaGuam mempersoalkan kenapa soal siasat terbabit tidak dijalankan oleh atau dengan pemantauan pakar psikologi? Menurut Kristofer, penilaian psikologi tidak dibenarkan dalam Mahkamah Sweden dan ini berbeza dengan amalan perundangan negara lain di mana pandangan pakar psikologi diterima pakai.
3. Bahasa Tubuh Ammar
Sepanjang perbicaraan berlangsung, Ammar Azizul Raheem nampak gelisah dan kadang kala keliru serta memberikan jawapan yang tidak konsisten. Ada kalanya Ammar dilihat seolah-olah menambah fakta-fakta tertentu kerana 'bosan' diasak dengan soalan yang sama berulang-ulang kali.
Walaupun begitu, Ammar boleh menceritakan setiap kejadian dengan lancar dan mengingat setiap butiran insiden dengan jelas.
Dari sudut psikologi (berdasarkan perbincangan dengan Dr. Haniza Rais), adalah tidak sepatutnya seorang kanak-kanak yang mengaku dirinya didera boleh mengingati atau menceritakan insiden yang menimpa dirinya dengan lancar tetapi berubah-ubah serta bertambah-tambah. Ini boleh kita gunakan untuk mematahkan strategi pendakwa yang mahu mengeksploitasi sepenuhnya kenyataan Ammar.
4. Persoalan al-Quran dan Solat Dibangkitkan.
Sepanjang soal siasat dilakukan ke atas Ammar, persoalan mengenai 'dera/pukul' yang berlaku disebabkan elemen al-Quran dan solat kerap dibangkitkan oleh pegawai penyiasat. Ia dibangkitkan berulang kali sehingga menimbulkan prejudis seolah-olah cuba menunjukkan keganasan diterapkan dalam pengajaran Islam. Pasukan penyiasat nampak jelas tidak bersifat neutral dalam hal ini.
5. Percanggahan Jawapan antara Ammar dan Arif
Terdapat percanggahan jawapan yang jelas antara Ammar dan Arif saat ditanya soalan sama oleh pegawai penyiasat.
Arif dilihat lebih bijak menjawab dengan menyatakan sesuatu jawapan secara jelas atau menyebut 'tidak tahu' untuk jawapan yang tidak diketahuinya.
Sebaliknya Ammar, kelihatan agak keliru dan kelihatan 'terpaksa' menambah cerita dan menjadikan ia lebih serius daripada perkara sebenar yang berlaku.
Perbicaraan Akan Disambung Semula 24, 25 dan 28 Februari 2014 dengan mahkamah akan ditayangkan dengan sambungan rakaman keterangan Ammar, diikuti Aishah dan Adam. Manakala Azizul Rahim Awaluddin dan Shalwati Norshal dijangka memberi keterangan pada minggu ketiga perbicaraan (3 Mac 2014).
PANDANGAN DAN ULASAN
1. Kes ini sengaja dipanjangkan oleh pihak berkuasa Sweden dengan menayangkan keempat-empat rakaman keterangan anak pasangan terbabit untuk 'membunuh' perasaan pasangan Azizul dan Shalwaty. Ibu bapa mana yang tidak luluh hatinya apabila anak-anak memberi kenyataan umum berkenaan hal di dalam rumah. Cuma kita harapkan mereka sedar bahawa anak-anak mereka, terutama Ammar berada dalam keadaan keliru dan terdesak akibat sikap agresif pihak penyiasat.
2. Ia juga bagi menutup malu pihak berkuasa Sweden di atas laporan berita penahanan pasangan ini yang mendapat liputan meluas di seluruh dunia dan untuk itu pihak berkuasa Sweden bersungguh-sungguh mahu membuktikan bahawa penahanan mereka sebelum ini wajar.
3. Selain itu, kes ini juga dilihat bakal menjatuhkan industri pengangkatan di Sweden yang turut membabitkan golongan peguam, guru dan ahli khidmat sosial. Kita akan mendapatkan maklumat lebih jelas tentang 'bisnes' menjaga anak angkat ini yang dikatakan memberi elaun sehingga RM20,000 (40,000 Kroners) bagi seorang anak angkat yang dipelihara!
Kerjasama SukaGuam dan PEKAMA (Persatuan Kaunseling Malaysia)
Di sepanjang rakaman keterangan Ammar ditayangkan, Azizul dilihat menundukkan mukanya berkemungkinan disebabkan perasaan bercampur-baur (sayang, sedih dan geram) melihat Ammar menceritakan mengenai keburukannya sebagai seorang bapa.
Apa yang menjadi perhatian selain keputusan kes adalah bagaimana keadaan keluarga ini pada masa mereka kembali bersatu nanti.
Adakah keterangan-keterangan yang diberikan oleh anak-anak ini akan dapat diterima oleh pasangan terbabit?
Bagaimana pula dengan penerimaan anak-anak ini yang mengetahui bahawa keterangan-keterangan merekalah yang menyebabkan ibu bapa mereka ketika ini berhadapan dengan situasi tersebut? Lebih malang jika disebabkan keterangan inilah ibu bapa mereka dijatuhi hukuman penjara.
Justeru, SukaGuam sebagai badan sukarela boleh meningkatkan jalinan kerjasama dengan PEKAMA dan juga badan-badan berkaitan bagi memberikan bimbingan kaunseling dan apa saja bentuk bantuan yang boleh kepada keluarga ini terutamanya anak-anak pasangan terbabit.
Usaha menjaga perkembangan psikologi anak-anak ini amat penting untuk difikir dan diberi perhatian awal sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya pasangan ini menjadi mangsa konspirasi industri pengangkatan di Sweden.
Kami akan kembali dengan laporan terkini kes dari semasa ke semasa kerana kes ini mendapat perhatian yang luar biasa daripada bukan sahaja rakyat Malaysia, malah masyarakat dunia.
Oleh: DATUK KHAIRUL ANWAR RAHMAT
Pengerusi SukaGuam Malaysia.
Sumber: Utusan [23022014]
Khairul Anwar Rahmat bersama peguam untuk anak-anak pasangan tersebut, Johann Karluss dan Clara Hjort.
PASANGAN Malaysia, Azizul Raheem Awaludin, 38, dan isteri, Shalwati Nor Shal, 46, yang didakwa mendera anak-anak mereka di Stockholm, Sweden pada Februari 2014 lalu masing-masing dijatuhi hukuman penjara pada 28 Mac 2014. Azizul Raheem dihukum penjara 10 bulan dan Shalwati 14 bulan oleh Mahkamah Daerah Solna.
Mahkamah juga memerintahkan Shalwati dan Azizul Raheem masing-masing membayar ganti rugi 67,200 SEK (RM33,900) dan 36,400 SEK (RM18,362) kepada empat anak mereka.
Menurut kenyataan penghakiman itu, Azizul Raheem didapati bersalah atas pertuduhan mencabul integriti anak lelaki mereka, Ammar, 13, serta mendera Aishah, 15, dan Adam, 12.
Bagaimanapun Azizul Raheem bebas daripada sebarang pertuduhan melakukan kesalahan terhadap anak bongsu mereka, Arif yang berusia lapan tahun.
Sementara itu, Shalwati pula didapati bersalah kerana mencabul integriti Aishah dan Ammar serta mendera dua lagi anak mereka.
Menurut hujah penghakiman yang dibentangkan oleh Hakim Mattias Moller, mahkamah mendapati keterangan yang diberikan keempat-empat anak pasangan itu sebelum ini mempunyai kredibiliti.
"Walaupun tiada bukti sokongan melalui bentuk pemerhatian perubatan, butir-butir yang diberi kanak-kanak itu adalah disahkan termasuk dengan keterangan oleh saksi mengenai apa yang dirahsiakan kanak-kanak itu," katanya.
Menurut Moller, walaupun kekasaran yang dilakukan terhadap kanak-kanak itu bersifat kecil, kesalahan tersebut diputuskan mahkamah sebagai satu pencabulan serius terhadap integriti mereka yang melibatkan keganasan berulang dan sistematik.
Dari kiri Azizul, Jon, Shalwati dan Kris dalam mahkamah di Sweden.
HUJAH PIHAK PENDAKWAAN
1. Wujud insiden yang melibatkan pukulan ke atas Aishah, Ammar, Adam dan Arif.
Terdapat beberapa insiden yang dibawa oleh pihak pendakwaan bagi membuktikan wujudnya 'pukulan' seperti yang dinyatakan di dalam kertas pertuduhan. Antara insiden yang kerap dibangkitkan ialah:
INSIDEN 1 : Aishah dikatakan dipukul kerana mencuri makan coklat dan pulang lewat ke rumah.
Dalam kenyataannya, Aishah mengaku menerima sentuhan fizikal namun ia telah dihentikan sebaik-baik mereka menetap di Sweden.
INSIDEN 2 : Ammar dikatakan dipukul dengan penyangkut baju ketika di meja makan. Shalwati menafikan dakwaan ini dengan menyatakan tidak melakukannya dan mustahil untuk memukul apabila di belakang Ammar terdapat penyandar kerusi.
2. Barang Kes
Pihak berkuasa Sweden turut merampas beberapa barang kes dari kediaman keluarga berkenaan di Spanga, pinggir bandar Stockholm. Terdapat tujuh barang kes dijadikan bahan bukti pihak pendakwaan. Namun antara barang kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan insidenitu ialah 'kayu yang berikat' dan rotan yang terpatah dua.
HUJAH PIHAK PEMBELAAN
1. Kegagalan Pihak Pendakwaan Mendedahkan Barang Bukti Penting
Pihak pembelaan mempersoalkan tindakan pegawai pendakwa, Anna Arnell yang menyembunyikan surat permohonan maaf Ammar kepada kedua ibu bapanya. Pihak pembelaan menggunakan elemen tersebut sebagai suatu kecacatan apabila kegagalan pihak pendakwaan mendedahkan surat itu beserta isi kandungannya telah menghalang peguam bela untuk menyoal balas Ammar berkaitan dakwaan dan permohonan maafnya.
2. Keterangan Bercanggah
Keterangan keempat-empat anak pasangan tersebut dilihat bercanggah sesama sendiri dan memberikan jawapan yang berbeza walaupun diberikan soalan yang sama.
Sebagai contoh kenyataan Ammar yang mendakwa dipukul lebih 1000 kali sedangkan Aishah menyatakan pukulan-pukulan itu telah dihentikan semenjak mereka menetap di Sweden.
Kenyataan Aishah ini dilihat selari dengan kenyataan yang diberikan Azizul dan Shalwati yang menyatakan bagaimana mereka mengurangkan ketegasan dalam mendidik anak-anak atas sebab umur yang semakin membesar.
3. Kredibiliti Saksi
Keterangan bercanggah serta jawapan tidak pasti yang diberikan saksi-saksi yang dipanggil pihak pendakwaan mendatangkan persoalan mengenai kredibiliti mereka sebagai saksi.
Sebagai contoh, keempat-empat anak pasangan terbabit dilihat banyak menggunakan perkataan "saya tidak pasti," "sesuatu seperti itu," "saya tidak ingat," "macam itu" dan "mungkin" dalam memberikan keterangan mereka.
Saksi luar yang dipanggil turut mendatangkan persoalan. Ibu kepada rakan karib Ammar, Yiva Bengtsson diminta memberikan keterangan semata-mata berpandukan cerita anaknya Felix dan tidak pernah langsung berjumpa dengan keluarganya. Keterangan ini boleh dikategorikan sebagai keterangan 'dengar cakap' lalu tidak sepatutnya diterima Mahkamah kecuali disokong oleh bukti-bukti kukuh yang lain.
4. Kredibiliti Serta Kualiti Keterangan
Terdapat keterangan yang cuba dibawa masuk hanya bersandarkan kepada rakaman pegawai penyiasat bersama Azizul. Keadaan tersebut dilihat mendatangkan tekanan kepadanya selain kecenderungan pegawai penyiasat meminta orang yang ditahan mengaku bersalah.
Sumber: Utusan [30032014]
0 comments:
Catat Ulasan