26 Mac 2014

Tragedi Boeing 737 Di Tanjung Kupang Terus Diingati



Isnin 4 Disember 1977 adalah tarikh yang paling mendukacitakan dalam sejarah Penerbangan Malaysia (MAS) apabila salah sebuah pesawat miliknya terhempas dan mengorbankan banyak nyawa termasuk orang kenamaan.

Penerbangan MH653 yang membawa seramai 93 penumpang bersama tujuh krew penerbangan telah meletup dan terhempas di sebuah kawasan paya bakau dekat Kampung Ladang, Tanjong Kupang, Gelang Patah, Johor.

Rangka pesawat itu berkecai dan terbakar hingga meranapkan muka bumi seluas kira-kira dua kilometer persegi dari titik hentamannya.

Peristiwa yang berlaku 33 tahun lalu itu juga meninggalkan memori hitam kepada sejarah negara apabila ia turut mengorbankan Duta Cuba ke Malaysia yang pertama, Mario Garcia Inchaustegui dan isterinya, Gladys yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri seminar di Pulau Pinang.


Berdasarkan kisah yang dinyatakan kepada umum, pada pukul 7.21 malam hari kejadian, pesawat Boeing 737 yang dikendalikan Kapten G.K. Ganjoor dan pembantunya, Kamarulzaman Jalil itu sedang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang menuju ke Lapangan Terbang Subang.

Sebelum sempat melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Subang, Ganjoor sempat memberitahu menara kawalan mengenai kehadiran pengganas di dalam pesawat yang sedang dikendalikannya.

Selepas mengetahui perkara tersebut, pihak berkuasa Lapangan Terbang Subang segera mengosongkan laluan 33 bagi membolehkan pesawat Boeing 737 kendalian Ganjoor dan Kamarulzaman mendarat dengan selamat.

Bagaimanapun, pesawat tersebut tidak sempat untuk melakukan pendaratan di lapangan terbang itu, sebaliknya Ganjoor bertindak terbang semula ke awan dan memberitahu menara kawalan yang dia diarahkan oleh pengganas untuk menuju ke Singapura.


MEMORIAL memperingati tragedi pesawat Boeing 737 MH653 masih dikunjungi ahli keluarga mangsa di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru.

Kira-kira pukul 8.15 malam, pesawat yang membawa 93 penumpang bersama tujuh krew penerbangan itu hilang dari radar menara kawalan dan terhempas di sebuah kawasan hutan paya bakau di Tanjong Kupang, Gelang Patah.

Selain mengorbankan Mario Garcia dan usahawan Jepun, Tomio Gotto, tragedi pesawat MH653 itu turut meragut nyawa Menteri Pertanian, Datuk Seri Ali Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Tan Sri Mahfuz Khalid; Pengarah Kerja Raya Bahagian Tentera, Datuk Khalid Mohamad; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Abu Bakar Othman Merican serta dua pegawai Bank Dunia, O.D. Hoerr dan S.A. Naime.

Tempat tragedi pesawat MH653 itu adalah sebahagian daripada kawasan paya seluas 800 hektar milik kerajaan yang kini diletakkan di bawah jagaan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) secara konsesi dan dirizabkan sebagai zon bebas aktiviti manusia.

Paya yang hangus dan menjadi saksi kepada 100 jiwa yang terkorban itu kini hanyalah hamparan muka bumi yang mirip hutan sekunder.

Tugu Peringatan Tanjong Kupang di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru itu telah dibina sebagai usaha untuk memperingati mereka yang terkorban dalam tragedi Tanjung Kupang.

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
Sumber: Utusan

9M-MBD-1
Rangka pesawat Boeing 737 itu bertaburan sekitar dua kilometer persegi.

Cerita duka Tanjung Kupang

SEHINGGA kini, punca nahas masih menjadi teka-teki. Tiada siapa tahu apa sebenarnya yang berlaku kerana kesemua 100 orang (93 penumpang bersama tujuh anak kapal) dalam penerbangan komersial tersebut terkorban.

Kisah pesawat Malaysia Airlines System Bhd. (MAS), Boeing 737 terhempas di hutan bakau Kampung Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor pada 4 Disember 1977, penuh tragis dan amat menyayat hati.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, pesawat malang tersebut dalam penerbangan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.

Ia disifatkan sebagai nahas udara terburuk negara dan yang kedua berlaku di Malaysia dalam tempoh tidak sampai tiga bulan.

Kemalangan pertama berlaku pada 27 September 1977, membabitkan kapal terbang penumpang DC-8, kepunyaan Japan Airlines (JAL) yang terhempas di Ladang Elmina dekat Sungai Buloh, Selangor. Ia mengorbankan seramai 33 penumpang manakala 46 yang lain cedera.

Bagaimanapun, tragedi nahas di Tanjung Kupang banyak mendapat liputan berikutan ia membabitkan orang kenamaan. Antara yang terkorban ialah Menteri Pertanian ketika itu, Datuk Seri Ali Ahmad.

Paling mengerikan, kesemua mangsa ditemui dalam keadaan berkecai, tiada satu mayat pun dikebumikan lengkap anggota tubuh mereka.

Walaupun tiada saksi yang mampu menghuraikan teka-teki berdarah tersebut, pihak MAS telah mengesahkan pesawat itu dirampas. Siapa yang bertanggungjawab, itu gagal dipastikan secara rasmi.

Antara pihak yang sering dikaitkan atau didakwa terlibat dalam rampasan yang mengundang perdebatan berterusan itu ialah tentera merah Jepun, militan Vietnam dan kumpulan penentang kerajaan Cuba.

Sumber: Utusan

0 comments: