11 Jun 2014

SOP Pemberian Sijil Halal JAKIM



Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, orang ramai tidak perlu melenting apabila berlaku sesuatu isu berkaitan status halal sesuatu produk, sebaliknya merujuk kepada Jakim terlebih dahulu.

Tegasnya, Jakim tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam mendapatkan sijil halal dan juga sebarang salah laku dalam pensijilan halal.

Malah tambahnya, Jakim akan menjadi pihak pertama yang akan mengambil tindakan kepada sesuatu syarikat jika didapati berlaku penemuan Laporan Ketidakakuran (NCR) dalam Pensijilan Halal Malaysia atau tidak memenuhi Piawaian Pensijilan Halal Malaysia.


“Prosedur Operasi Standard (SOP)

Melalui Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Jakim, Othman berkata, tidak akan berlaku penyelewengan atau memberi kelebihan kepada orang yang berkepentingan dalam perkara yang membabitkan status halal.

“Terdapat empat kumpulan penilai yang bertanggungjawab dalam membuat keputusan sebelum meluluskan status halal terhadap sesuatu produk. Ia adalah terdiri daripada kumpulan peneliti, audit, penilaian dan pemantau.

“Syarikat perlu membuat permohonan sijil halal secara dalam talian (online) menerusi laman web bahagian Hub Halal, Jakim, e-halal dengan berserta segala ramuan yang digunakan dalam produk tersebut untuk diteliti oleh kumpulan peneliti.

“Manakala kumpulan audit pula akan ke kilang pemohon bagi melihat dan memastikan proses pembuatan produk, peralatan yang digunakan serta persekitaran, kebersihan dan pekerja di premis berkenaan agar bertepatan dengan standard yang ditetapkan.

“Selepas berpuas hati barulah laporan akan dibawa ke peringkat penilaian dan selepas panel penilai bersetuju barulah sijil halal akan dikeluarkan dan pemantauan akan dilakukan secara berkala. Setiap kumpulan penilai ini adalah individu yang berbeza," jelasnya.

Justeru, tambahnya, unsur salah laku dalam permohonan dan penelitian sijil halal sukar berlaku kerana perlu melalui pelbagai peringkat sebelum disahkan halal.

Pemeriksaan mengejut

Bagi mengelakkan daripada berlaku penipuan atau salah laku dalam pemilikan sijil halal, Jakim mengadakan pemantauan secara mengejut di sesuatu premis bagi memeriksa operasi sebenar yang dilakukan.

Othman berkata, terdapat tiga jenis pemantauan yang dijalankan oleh Jakim iaitu pemantauan berkala, pemantauan aduan awam dan pemantauan susulan.

“Bagi pemegang sijil Halal Jakim, Jabatan Agama Islam Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri, pemantauan berkala iaitu sekurang-kurangnya setahun sekali.

“Manakala, syarikat yang berisiko tinggi iaitu produk yang berasaskan daging dan ayam, minyak dan lemak, rumah sembelih, tiada sistem kawalan halal, tiada eksekutif halal dan Jawatankuasa Halal Dalaman, maka pemantauan akan dilakukan lebih daripada sekali setahun

“Jakim juga akan membuat pemantauan berdasarkan aduan awam yang diterima bersama agensi penguatkuasa berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Pihak Berkuasa Tempatan dan lain-lain.

“Manakala pemantauan susulan dijalankan merangkumi pemeriksaan verifikasi terhadap tindakan pembetulan yang telah diambil oleh syarikat yang gagal mematuhi Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia," katanya.

Bagi syarikat yang didapati tidak memenuhi Piawaian Pensijilan Halal Malaysia itu katanya, tindakan boleh dikenakan mengikut kesalahan yang dilakukan dengan denda maksimum sebanyak RM5 juta bagi syarikat dan RM1 juta dan tiga tahun penjara bagi individu.

Perkasa audit dalaman

Sehubungan itu, Othman menasihatkan kepada syarikat agar memperkasakan Jawatankuasa Halal Dalaman bagi melakukan pemantauan sendiri agar memastikan produk yang dihasilkan sentiasa mematuhi piawaian halal yang ditetapkan.

“Kita minta kepada kilang-kilang supaya memperkukuhkan sistem jaminan halal dalaman.

“Menubuhkan serta memperkasakan Jawatankuasa Halal Dalaman dengan melantik eksekutif halal yang diiktiraf untuk memantau proses penghasilan produk pada setiap hari.

“Ini kerana industri juga perlu bertanggungjawab dan memainkan peranan penting dalam memastikan dan memberi jaminan produk yang dihasilkan adalah sentiasa halal digunakan oleh masyarakat," katanya.

Jawatankuasa Halal Dalaman itu katanya, hendaklah daripada kalangan individu yang berkelayakan dan terlatih yang diiktiraf bagi mengelakkan salah laku boleh berlaku.

JAIN dan MAIN juga tambahnya, perlu bertindak meningkatkan pemantauan di negeri-negeri masing-masing terutamanya di negeri yang mempunyai permintaan dan pemegang sijil halal yang banyak.

“Dan sebarang maklumat yang diperoleh, perlulah dirujuk kepada Jakim terlebih dahulu sebelum menguar-uarkan kepada umum.

“Kita telah mengadakan mesyuarat penyelarasan sejak 2011 lagi dan isu seperti ini tidak akan timbul jika dirujuk kepada Jakim," katanya.

Manfaatkan aplikasi Halal Square

Orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan sistem aplikasi mobil Halal Square yang diperkenalkan bagi membantu mendapatkan maklumat mengenai premis makanan yang menyediakan perkhidmatan sajian halal termasuk di luar negara.

Othman berkata, aplikasi itu menyediakan penjejakan lokasi yang berupaya menunjukkan arah perjalanan dan jarak premis halal berdasarkan aplikasi pemetaan.

“Dengan hanya mengimbas kod halal yang terdapat di sesuatu premis, aplikasi Halal Square akan membantu mengenalpasti status halal di premis tersebut dengan memaparkan alamat, nombor siri halal dan juga tarikh luput logo halal tersebut.

“Sehinggakan setiap cawangan bagi sesuatu outlet juga perlu mendapatkan sijil halal masing-masing. Jika pengguna mendapati maklumat yang dipaparkan adalah berbeza, boleh membuat aduan kepada Jakim, dan kita akan mengambil tindakan," katanya.

Halal Square juga membantu pengguna untuk sentiasa memaklumkan premis lokasi halal menerusi fungsi getaran pada telefon pintar masing-masing apabila berada kira-kira 500 meter daripada premis tersebut.

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD
Sumber: Utusan

0 comments: