21 Mei 2014
Keunikan Masjid Cheng Ho
MASJID Mohamad Cheng Ho di Pasuruan, Surabaya sebagai penghormatan kepada sumbangan Laksamana Cheng Ho menyebarkan Islam dalam pelayarannya.
SENI binanya cukup unik hingga sekali pandang orang tentu akan tersalah anggap bangunan ini sebagai sebuah rumah ibadat orang Cina.
Diliputi warna merah yang merupakan warna tradisi masyarakat Cina hampir keseluruhan bangunan bersama bumbung berwarna hijau sudah tentu ramai yang tidak menyangka ia merupakan sebuah masjid.
Dari jauh ia tidak kelihatan seperti sebuah masjid dan seni binanya pula tidak sama dengan masjid-masjid lain yang terdapat di Indonesia yang menggabung elemen Jawa dan Asia Barat.
Kerana keunikan itu ia telah mendorong pelancong untuk melihatnya dengan lebih dekat bagi memastikan apakah sebenarnya bangunan unik yang tersergam indah itu.
Hanya kewujudan bulan sabit di puncak kubahnya memberi gambaran bahawa bangunan ini sebenarnya adalah sebuah masjid selain papan tanda di pintu masuk yang jelas tertulis nama Masjid Mohamad Cheng Ho.
Seni bina dan warna tradisi kaum Cina itu juga yang menjadi identiti Masjid Mohamad Cheng Ho yang terletak di Pasuruan, Surabaya. Masjid yang mengilhamkan seni bina China itu terletak di Jalan Gading, Kecematan Genteng, Surabaya dengan lokasinya kira-kira 100 meter dari taman Makam Pahlawan Kusuma Bangsa.
Nama Cheng Ho, yang merupakan pelayar agung China diabadikan pada masjid ini merupakan penghormatan kepada Laksamana yang merupakan nakhoda tersohor oleh umat Islam di Surabaya. Ia sebagai penghormatan kepada tokoh yang beragama Islam itu yang menjadikan beberapa destinasi di Asia Tenggara sebagai lokasi persinggahan dalam misinya mengelilingi dunia.
Antara tempat yang menjadi persinggahan Cheng Ho itu ialah Surabaya. Lagi pula Laksamana itu bukan sahaja berdagang dan menjalin persahabatan tetapi turut menyebarkan agama Islam,
Peletakan batu asas masjid itu dilakukan pada 15 Oktober 2001 dan pembinaannya selesai apda 13 Oktober 2002 serta dirasmikan pada 28 Mei 2003.
Keluasan masjid ini mampu memuatkan 200 jemaah ini mempunyai lapan sisi utama dengan angka memainkan peranan utama. Angka 11 misalnya mewakili ukuran Kaabah ketika mula dibangunkan dan angka sembilan pula mewakili Wali Songo. Angka lapan membawa erti keuntungan dan kejayaan.
Gabungan seni bina China dan Arab sememangnya menjadi ciri utama Masjid Mohamad Cheng Ho yang mengambil ilham Masjiod Niu Jie di Beijing.
Pada masa sama ia turut menampilkan ciri-ciri Asia Barat seperti pada bahagian pintu utama masjid selain warisan Jawa pada tembok dan susunan batu-batanya.
Pada bahagian utara masjid terdapat replika kapal dan wajah Laksamana Cheng Ho yang mana ia sering menjadi lokasi untuk para pengunjung mengabadikan kenangan mereka berkunjung ke masjid ini.
Matlamat pembinaan replika itu ialah untuk memberitahu orang ramai bahawa Cheng Ho adalah seorang pelaut beragama Islam yang berasal dari China yang cukup taat pada agama selain merupakan utusan pendamaian yang terpuji.
Kerana keunikannya, Masjid Mohamad Cheng Ho sering menjadi tumpuan para pelancong di Surabaya terutama mereka yang sampai ke wilayah Pasuruan yang terkenal dengan pembuatan kulitnya.
Oleh Aznan Bakar
Sumber: Utusan
Labels:
Indahnya Islam,
Luar Negara
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan