25 Jun 2014

Kisah Raeni Pelajar Terbaik Anak Penarik Beca


Raeni dihantar bapanya dengan menaiki beca pada hari konvokesyennya.

Seorang penarik beca mengalirkan air mata kegembiraan apabila melihat anak bongsunya muncul sebagai pelajar terbaik jurusan ekonomi di Universiti Negeri Semarang (Unnes), Jawa Tengah baru-baru ini.

Raeni yang dibesarkan oleh ayahnya, Mugiyono dalam keadaan serba kekurangan membuktikan kemiskinan bukan halangan untuk dia muncul sebagai pelajar terbaik dalam bidang tersebut.

Hati siapa yang tidak tersentuh dan mata siapa yang tidak akan mengalirkan air mata apabila melihat si bapa dengan penuh gagah dan bangga menghantar anaknya menghadiri majlis konvokesyen menaiki beca yang dikayuhnya.


Kedatangan dua beranak ini menarik perhatian ribuan pasang mata khususnya ibu bapa mahasiswa lain yang secara serentak berpaling ke arah mereka.

Anak gadis yang menjadi kebanggaan bapa ini telah menghadiahkan sebuah kejayaan yang tidak mungkin boleh bertukar ganti dengan wang, jauh sekali harta yang menimbun.

Mugiyono mungkin tidak semewah orang lain yang mampu memandu kenderaan mewah untuk menemani anaknya menerima ijazah selepas berhempas pulas menimba ilmu.

Yang dia ada hanyalah sebuah beca yang merupakan punca pendapatannya bagi membesar dan menyekolahkan Raeni, puteri bongsu daripada dua beradik yang kini menjadi kebanggaan keluarga.

Pada 10 Jun 2014, Raeni membuktikan kepada seluruh masyarakat bahawa kemiskinan bukanlah halangan untuk dia muncul sebagai mahasiswa terbaik di Universiti Negeri Semarang (Unnes) daripada kalangan 955 pelajar jurusan ekonomi.

Anak penarik beca ini ternyata memiliki keazaman yang tinggi dalam mengubah masa depan diri dan keluarganya sehingga berjaya memperoleh nilai gred kumulatif sebanyak 3.96 mata.

Raeni yang berusia 21 tahun dilahirkan pada 13 Januari 1993 dan dibesarkan oleh ayah dan ibunya, Sujamah di Kendal, Jawa Tengah.

Ayah Raeni mencari nafkah dengan mengayuh beca sebaik berhenti daripada bekerja di sebuah kilang kayu. Sebagai penarik beca, berapalah sangat pendapatan Mugiyono yang boleh dikutip dengan tenaga tua itu.

Ketika nasib menyebelahinya, sehari Mugiyono boleh membawa pulang Rupiah 50,000 (RM13), tetapi ada masanya dia hanya mendapat Rupiah 10,000 (RM2.72) sehari.

Pada setiap malam pula, Mugiyono melakukan kerja sambilan sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah dengan pendapatan sebanyak Rupiah 450,000 (RM122) sebulan.

“Saya terlalu bersyukur. Anak perempuan saya berjaya bergelar seorang mahasiswa. Terima kasih Tuhan. Kami orang miskin. Saya tidak pernah membayangkan kemampuan untuk menghantar anak-anak saya ke universiti. Hanya dia (Raeni) seorang dalam keluarga saya yang menjadi lulusan universiti," kata Mugiyono kepada wartawan selepas majlis konvokesyen anaknya.

Sebagai ayah, Mugiyono akan terus mendoakan yang terbaik buat anak bongsunya itu dan menjanjikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Raeni yang memilih untuk menjadi seorang pendidik.

“Sebagai orang tua saya hanya mampu memberi sokongan. Saya rela menyediakan wang pencen (dari pekerjaan kilang kayu) agar dapat membantu Raeni," kata Mugiyono, 55, yang mula mengayuh beca sejak 2010 lagi.


Mugiyono gembira anaknya Raeni muncul sebagai pelajar terbaik jurusan ekonom di Universiti Negeri Semarang (Unnes), Jawa Tengah

Sering berjemaah di masjid

Kisah Raeni menarik perhatian seluruh rakyat Indonesia kerana nasibnya tidak sebertuah teman-teman sebaya yang lain yang mungkin dilahirkan dalam ‘dulang emas’ tetapi apa yang diperolehnya tentu sekali ada pertalian dengan gaya hidup serta berkat doa dan restu ayah serta ibunya.

Peribadi Raeni amat dikagumi oleh teman-teman sekampus dan juga jiran tetangga kerana gadis berusia 21 tahun itu mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan masjid. Setiap kali mendengar azan berkumandang, Raeni akan langsung menuju ke masjid bagi menunaikan kewajipannya sebagai umat Islam.

Perkara ini diakui oleh tuan rumah yang disewa Raeni, Qayimah, 42, yang menyifatkan anak pengayuh beca itu memiliki peribadi yang sangat menawan.

“Dia (Raeni) rajin beribadah. Setiap kali azan berkumandang, dia akan berjalan menuju masjid. Raeni juga rajin mengaji al-Quran. Raeni memang punya bekalan agama yang kuat," ujar Qayimah.

Tidak sekadar alim dan memiliki pekerti yang mulia, Raeni bahkan juga seorang gadis yang dikenali sangat mudah bergaul dan mesra dengan teman-teman serta jiran-jirannya.

Bagi Tinah, pemilik warung makan di sekitar rumah sewa Raeni pula dia sangat mengagumi kecerdasan fikiran gadis itu.

“Kalau makan di sini (warung) dia tidak pernah makan ikan atau daging. Makannya selalu tauhu dan tempe. Tapi saya hairan, dia boleh jadi sebijak itu," kata Tinah.

Kejayaan yang berpihak kepada Raeni tidaklah datang bergolek kerana dia percaya pencapaian akademiknya yang membanggakan bertitik tolak pada minat dan kesungguhan yang ditunjukkannya.

“Saya mempunyai minat dan kesungguhan (dalam pelajaran). Ketika di sekolah menengah saya juga dinamakan sebagai pelajar terbaik. Apabila membuat permohonan biasiswa untuk menyambung pengajian di Universiti Negeri Semarang, saya diterima masuk," kata Raeni.

Pengajian Raeni di Unnes dalam jurusan pengajian ekonomi dibiayai sepenuhnya menggunakan wang biasiswa.

“Saya berharap dapat menyambung pengajian (peringkat sarjana) di United Kingdom. Bagaimanapun saya harus meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam peperiksaan TOEFL (Ujian Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Asing).

“Ketika ini jumlah markah TOEFL yang saya peroleh sekitar 477. Untuk menyambung pengajian ke luar negara saya perlu mendapatkan markah sekurang-kurangnya 555. Lalu, saya harus bekerja keras," kata Raeni sambil memberitahu hasratnya untuk bergelar seorang profesor satu hari nanti.

Pada masa depan, Raeni merancang untuk berkunjung ke negara Jepun bagi menghadiri program pertukaran pelajar antarabangsa.

“Saya juga sudah membuat permohonan untuk menjayakan program Indonesia Mengajar. Saya sudah lulus peperiksaan peringkat pertama dan jika diterima masuk, saya akan ditempatkan di kawasan pedalaman di Indonesia dan saya akan mendidik anak-anak bangsa," kata Raeni lagi.

Pernah mengajar di Malaysia

Kecemerlangan Raeni di universiti menyebabkan Raeni pernah mendapat peluang mengajar di sebuah sekolah di Malaysia bersama 14 teman lain dari Unnes.

Katanya, peluang yang diperoleh mengajar di Sekolah Agama Menengah Rawang, Selangor yang dibiayai sepenuhnya oleh universiti itu merupakan peluang yang sangat berharga dan membanggakan.

Anak bongsu daripada dua beradik itu mengakui, pengalaman singkat di Malaysia telah membuka matanya mengenai kepentingan mendalami ilmu pengetahuan.

“Dua bulan saya mengajar di Sekolah Agama Menengah Rawang. Saya sangat senang sekali berada di sana. Anak-anak yang saya didik di sekolah itu sangat menghormati mereka yang lebih tua. Mereka juga sangat rajin," kata Raeni menyambung perbualan.

Oleh:- SAHARUDIN MUSTHAFA
Sumber: Utusan

0 comments: