25 Mac 2014
Kegagalan Bukan Nokhtah!
PEPATAH Melayu ada mengatakan, Usaha tangga kejayaan".
Tetapi, pernahkah kita menemui situasi, kita telah berusaha bersungguh-sungguh, kita telah cuba beberapa kali dan berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah, tetapi kita gagal juga mendapat apa yang kita cita-citakan dan yang kita amat harapkan.
Situasi ini menjadikan kita seorang yang kecewa, hilang keyakinan diri dan berputus asa untuk mencuba lagi. Kita mula memikirkan dua perkara; pertama, apakah tanggapan orang terhadap diri kita?
Kedua, kita akan menyalahkan diri sendiri dan mengutuk diri sendiri; kelemahan serta kekurangan diri kita sebagai sebab kegagalan.
Kesan daripada sikap negatif yang pertama itu, apabila terlalu memikirkan tanggapan orang lain terhadap kita, maka kita akan sentiasa dibayangi oleh bermacam-macam tanggapan negatif orang terhadap kita. Perasaan ini tidak elok berada dalam hati kita kerana semakin menjejaskan keyakinan diri.
Kesan daripada sikap negatif yang kedua itu, kita menjadi insan yang mempersoalkan takdir yang telah ditentukan Allah untuk kita; bermakna kita mempersoalkan kekuasaan dan keadilan Allah. Kita tidak lagi menjadi orang yang berlapang dada menerima apa-apa sahaja yang ditakdirkan Allah untuk kita.
Jika kita berada dalam perasaan ini, bayangkan kita berada di dalam bilik air yang sangat sempit; keluasannya, 3 kaki x 3 kaki. Tiba-tiba ada seekor lipas merayap di dalam bilik air itu. Mesti kita akan menjerit dan susah hati, bimbang lipas itu merayap ke badan kita, kerana kurangnya ruang untuk kita dan lipas itu melarikan diri.
Kemudian bayangkan pula kita berada di dalam satu kawasan zoo yang besar dan luas. Keluasannya dalam 3 ekar x 3 ekar. Di dalam zoo itu kita ternampak seekor harimau jauh nun di sana. Tentu kita tenang, tidak menjerit dan tidak takut, kerana kawasan itu luas walaupun yang kita nampak itu ialah seekor harimau, binatang yang ganas, berbanding dengan seekor lipas.
Maknanya jika dibandingkan antara lipas dengan harimau, sangat berbeza dari segi saiz fizikal dan kadar ancamannya. Tetapi, kawasan dan situasi yang kita berada itu; iaitu satu bilik sempit dan satu lagi tanah lapang. Oleh sebab itu, reaksi atau persepsi kita menjadi sangat berbeza, yang satu kita sangat takut dan yang satu lagi kita takut sahaja. Jadi bilik kecil dan tanah yang luas itu umpama dada kita, sama ada sempit dada atau lapang dada, yang boleh memberikan kesan atau hasil kehidupan yang berbeza.
Sebenarnya tiada istilah gagal dalam hidup ini. Kegagalan muncul dalam minda kita, apabila kita melabelkan sesuatu perkara atau kejadian yang berlaku dalam hidup kita, yang kita dapat pada masa yang kita sasarkan. Sesungguhnya setiap perkara yang berlaku kepada kita, baik yang positif atau negatif adalah satu pembelajaran kepada kita. Tidak ada istilah kegagalan dalam kehidupan, apabila kita menganggap sesuatu perkara yang tidak berjaya dicapai itu, cuma suatu kejayaan tertunda, kerana belum sampai masanya.
Kegagalan ini analoginya seperti kita sedang berjalan, kita tidak nampak ada longkang di hadapan kita. Kita teruskan perjalanan itu, sedar-sedar kita sudah berada di dalam longkang, dan yang kita nampak di atas kita ialah langit. Setelah kita dapat keluar dari longkang tersebut, adakah esok kita akan mengikut jalan yang sama lagi? Ya, mungkin betul kita boleh ikut jalan yang sama, tetapi dengan lebih berhati-hati kerana kita sudah tahu ada halangan di hadapan, dan kita mesti elakkan daripada jatuh kali kedua.
Tetapi, dengan mengikut jalan yang sama, untuk kita sampai kepada destinasi matlamat, akan menjadi lambat. Kerana kita kena mencari ikhtiar melepasi halangan, contohnya terpaksa mencari kayu membuat titian. Lebih malang lagi, kalau tersilap langkah semasa melalui titian itu, kita terjatuh lagi di dalam longkang itu seperti semalam. Dan kita masih gagal dan telah membuang masa!
Oleh sebab itu, strategi yang betul bagi mengelakkan kita mengulangi kegagalan hidup adalah dengan mencari jalan yang lain. Maknanya jangan mengguna cara yang sama, ubah cara berfikir, ubah cara bertindak, ubah strategi atau kaedah. Orang yang membuat sesuatu yang sama tetapi mengharapkan hasil yang berbeza ialah orang yang menempah kegagalan sejak daripada awal lagi.
Kegagalan bukan noktah! Ingat kepada ibu bapa yang ada anak-anak mengambil SPM, keputusan peperiksaan tidak lama lagi akan keluar. Ditakdirkan anak kita gagal mendapat keputusan terbaik, terima dengan reda. Jangan jadikan anak kita kuda pacuan untuk mengibarkan bendera kejayaan buat kita, (ibu dan ayah).
Jangan mengharapkan penghargaan orang atas kejayaan anak kita, tetapi belajarlah menghargai dan bersyukur dengan apa-apa yang anak kita mampu beri kepada kita. Bertanggungjawab atas apa yang berlaku kepada kita. Apabila tidak berjaya, nilai diri sendiri di mana kesilapan kita bukan menjadi orang yang asyik menyalahkan orang lain dan persekitaran.
Ketenangan hanya datang apabila kita mengingati Allah, maka rapatkan diri lagi dengan Allah. Tidak ada orang yang mengejar kejayaan akhirat akan gagal di dunia, tetapi banyak orang yang mengejar kejayaan di dunia yang gagal di akhirat kelak. Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak".
Oleh DR. MUHAYA MOHAMAD
Profesor Oftalmologi, Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS)
dan Penceramah Utama Jelajah Celik Famili [http://Famili.celikz.com]
dan Felo Dakwah Yadim.
Sumber: Utusan
Labels:
Motivasi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan