22 April 2014

Bijak Berjimat Bila Sedikit, Boros Apabila Banyak


Bijak bila sedikit, boros apabila banyak

TERDAPAT satu ungkapan lama popular 'Penny Wise Pound Foolish' yang bermaksud bijak mengurus wang atau perbelanjaan secara kecil-kecilan tetapi kurang mahir dalam perbelanjaan yang besar.

Dalam erti kata lain, ini merujuk kepada seseorang yang begitu cermat menyimpan atau mengurus perbelanjaan kecil tetapi tidak menghiraukan kerugian atau perbelanjaan yang besar.

Sebagai contoh, terlampau teliti dengan penggunaan elektrik dan air tetapi di luar asyik berbelanja dengan kawan dan suka memiliki barangan berjenama walaupun di luar kemampuan.

Kebanyakan daripada kita memilih jalan mudah dalam pengurusan perbelanjaan dengan mengikut bajet bulanan yang dibuat. Tetapi, adakah dengan cara sedemikian kita memperbaiki pengurusan wang simpanan atau meningkatkan jumlah wang simpanan kita?


Berikut adalah beberapa contoh untuk pengetahuan kita semua.

1) Membayar premium insurans dengan jumlah yang banyak.

* Sesetengah masyarakat mengambil premium insurans dengan pakej yang mahal kerana mereka tidak tahu bagaimana untuk menambah kewangan mereka.
* Objektif utama kita membeli insurans ialah untuk melindungi diri dan orang yang kita sayangi daripada bebanan kewangan apabila berlakunya sesuatu kecemasan atau kejadian yang tidak diduga.

Pilihlah pakej insurans berekonomi tetapi memberi faedah yang banyak supaya lebihan wang daripada pembayaran premium boleh disalurkan kepada tabung simpanan.

2) Gagal menambah simpanan apabila pendapatan meningkat.

* Adalah perkara biasa apabila seseorang itu meningkatkan taraf hidup mereka apabila pendapatan mereka bertambah. Ini sifat yang biasa di mana mereka inginkan kehidupan lebih selesa. Sifat ini adalah tidak digalakkan.

* Mengapa tidak anda menambahkan simpanan anda setiap kali pendapatan meningkat?

3) Tidak menambahkan pulangan dalam simpanan.

* Satu kesilapan yang biasa kita lakukan ialah menyimpan wang yang banyak tanpa mengusahakan sebarang dana pelaburan yang boleh memberi pulangan yang baik.

Terdapat pelbagai jenis pelaburan yang boleh anda bandingkan dari segi undang-undang dan risiko. Peluang anda untuk menjana lebih kekayaan ialah melalui pelaburan yang mempunyai risiko yang rendah dan sah di sisi undang-undang.

Perlu diingat, anda tidak perlu melabur semua wang anda dalam satu pelaburan saja, tetapi pelbagaikan pelaburan anda.

4) Tidak membeli banyak pakaian mahal tetapi menghabiskan duit dengan menukar almari pakaian kerana kualiti yang rendah. Ini tidak bermaksud anda perlu berbelanja membeli pakaian mahal, tetapi pastikan anda menikmati nilai wang terhadap barangan yang anda beli itu.

5) Menerima surat saman akibat tidak membayar parkir bermeter.

6) Membeli barangan secara pukal ketika jualan murah dan akhirnya membuang barang tersebut akibat lebihan atau melebihi tarikh luput (sebagai contoh makanan).

7) Pada bulan Ramadan, kebanyakan kita membeli banyak makanan untuk berbuka dan terpaksa buang makanan tersebut kerana tidak mampu menikmati semua juadah

8) Memberi duit raya kepada adik-beradik dan sanak saudara secara berlebihan tanpa menyedari status kewangan selepas musim perayaan

Seperti yang anda lihat, bijak bila sedikit, kurang cermat bila banyak boleh mengajar kita banyak tentang bagaimana kita membuat keputusan mengenai wang kita.

Ini sesuatu yang tidak perlu diberitahu bahawa anda perlu mengurangkan kos dan membuat simpanan. Cuba berfikir secara bijak tentang akibat di masa hadapan.

Sumber: BHarian