05 Jun 2014

Hiratsuka Wartawan Perakam Kisah Watanoha

Apakah bentuk berita yang akan menjadi pilihan pembaca?
Seorang wartawan di Watanoba yang bernama Hiratsuka memilih untuk menerbitkan berita yang menjadi perbualan sebahagian besar penduduk tempatan. Beliau mendapati berita yang menjadi pilihan beliau turut menjadi pilihan penduduk tempatan.


HIRATSUKA berdiri di sebelah basikalnya dengan latar belakang perkampungan kecil Ishinomaki, wilayah Miyagi di utara Jepun.

TOSHIO HIRATSUKA merupakan tulang belakang akhbar tempatan Jepun. Tokoh wartawan tersebut percaya bahawa buku nota dan penanya telah menjadi saksi kepada hampir setiap peristiwa penting yang berlaku di Jepun selama 65 tahun.

Malah, Hiratsuka adalah satu-satunya wartawan di Oshika Shimbun. Pada usia 89 tahun, beliau merupakan seorang pengarang dan penerbit akhbar yang mempunyai lebih daripada 1,000 pelanggan.

Sepanjang minggu beliau gigih berbasikal ke merata tempat untuk mengetahui topik perbualan penduduk tempatan bagi mendapatkan berita yang sesuai untuk dicetak.


Beliau melaporkan mengenai jualan ikan di pelabuhan dan penduduk yang memenangi anugerah. Tulisannya meliputi berita mengenai kemalangan dan kejadian termasuklah kejadian dua ekor musang yang muncul di taman tersebut.

Hiratsuka kerap mengunjungi balai polis tempatan, bagi mencatat butiran-butiran jenayah dan antara kisah yang paling teruk berlaku pada zaman itu adalah kes langgar lari di tiang telefon awam. Beliau mengikuti kejadian yang berlaku di pejabat bandaran dan melaporkan aktiviti ahli politik tempatan.

"Isnin hingga Khamis jadual saya padat dengan tugasan. Saya benar-benar gembira pada malam Khamis kerana terasa lega seperti perasaan yang anda rasa ketika zaman persekolahan apabila peperiksaan telah berakhir," katanya Hiratsuka.

Hiratsuka menceburi bidang kewartawanan selepas Perang Dunia Kedua iaitu selepas beliau pulang ke bandar Watanoha untuk mengambil bayaran ketika mengikuti latihan di sebuah akhbar tempatan.

Pada tahun 1949, Hiratsuka dan seorang lagi rakannya telah memulakan Shukan Watanoha atau Mingguan Watanoha memberitahu pembaca dalam terbitan pertamanya bahawa beca dan basikal yang menggunakan jalan raya haruslah berdaftar.


WARTAWAN veteran, Hiratsuka yang juga selaku editor dan penerbit akhbar Oshika Shimbun berdiri di luar pejabatnya.

Tarik diri

Setahun kemudian, akhbar tersebut berubah menjadi Oshika Shimbun setelah rakan kongsinya menarik diri.

"Saya masih muda dan terlalu sibuk bekerja, hari-hari saya berlalu dengan pantas," katanya.

Kemudian Datuk Bandar Watanoha, Keisuke Baba memuji penerbitan beliau yang ketika itu berharga 30 yen sebulan (RM0.95 sen) dengan menyifatkan penulis akhbar tersebut memainkan peranan penting sebagai akhbar tempatan.

"Saya berharap ia tidak meniru kebanyakan akhbar utama Tokyo dan berkembang sepenuhnya menjadi sebuah akhbar yang digemari oleh penduduk tempatan," ujar Baba.

Wartawan yang disegani tersebut mempunyai lebih 65 tahun pengalaman dalam merekodkan perjalanan sejarah Watanoha.

Antara laporan yang pernah ditulis adalah mengenai pemilihan Miss Watanoha pertama pada tahun 1950 sebagai sebuah negara yang masih berperang, namun pada masa sama sudah menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

Selain itu, akhbar tersebut melaporkan tentang tsunami yang melanda di Lautan Pasifik pada tahun 1960 selepas satu gempa bumi kuat di Chile yang menghempas bandar itu.

Satu-satunya peristiwa besar yang tidak dilaporkan oleh Oshika Shimbun ialah pada tahun 2011 ketika tsunami menghanyutkan rumah Hiratsuka, kerja-kerja cetakannya dan 547 daripada 17,000 orang penduduk di bandar itu termasuklah kakak wartawan tersebut hanyut dibawa arus deras.

Hiratsuka masih tidak menerbitkan akhbarnya selama enam bulan ekoran krisis nuklear di loji kuasa Fukushima Daiichi. Bencana tersebut membunuh 18,500 nyawa di seluruh negara lalu memaksa orang ramai keluar dari bandar itu termasuklah wartawannya.

"Ramai orang bertanya kepada saya, bilakah saya akan mula menerbitkan akhbar. Saya terfikir, saya perlu lakukannya.

"Akhbar mempunyai nilai tersendiri untuk diteruskan. Saya seorang tokoh, saya tidak boleh berhenti," kata Hiratsuka. Enam bulan selepas dia meletakkan penanya, akhbar tersebut kembali bernyawa.

Tulisan tangan

Disebabkan faktor umur pengarang tersebut, akhbar itu telah diuruskan bersama oleh keluarganya. Hiratsuka menulis menggunakan tulisan tangan dan menantunya menaip artikel tersebut.

Isterinya yang berusia 74 tahun dan beberapa orang cucunya akan menghantar sendiri akhbar itu kepada pelanggan tempatan. Mereka yang telah berpindah akan menerima akhbar tersebut melalui pos.

Akhbar kekal sebagai bahagian penting dalam latar belakang media di Jepun. Negara matahari terbit mempunyai beberapa akhbar terlaris di dunia, termasuklah Yomiuri Shimbun yang mengeluarkan 13 juta salinan sehari.

Namun, golongan pembaca telah berkurangan seperti di negara-negara maju yang lain, kerana mereka berhijrah ke internet dan mengambil pengiklan bersama mereka. - AFP

Sumber: Kosmo

0 comments: