06 April 2014

Perjalanan Sekeping Surat Menuju Ke Destinasi


PUSAT Mel Nasional di Shah Alam yang menggunakan peralatan serba moden untuk memproses kira-kira 3.5 juta surat setiap hari.

DALAM masa seminggu berapa banyak surat yang memenuhi peti surat anda?

Persoalan itu mungkin dapat memberi gambaran betapa rumit kerja-kerja pemprosesan surat yang dilakukan oleh Pos Malaysia Berhad di seluruh negara. Bahkan mungkin ramai tidak pernah terfikir tentang perjalanan yang dilalui oleh sepucuk surat selepas ia dikirim sehingga tiba di pintu rumah penerima.

Untuk melihat bagaimana pemprosesan surat dilakukan, mari kita fahami operasi yang berlaku di  Pusat Mel Nasional (NMC) di Seksyen 21 Shah Alam. Premis ini dibina di atas tapak berkeluasan 8.9 hektar.

NMC merupakan salah satu daripada empat pusat pemprosesan mel (surat) utama di negara ini yang menguruskan surat dari tiga negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.


Pengalaman berada di gudang surat yang beroperasi 24 jam sehari itu tidak ubah seperti berada di dalam sebuah kilang pengeluaran yang dilengkapi dengan mesin-mesin yang beroperasi secara automatik.

Berapa banyak surat yang diproses setiap hari?

Zaini Yahman, Ketua Operasi E2E, bahagian Komunikasi dan Penyelesaian Pengedaran, Pos Malaysia Berhad, .berkata secara purata pihaknya memproses 3.5 juta surat setiap hari. Jumlah itu meningkat sehingga 7.5 juta surat pada hari-hari puncak.

“Pemprosesan mel yang dilakukan di sini mewakili lebih daripada 80 peratus surat-surat dari seluruh negara,’’ balas Zaini. Pemprosesan surat di NMC yang dibina dengan kos RM250 juta itu bermula dengan kerja-kerja pengisihan surat mengikut saiz sampul.

Selepas pengisihan katanya, surat-surat yang menggunakan sampul bersaiz standard (biasa) akan dimatikan setem sebelum diasing secara automatik. “Mesin yang digunakan ini mampu memproses kira-kira 36,000 surat dalam masa sejam.

“Penentuan lokasi dilakukan oleh mesin berdasarkan angka-angka poskod pada sampul surat. “Surat-surat yang sudah diasing mengikut poskod kemudian akan dimasukkan ke dalam dulang penghantar untuk dibungkus dan dihantar ke cawangan-cawangan penghantaran,’’ jelasnya.

Menurut Zaini, daripada jumlah keseluruhan mel yang diproses pada masa kini hanya 15 peratus merupakan surat persendirian manakala selebihnya adalah surat perniagaan berupa kiriman notis, penyata dan bil.

Katanya, walaupun jumlah penerimaan surat di seluruh negara merosot setiap tahun, pengiriman surat-surat perniagaan masih meningkat.

Beliau berkata, pertambahan surat-surat perniagaan mencatatkan peningkatan sejak 1995. “Ia bermula melalui pengeposan katalog oleh pasar raya, syarikat kecantikan dan pakaian.

“Selepas itu muncul pula surat-surat kad keahlian seperti Real Rewards, kad Sogo, Bonus Link dan penghantaran bil oleh syarikat telekomunikasi,’’ kata beliau.

Beliau berkata, walaupun menghadapi saingan hebat daripada teknologi telekomunikasi yang serba moden dan pantas, servis penghantaran surat tidak akan sesekali berkubur.

Keyakinan itu menurutnya berdasarkan peluang-peluang yang dikenalpasti dan proses transformasi yang dilakukan oleh Pos Malaysia khususnya dalam mempelbagaikan produk dan servis.

Sumber: Utusan



Diterpa anjing, disengat tebuan jadi cabaran

MENGHANTAR surat dari rumah ke rumah mungkin dianggap satu tugas mudah yang boleh dilakukan sesiapa sahaja, namun ramai tidak mengetahui cabaran kerjaya sebagai seorang posmen.

Selain risiko kemalangan jalan raya, berhujan dan berpanas sepanjang hari, posmen sebenarnya berdepan dengan pelbagai perkara yang tidak pernah diduga.

Bagi Ketua Penyelia Posmen, Suffian Unoss, pengalaman diterpa seekor anjing German Shepard ketika menghantar bungkusan di kawasan perumahan mewah di Bangsar tidak pernah dilupakan.

Suffian berkata, beliau hampir diterkam oleh anjing yang terkenal dengan sifat agresif itu ketika berjalan menuju ke pintu rumah penerima.

“Sebaik sahaja melangkah ke halaman rumah, saya dihampiri seekor anjing besar yang tidak berantai. Masa itu saya tidak mampu berbuat apa-apa, kecuali berdiam diri.

“Anjing setinggi paras pinggang itu memandang tepat ke muka saya sehingga dipanggil oleh tuannya,’’ ujar beliau yang berkhidmat lebih 30 tahun di Pos Malaysia.

Menurut Suffian, ancaman anjing peliharaan dan liar merupakan antara masalah paling biasa yang dihadapi oleh posmen di seluruh dunia, bahkan kejadian posmen diserang anjing bukan sesuatu yang asing.

Selain anjing, beliau pernah berdepan dengan detik cemas apabila terperangkap di dalam lif ketika membuat penghantaran di sebuah pangsapuri di kawasan Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

“Nasib kadang-kala tidak menyebelahi kita. Lif yang saya naik tiba-tiba terhenti di tingkat 16. “Selepas setengah jam menjerit meminta tolong, baru ada penduduk menyedari saya terperangkap di situ,’’ katanya.

Bagi pesara posmen, Nor Lisman Abu, 61, pengalaman menghantar surat di sebuah rumah kampung hampir menyebabkan matanya buta selepas disengat tebuan.

Kejadian berlaku sebaik sahaja beliau memasukkan surat ke dalam kotak pos kerana menyangkakan tiada penghuni di dalam rumah.

“Nasib baik hanya kelopak mata yang disengat. Kalau kena pada mata, mungkin sudah buta,’’ katanya yang berkhidmat lebih 30 tahun di Pos Malaysia Berhad.

Pada hari kejadian itu, Nor Lisman bernasib baik kerana mendapat pertolongan daripada tuan rumah berkenaan yang menyapu ubat dan membenarkan dia berehat di rumahnya sekejap bagi menghilangkan kesakitan akibat disengat.

Sumber: Utusan

Peluk seikat surat berdarah

KEMALANGAN membabitkan posmen mungkin perkara biasa kerana tugasan harian itu menuntut mereka berada di jalan raya sepanjang masa.

Namun kemalangan yang menimpa seorang posmen 32 tahun lalu agak berbeza kerana mangsa, Nor Lisman Abu, menunjukkan sikap yang cukup terpuji walaupun ketika itu beliau mengalami kecederaan serius di kepala.

Kemalangan yang menimpa Nor Lisman pada hari itu bukan sahaja menjadi tajuk utama berita di dada-dada akhbar, bahkan turut mendapat perhatian Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Timbalannya Tun Musa Hitam.

Di dalam laporan-laporan berita itu, Nor Lisman diangkat menjadi ‘hero’ kerana keengganan beliau menyerahkan surat-surat yang dibawa kepada anggota polis yang datang memberi pertolongan atas prinsip amanah terhadap tugasnya.

Laporan kemalangan Nor Lisman yang dipadankan dengan gambar beliau memeluk seikat surat dengan kesan darah di bahagian muka menjadi bahan berita selama beberapa hari.

Nor Lisman ketika ditemui S2 di Kampung Sungai Raya, Batu 9 Cheras, berkata, dalam kemalangan itu beliau diminta oleh salah seorang anggota polis menyerahkan surat berdaftar sebelum dihantar ke hospital.

Beliau bagaimanapun menolak pelawaan anggota polis berkenaan atas rasa amanah dan tanggungjawab pada surat-surat yang dibawa.

“Niat polis itu baik... nak tolong simpan, tapi surat-surat berdaftar itu adalah ‘nyawa’ saya. Saya tak boleh serah kepada sesiapa yang bukan penerima.

“Saya menolak pelawaan anggota polis itu dengan baik dan memegang surat-surat tersebut sehingga wakil Pos Malaysia datang mengambilnya di hospital,’’ ujar bekas posmen itu lagi.

Dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Parlimen pada 10 Ogos 1982 itu, motosikal yang ditunggang Nor Lisman terbabas selepas beliau cuba mengelak sebuah kereta yang melanggar lampu isyarat merah.

“Kejadian berlaku ketika hujan renyai-renyai. Masa itu, saya baru keluar dari Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur (bersebelah Bangunan Sultan Abdul Samad) untuk menghantar surat ke Damansara.

“Kemalangan menyebabkan saya cedera di bahagian kepala dan tangan. Syukur saya masih ada kekuatan untuk bangun dan mengambil surat-surat yang jatuh di atas jalan,’’ katanya.

Nor Lisman berkata, keputusan yang dibuat itu telah ‘menyelamatkan’ surat-surat berdaftar tersebut sehingga semuanya selamat diserahkan kepada penerima beberapa hari selepas kejadian walaupun dalam keadaan berlumuran darah.

“Saya diberitahu ‘surat berdarah’ itu menyebabkan ramai penerima terkejut dan ada juga yang marah. Tetapi selepas mereka tahu apa berlaku melalui akhbar, ada yang datang melawat saya di hospital dan mengucapkan terima kasih,’’ katanya.

Nor Lisman berkata, sepanjang empat hari dirawat di Hospital Kuala Lumpur, beliau menerima penghargaan daripada banyak pihak termasuk jambangan bunga dan surat penghargaan daripada Perdana Menteri serta Timbalannya ketika itu.

Atas sikap amanah yang ditunjukkan itu, Nor Lisman dianugerahkan pingat Pangkuan Negara pada 1983 dan Bintang Mangku Negara pada 2004. Beliau juga tersenarai sebagai salah seorang daripada calon Anugerah Man of The Year.

Katanya, walaupun tidak pernah mengharapkan balasan atas apa yang dilakukan, beliau cukup gembira sekiranya kejadian itu dapat dijadikan iktibar kepada seluruh kakitangan Pos Malaysia dan masyarakat di negara ini umumnya.

“Salah satu sebab saya berkeras untuk tidak melepaskan surat itu adalah saya teringat pesanan penyelia saya.

“Dia pesan setiap surat adalah amanah yang harus dijaga dalam apa jua keadaan. Kalau tidak, saya akan sampai ke dua destinasi, sama ada balai polis atau penjara,’’ tambahnya.

Berbekalkan pengalaman yang ditimba dari peringkat paling bawah, Nor Lisman dinaikkan pangkat sehingga bersara sebagai Pegawai Latihan di Pusat Latihan Pos Malaysia kira-kira tujuh tahun lalu.

Sepanjang lima tahun menjadi tenaga pengajar di pusat latihan di Bangi itu, beliau sudah melatih kira-kira 4,000 kakitangan Pos Malaysia Berhad.

Salah satu daripada aspek yang diberi penekanan kepada murid-muridnya adalah tentang pentingnya sikap amanah dalam melaksanakan tugas bagi mengelak kejadian kehilangan surat.

Sumber: Utusan

1 comments:

Jahirah berkata...

dulu sahabat pena...sekarang sahabat maya...perubahan zaman n teknologi mkin canggih.