30 Mac 2014
Strategi Berkesan Banteras Penyalahgunaan Dadah
Dua pelajar sekolah melihat jenis dadah dalam bas Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang memberi maklumat mengenai bahaya dadah.
Tragedi 6 pengunjung meninggal dunia di Konsert Future Muzik Festival Asia 2014 di pekarangan Stadium Bukit Jalil pada 14 Mac, 2014, yang berpunca daripada pengambilan dadah sintetik secara berlebihan telah sekali lagi menunjukkan betapa seriusnya penyalahgunaan dadah dan masalah ketagihan dalam kalangan belia hari ini.
Ini menunjukkan penyalahgunaan dadah di negara kita adalah berleluasa dan pada kadar yang membimbangkan terutamanya ketagihan kepada bahan-bahan haram ini dalam kalangan belia yang boleh menjadikan krisis sosial besar kepada negara.
Trend penagihan dadah ini adalah membimbangkan. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Anti-Dadah (NADA), pengguna dadah pada hari ini adalah terdiri daripada golongan muda.
Berdasarkan temu bual yang dijalankan oleh NADA terhadap pesakit mereka menunjukkan bahawa kini lebih mudah untuk mereka mendapatkan bekalan dadah.
Jika rangkaian bekalan ini tidak diputuskan sama sekali maka ia akan membawa keburukan kepada negara kerana masalah ini akan memberi kesan buruk kepada masa depan negara dari segi sosial dan ekonomi.
Apa yang lebih membimbangkan adalah mengenai kemunculan dadah baharu yang lebih dikenali sebagai "Tab" yang digunakan oleh 6 anak muda yang meninggal dunia itu. Pihak berkuasa kini sedang menyiasat dadah sintetik baharu ini dan polis sedang menunggu laporan toksikologi berikutan bedah siasat ke atas 6 mangsa.
Menurut laporan media, sindiket dadah sedang mengembangkan rangkaian pengedaran mereka sehingga ke sekolah-sekolah dan menjadikan pelajar sebagai pengedar mereka.
Hasrat Malaysia untuk menjadi sebuah negara bebas dadah pada tahun 2015 harus dipuji. Namun demikian, langkah ini amat memerlukan komitmen, kesungguhan politik dan penyertaan sepenuhnya oleh semua sektor masyarakat termasuklah ibu bapa dan guru supaya ia dapat mencapai objektifnya.
Jelas sekali, kita tidak dapat bergantung kepada satu pihak sahaja untuk menangani isu dadah. Kerajaan, agensi bukan kerajaan, badan-badan sukarela, pertubuhan agama dan institusi keluarga perlu bekerjasama.
Masalah penagihan dadah yang menjadi krisis pertama di Malaysia selama lebih daripada tiga dekad. Penyalahgunaan dadah masih merupakan masalah utama kepada negara terutama kepada mereka yang berusia antara 19 hingga 39 yang membentuk 72% daripada penagih dadah di negara ini.
Ini adalah masanya bagi organisasi dan persatuan serta masyarakat Malaysia secara keseluruhannya bekerjasama dengan kerajaan memerangi ancaman dadah untuk menyelamatkan generasi muda kita daripada momokan dadah.
Kepada semua belia yang merupakan aset terbesar negara ini, saya ingin menasihati mereka supaya menjauhkan diri daripada dadah kerana ia bukan sahaja demi kesejahteraan diri mereka tetapi juga demi masa depan negara.
Adalah perlu untuk kita membangunkan strategi yang lebih berkesan supaya dapat mencapai negara bebas dadah pada 2015 nanti. Usaha-usaha yang kini dilaksanakan bertujuan membasmi masalah dadah perlu dikaji semula bagi memastikan kesesuaian dan keberkesanannya.
Kunci dalam memerangi dadah terletak pada pencegahan. Strategi pencegahan yang berkesan dan kekal diperlukan di rumah, masyarakat dan tempat kerja untuk membasmi masalah ini. Peranan aktif ibu bapa dan masyarakat dalam kempen memperjuangkan penyalahgunaan dadah juga penting dan perlu dipertingkatkan.
Prihatin dengan isu dadah dalam kalangan belia ini, MCPF ingin memberikan beberapa cadangan:
* Belia mesti belajar bagaimana untuk menangani masalah tekanan hidup tanpa perlu bergantung kepada dadah. Ini boleh dilakukan melalui cara kerohanian atau melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti rekreasi yang sihat;
* Belia perlu menolak tekanan rakan sebaya jika mereka digesa atau dipengaruhi untuk melakukan perkara yang mereka tahu adalah salah dan akan membawa kemusnahan kepada diri sendiri;
* Belia perlu dididik tentang bahaya penyalahgunaan dadah dan ketagihan melalui seminar, bengkel, buku dan penerbitan. Mereka harus menyampaikan maklumat tentang kesan-kesan berbahaya ubat-ubatan itu kepada rakan-rakan mereka;
* Belia mesti berani, berdisiplin, bertanggungjawab dan menghargai diri sendiri dalam membina masa depan yang lebih baik.
* Belia di Malaysia mesti bersatu dan membantu sesama mereka untuk mencapai matlamat bebas dadah pada abad ke-21 kelak.
Oleh Lee Lam Thye
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)
Sumber: Utusan
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan