12 Jun 2014

Anda Seorang Reaktif Atau Proaktif?



Cuba kita renung dua frasa yang berikut ini.

Frasa 1: "Kita bahagia bukan kerana dunia ini betul, tetapi dunia ini menjadi betul apabila kita berasa bahagia dalam diri."

Frasa 2: "Apabila kita berubah, maka orang sekeliling kita juga akan berubah dan kita tidak perlu berubah mengikut situasi/suasana, tetapi kita yang mencipta/mengawal situasi atau suasana itu agar berubah mengikut acuan yang kita mahu."

Contoh pertama, dalam situasi di jalan raya yang tenang, sebuah kenderaan bergerak terlalu perlahan di hadapan kita atau kedua, dalam kesesakan jalan raya tiba-tiba datang sebuah kereta, memotong kereta kita secara “cilok".

Apakah reaksi kita pada masa itu? Tunjukkan kemarahan kita atau cuba tenangkan diri dan mencari jalan keluar daripada terheret dalam situasi/suasana itu?


Cara kita melihat dan menangani sesuatu itu menunjukkan imej diri kita. Orang yang memiliki imej diri yang positif, apabila berlakunya sesuatu sama ada suka atau duka dihadapinya dengan tenang, kerana mempercayai bahawa kita tidak boleh mengawal keadaan, tetapi kita boleh mengawal respons di atas apa-apa yang berlaku. Respons yang positif memberikan kesan positif yang besar kepada hidup kita.

Kita boleh memilih untuk bersabar atau melawan apabila berhadapan dengan situasi / suasana yang tidak menyenangkan seperti contoh di atas. Hal ini bermaksud manusia yang reaktif akan melawan dan, manusia yang proaktif akan berfikir dahulu sebelum bertindak.

Untuk mendapat ladang pahala apabila sedang memandu kereta bertindaklah seperti berikut:

- Memberi laluan kepada kereta lain.
- Sabar apabila kereta lain memotong kereta kita.
- Mendoakan apabila melihat kemalangan.
- Nampak polis, berterima kasih kerana polis trafik sanggup berhujan berpanas bertugas untuk menjaga kelancaran lalu lintas.

Apabila kita hendak gembira kita jangan membiarkan suasana menentukan kita, biar kita menentukan suasana. Oleh itu apabila melakukan sesuatu, lakukan perkara yang boleh mendatangkan pahala pada kita.

Cara untuk memujuk hati adalah dengan berkata, “Dengan berkat kesabaranku ini kepada orang itu kau tambahkan rezekiku. Disebabkan kesabaranku engkau atasilah masalahku. Disebabkan kesabaranku engkau jagalah keselamatanku dan keluargaku". Setiap kali orang berbuat kasar dengan kita, kita sabar insya-Allah rezeki kita murah.

Setiap hari kita perlulah menjaga apa yang kita fikir, menjaga apa yang kita rasa, menjaga apa yang kita buat dan menjaga tahap emosi kita. Tetapkan semula (reset) minda, jadilah seorang pemerhati kepada diri sendiri dan janganlah sibuk menjadi pemerhati kepada orang lain. Jika kita selalu memerhatikan diri sendiri, kita akan menjadi seorang yang bersifat proaktif, bukannya seorang yang reaktif.

Seperti kes kesesakan jalan raya, untuk menghilangkan tekanan, kita tukarkan rasa bosan itu dengan menjadikan suasana kesesakan jalan raya sebagai peluang untuk kita berlama-lama dengan isteri dan anak-anak kita.

Gunakan waktu itu untuk bercerita tentang kehidupan kita bersama-sama keluarga kita; mungkin tentang kenangan masa silam bagaimana pertemuan kita dengan isteri/suami kepada anak-anak. Cipta dan kreatif mencipta suasana bahagia dan yang menyeronokkan.

Seorang yang reaktif akan cepat melenting dengan situasi yang dihadapinya. Sepatutnya kita proaktif, melihat kepada diri sendiri maka kita akan fikir, “Apa yang akan saya lakukan pada hari ini mesti berlainan daripada pada hari biasa, yang telah lepas supaya saya mendapat hasil yang berbeza".

Inilah maksud “celik mata hati" dan set semula (reset) minda, iaitu minda bawah sedar atau programming (pemikiran) kita. Programming kita boleh diubah dengan menggunakan imaginasi, perkataan, memperbetulkan suasana di sekeliling, menulis dan melaksanakan skrip kehidupan kita sendiri.

Kita mempunyai "“minda sedar" dan “"minda bawah sedar". “"Minda sedar" ialah apa yang seseorang itu fikir seperti logik. Ingatan dan imbasan pada kisah zaman silam ialah “minda bawah sedar". Manakala "“minda segar" ialah perkara yang dilakukan oleh kita seharian, yang sudah dibentuk (programming) sejak kita kecil.

Hakikatnya cara kita dibesarkan, yang telah diterapkan dalam minda kita pada masa kecil, agak sukar untuk diubah, kerana sudah sekian lama kita hidup dalam kepompong minda tersebut. Lantaran itu, untuk membolehkan kita tetapkan semula (reset) atau mengubah minda; ubah cara persekitaran, ubah cara sistem kepercayaan, ubah pilihan program televisyen yang kita tonton, ubah cara berkawan dan sebagainya, yang membolehkan kita berfikir dan bertindak secara positif.

Jangan jadikan sesuatu perkara yang negatif menyebabkan kita menyekat keupayaan diri atau, menjadikan bermacam alasan untuk kita berubah. Kita mesti merasakan bahawa, “Saya menjadi seperti ini disebabkan pilihan saya sendiri."

Apabila kita katakan hidup berlaku disebabkan orang, kita akan berasa lemah kerana kita tidak boleh mengubah orang! Sebaliknya apabila kita mengatakan berlaku sesuatu disebabkan pilihan kita, maka kita bertanggungjawab untuk mengubah diri kita. Hal ini adalah kerana, orang lain tidak boleh mengubah diri kita melainkan diri kita sendiri! . “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak".

Oleh: Profesor Dr Muhaya
Sumber Artikel: Utusan

Catatan:
Profesor Dr Muhaya adalah pengendali program Kanta Prof. Muhaya di TV2,
Setiap Rabu 6.30 pagi dan ulangan setiap Jumaat 1.30 tengah hari.
Fanpage: www.facebook.com/profdrmuhaya.

0 comments: