24 Jun 2014

Remaja OKU Ditemui Terbiar Kurus Kering Di Nilai



Operasi PATI temui remaja OKU dikurung, badan kurus kering

Operasi Imigresen memburu pendatang tanpa izin (Operasi Bersepadu Ops 6P) di sekitar Bandar Nilai membawa kepada penemuan seorang remaja lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) yang dikurung seorang diri dalam keadaan menyedihkan di sebuah rumah pada awal pagi 21 Jun 2014.

Remaja tempatan berumur 15 tahun itu bukan hanya kurus kering dan kecil seperti kanak-kanak, malah memakai baju reput, manakala persekitaran bilik rumah pangsa di Taman Semarak, dipenuhi tanah dan najis.

Operasi diketuai oleh Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman bersama 115 anggota Imigresen, 30 anggota RELA, empat Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan lima Jabatan Pendaftaran Negara, menyerbu kawasan rumah pangsa itu, kira-kira jam 2 pagi.


Faizal berkata, rumah itu diserbu kerana dikatakan didiami pendatang tanpa izin, tetapi apabila memasuki sebuah bilik, beliau menyangka menemui mayat, tetapi terperanjat apabila melihat seorang budak OKU yang bergerak.

Ketika serbuan pada pukul 2.30 pagi itu, tiada individu lain di dalam rumah berkenaan dan mangsa ditempatkan di dalam sebuah bilik tidak bertingkap di ruang tengah. Rumah itu mempunyai tiga bilik.

Semasa ditemui mangsa yang berketurunan Bajau dari Sabah memakai seluar dan baju T namun pakaian itu sudah mereput dipercayai akibat terlalu lama dibiarkan bercampur najis dan sisa air kencing.

Malah sebaik sahaja ditemui, remaja malang itu tidak sabar untuk keluar dari bilik dengan mengesot sedikit demi sedikit sampai keluar dari bilik tidak bertingkap itu.

Lebih menyedihkan dia cuba menyuarakan sesuatu tetapi yang kedengaran hanya bunyi ‘aaa, aaaa, aaa’ kerana dia sebenarnya tidak boleh bercakap.

Remaja itu kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk pemeriksaan. Ibu remaja itu yang kebetulan baru balik dari bekerja di Sepang ditahan untuk siasatan lanjut dan kes dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sumber: BHarian [21062014], Kosmo [22062014]

Keadaan remaja OKU dilaporkan tidak membimbangkan

Remaja lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) yang ditemui dikurung dalam keadaan menyedihkan di sebuah rumah pangsa di Taman Semarak, Nilai pagi ini, dilaporkan berada dalam keadaan tidak membimbangkan setelah mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS).
 
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Datuk Norhayati Omar berkata keadaan Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang ditempatkan di wad kanak-kanak hospital berkenaan sedang dipantau.
 
"Pemeriksaan doktor mendapati dia tidak mengalami demam, mahu pun batuk. Setakat ini, pihak hospital tidak tahu lagi sejarah perubatan remaja ini kerana kita tiada menyimpan rekod mengenainya," katanya.

Menurut Norhayati, hasil maklumat yang diperoleh melalui temubual pihak hospital dengan ibu remaja itu, mangsa mengalami komplikasi kekurangan oksigen semasa dilahirkan pada 21 April 1999.

"Selepas dilahirkan, ibunya tidak membuat rawatan susulan di HTJ dan tiada rekod perubatan ditemui setakat ini," ujarnya.
 
"Setakat ini, remaja itu akan dilindungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sementara laporan penuh daripada pihak hospital. Remaja itu berada di bawah pengawasan dan pemantauan JKM," katanya.

Siasatan terperinci sedang dijalankan dan sekiranya didapati pengabaian terhadap anak OKU ini berlaku, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menempatkan remaja tersebut di pusat perlindungan kendalian JKM

Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman, yang melawat remaja itu pada 22 Jun, 2014, berkata keadaan remaja itu lebih terurus.

"Rambutnya digunting hingga nipis, perut tidak lagi kempis kerana diberi makan dan lebih tenang. Doktor dan jururawat memberi rawatan dengan penuh kasih sayang. Remaja berkenaan juga memberi tindak balas apabila namanya dipanggil," katanya.

Pengarah Hospital Tuanku Jaafar, Datuk Dr. Jaafar Che Mat berkata, rawatan pemulihan termasuk fisioterapi dan traumatik dijalankan ke atas mangsa untuk menenangkan dirinya.

"Rawatan pemulihan dijangka mengambil masa selama sebulan atau boleh menjangkau sehingga tiga bulan bergantung kepada tahap penerimaan badan serta kesihatan remaja berkenaan," kata beliau.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan, Abdullah Hanafi memberitahu, pihaknya akan memohon mahkamah untuk mendapatkan perlindungan sementara ke atas remaja berkenaan.

"Permohonan akan dibuat di bawah Akta Kanak-kanak 2001 (Jagaan dan Perlindungan). Kita akan memohon perintah supaya remaja itu diletakkan di bawah jagaan JKM selama sebulan," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Supritendan Abdullah Roning mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu melakukan pengabaian.

"Polis masih menjalankan siasatan terperinci kes itu dan jika ada asas (siasatan), kita akan menahan ibu mangsa," katanya.

Sementara itu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengarahkan JKM melakukan siasatan terperinci berhubung kejadian pengabaian remaja kurang upaya itu. Menteri berkenaan Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata sekiranya benar terdapat unsur pengabaian, JKM akan menempatkan remaja itu di pusat perlindungan kendalian JKM.
 
"JKM juga akan memberikan perhatian serius terhadap kebajikan remaja tersebut. Siasatan awal JKM mendapati remaja lelaki berusia 15 tahun itu merupakan OKU 'celebral palsy'," katanya.
 
"Dia dan ibunya berasal dari Sabah. Ibu bapanya telah bercerai dan ibu yang menjaganya telah putus hubungan dengan bekas suami. Bagaimanapun ibu remaja berkenaan menafikan anaknya dikurung dan diabaikan," katanya.

Sumber: Sinar Harian [21062014], BHarian [22042014], Utusan [22042014], Kosmo [23062014]

Firdaus cuma diberi makanan lembut, bubur

Usaha memulihkan remaja terabai, Muhammad Firdaus Dullah yang ditemui dalam keadaan kurus kering akan membabitkan proses menambah lemak dan protein untuk menambah berat badannya.

Bagi tujuan itu, doktor dan jururawat Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) memberi perhatian khusus kepada remaja kurang upaya yang ketika dimasukkan ke hospital hanya seberat 15 kilogram.

Pengarah HTJS, Datuk Dr Jaafar Che Mat, berkata ini kerana berat Firdaus terlalu ringan untuk remaja berusia 15 tahun, dipercayai akibat pemakanan tidak sempurna bagi suatu tempoh lama yang menyebabkannya perlu menjalani pemulihan rapi.

“Bukan setakat doktor dan jururawat, pakar pemakanan akan memastikan berat badannya ditambah melalui pemakanan protein dan lemak. Proses penambahan berat badan dilakukan secara perlahan dengan memberi makanan lembut seperti bubur untuk mengelakkan dia muntah,” katanya

Sumber: BHarian [24062014]


Gambar lama yang menunjukkan Muhammad Firdaus menjalani rawatan tradisional menggunakan pasir laut. (Gambar: Utusan)

Pengasuh sebak ziarah remaja OKU

Ketika wajah Muhammad Firdaus Dullah muncul di televisyen dalam satu operasi Jabatan Imigresen di Nilai, Norfitri Radius dan keluarganya menangis melihat keadaan remaja itu.

Terlalu sukar untuk mempercayai remaja yang pernah diasuhnya selama lapan tahun kini terabai sebegitu rupa.

Norfitri, 42, yang menetap di Gemencheh berkata, selepas mendapat tahu Firdaus dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), dia terus bergegas ke hospital itu.

"Ketika melihat dalam televisyen, kami sekeluarga menangis. Anak saya turut menangis. Anak juga bertanya kenapa tidak bawa sahaja abang (Muhammad Firdaus) pulang dan boleh kita jaga dia.

"Saya kemudian menelefon ibunya yang pada ketika itu telah ditahan oleh pihak polis untuk bertanyakan perkara sebenar dan mengapa Firdaus ditinggalkan dan terabai sedemikian rupa.

"Dia (ibu) sebenarnya ada masalah kesihatan tetapi macam mana pun, dia tidak pernah pukul anaknya. Saya dan ibunya macam adik beradik sentiasa berkongsi cerita dan masalah," katanya.

Tambah Norfitri yang bekerja sebagai pelayan gerai, jika diberi peluang oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dia bersedia untuk menjaga remaja itu kerana sudah menganggapnya sebagai anak kandung sendiri.

"Saya berhenti menjaganya kerana mengikut suami berpindah ke Gemencheh," tambahnya.

Norfitri memberitahu, kali terakhir dia menghubungi ibu kanak-kanak itu dua minggu lalu dan sempat bertanyakan khabar tentang Muhammad Firdaus.

Jelasnya, sepanjang dia menjaga mangsa, tubuh remaja OKU itu sihat serta berisi dan pernah satu ketika, mereka bersama ibu Muhammad Firdaus ke pantai untuk tujuan rawatan tradisional sehingga dia boleh berjalan sedikit.

"Saya tahu dia mempunyai masalah kewangan. Kami pernah berbincang untuk mendapatkan bantuan JKM, tetapi saya tidak tahulah setakat mana dia memohon," katanya.

Kata Norfitri, turut dikesalkan ialah bapa Muhammad Firdaus seperti tidak mengambil peduli tentang anaknya itu.

Bagaimanapun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, mengesahkan bapa remaja OKU, Muhammad Firdaus, iaitu Dullah Sibil, sudah meninggal dunia ketika berumur 51 tahun di Sabah pada 22 Januari 2012.

Sumber: Utusan [23062014], BHarian [24062014]

Latar Belakang Keluarga Firdaus

Menurut sumber, ibu Firdaus, Lolanopita, 40, berasal dari Kota Kinabalu, Sabah dan berkahwin dengan seorang lelaki berketurunan Bajau dari negeri sama iaitu Dullah Sibil, 53, pada tahun 1995.

Merantau jauh ke Semenanjung dan meneruskan kehidupan sebagai suami isteri serta dikurniakan seorang cahaya mata istimewa iaitu Firdaus, tetapi jodoh mereka tidak panjang.

Selepas berpisah sejak 14 tahun lalu, difahamkan Dullah meninggal dunia pada 22 Januari 2012.

Berdasarkan sumber, Lolanopita kemudian berkahwin dengan lelaki yang kini berusia 46, di Thailand pada 2006 tetapi kes pendaftaran perkahwinan di Malaysia belum selesai. Difahamkan Lola isteri kedua. Mereka sudah dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia tujuh tahun.

Meneruskan kelangsungan hidup, Lola bekerja di Brahim’s Airline Catering sebagai pekerja penyajian sejak 10 tahun lalu dengan anggaran pendapatan RM1,500 hingga RM2,000 termasuk elaun.

Ia dianggap cukup untuk menyara dua anaknya. Namun berdasarkan kenyataan Lola sebelum ini, dia seolah-olah tertekan dengan kesempitan hidup dan kecewa apabila ramai menuduhnya tidak tahu jaga anak.

Sumber: Sinar Harian [25062014]

Ibu dakwa tak tahu prosedur

Ibu kepada remaja orang kurang upaya (OKU) yang ditemui dalam keadaan menyedihkan di Taman Semarak, Nilai, mendakwa tidak tahu bagaimana cara meminta bantuan agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Wanita berusia 40 tahun yang meminta identitinya itu dirahsiakan berkata, dia sudah lama berhasrat menghantar anaknya itu ke institusi kebajikan di bawah JKM tetapi tidak faham bagaimana prosesnya, menyebabkan niat itu tertangguh, selain kekangan kesusahan hidup.

“Namun, saya sudah buat keputusan untuk menyerahkan dia kepada jagaan JKM. Tindakan ini bukan kerana saya tidak sayangkan anak tetapi menganggap itu adalah pilihan terbaik untuk masa depannya.

“Saya bukan saja tidak mampu dari segi kewangan, malah dari segi masa kerana bekerja mengikut giliran yang tidak menentu,” katanya yang berasal dari Tawau, Sabah.

Wanita itu yang bekerja di sebuah syarikat katering di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berkata, jadual kerjanya ialah antara jam 8 pagi hingga 4 petang dan 4 petang hingga 12 tengah malam setiap hari dan kadang-kadang mengambil kerja lebih masa.

Ditanya mengenai keadaan bilik anak yang kotor, katanya sebelum pergi bekerja, dia meninggalkan makanan tetapi anaknya bukan saja tidak pandai makan, malah menaburkan makanan hingga bersepah.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Rohani Abdul Karim menjelaskan, pihak JKM kini giat menjalankan proses dokumentasi remaja berkenaan bagi membolehkan dia mendapat semua kemudahan dan diberikan haknya sebagai OKU.

Ujarnya, setakat ini pihaknya hanya mempunyai sijil kelahiran remaja itu namun dia tidak mempunyai kad pengenalan dan kad OKU.

Sumber: BHarian [22062014], Utusan [24062014]

Rujuk kepada JKM jika hadapi masalah jaga anak OKU

Ibu bapa yang tidak mampu menjaga anak-anak Orang Kurang Upaya (OKU) disaran merujuk masalah mereka kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daripada menganiayai anak-anak istimewa itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata walaupun sering kali menekankan penglibatan JKM adalah cara terakhir untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi, namun jika tiada penyelesaian pihaknya tidak menolak untuk mengambil alih tanggungjawab itu.

Katanya, kementerian beliau menyediakan pelbagai jenis saluran bantuan untuk semua golongan termasuk OKU.

"Walaupun JKM berpendirian tindakan menghantar golongan OKU ke institusi yang disediakan merupakan pilihan terakhir, jika ada ahli keluarga yang tidak mampu menjalankan tanggungjawab tersebut, kita bersedia untuk menerima dan membantu mereka.

"Bagi saya daripada mereka mendera, membiarkan tanpa arah, serta mengabaikan anak-anak istimewa yang seharusnya dibantu itu, kalau betul-betul ibu bapa tidak mampu lagi sila serahkan kepada kami, Insya-Allah kita akan meletakkan anak-anak OKU ini di dalam institusi kementerian untuk kita pulihkan," katanya.

Bagaimanapun, Rohani berkata jika ibu bapa anak-anak OKU ingin terus menjaga anak-anak istimewa itu biarpun menghadapi masalah, pihaknya masih mampu menyalurkan bantuan menerusi Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

"Apabila golongan berkenaan dihantar ke institusi kerajaan, kita akan berusaha membantu menjaga mereka dengan sebaik mungkin misalnya Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang diwujudkan khusus untuk membimbing pelatih OKU hidup berdikari," katanya

"Ada 488 buah PDK di seluruh negara ketika ini. Seperti yang saya sebut tadi, penglibatan JKM adalah jalan terakhir kerana kita hendak semua OKU ini tidak dipisahkan daripada keluarga dan pemulihan boleh dilakukan di dalam komuniti menerusi PDK itu sendiri," katanya.

Rohani berkata PDK ini diwujudkan sebagai program alternatif kepada perkhidmatan pemulihan di institusi.

"PDK merupakan satu kaedah dalam pembangunan komuniti untuk OKU menjalani pemulihan dalam keluarga dan masyarakat sendiri di mana memberi peluang kepada OKU menjalani pemulihan, mengecapi peluang sama rata dan berinteraksi dengan masyarakat," katanya.

Sumber: BHarian [22062014], Utusan [23062014]

Hukuman berat jika abai anak hingga boleh bawa kematian

Perbuatan mengabaikan anak sehingga boleh membawa kematian adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dikenakan hukuman berat.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual/Keganasan Rumahtangga/ Penderaan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Hamidah Yunus berkata ibu bapa yang mengabaikan anak mereka boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

"Mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001, terkandung kesalahan iaitu penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau penderaan kanak-kanak.

"Jika telah cukup bukti hasil keterangan semua pihak bahawa wujudnya salah satu elemen itu di mahkamah, tindakan akan diambil terhadap ibu bapa terbabit," katanya.

Beliau berkata banyak ibu bapa menganggap perbuatan mengabaikan anak-anak mereka bukan urusan orang lain sehingga boleh diperlakukan sesuka hati.

"Tanggapan itu ternyata meleset sama sekali...kita ada undang-undang bagi melindungi kanak-kanak, ibu bapa jangan ingat mereka terlepas," katanya.

Mengulas kes remaja Orang Kurang Upaya (OKU) Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang dijumpai dalam keadaan terabai di Flat Taman Semarak, Nilai, Sabtu lepas, Hamidah berkata perbuatan ibunya telah menyebabkan penderitaan, masalah kesihatan sehingga boleh membawa kematian kepada remaja itu.

"Walaupun disahkan bahawa ibunya tidak mendera secara fizikal ke atas anaknya seperti memukul dan sebagainya, namun penderaan dari segi emosi telah berlaku.

"Ini kerana ibunya tidak menyediakan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal yang sempurna kepadanya sehingga membawa kepada pengabaian,"katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya masih menahan reman ibu remaja terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001, dan siasatan menjurus kepada punca sebenar mengapa kanak-kanak itu diabaikan dan ditinggalkan seorang diri di flat berkenaan.

Sementara itu, Pakar Psikologi Kaunseling Fakulti Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Prof Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan lebih tegas agar kes melibatkan pengabaian, penganiayaan, penderaan atau penyeksaan terhadap kanak-kanak dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Katanya terdapat ibu bapa ketika ini seolah-olah tidak peka akan empat perkara asas yang seharusnya diberikan kepada anak-anak iaitu menjaga, memelihara, melindungi dan memberi sokongan dalam proses perkembangan anak-anak mereka.

Beliau berkata nilai kemanusiaan semakin terhakis sehingga ada kalanya ibu bapa sanggup mengabaikan dan menyeksa anak-anak daripada memberi suasana perkembangan hidup yang positif.

Mengulas tentang ibu bapa yang mempunyai anak OKU, beliau berkata ibu bapa berkenaan seharusnya tidak perlu merasa takut atau bimbang kerana terdapat banyak saluran yang boleh memberikan bantuan sama ada melalui agensi kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO).

"Ibu bapa harus sedar bahawa anak adalah amanah dan anugerah Tuhan. Suka atau tidak anak-anak perlu dijaga dengan baik apatah lagi jika mereka OKU... Jangan menganggap anak itu menyusahkan, sebaliknya ibu bapa mesti sanggup menjaga mereka dengan penuh kasih sayang," katanya.

Keluarga terdekat, jiran dan komuniti juga seharusnya bertanggungjawab dan peka dalam memastikan perkembangan kehidupan seharian kanak-kanak terjamin, kata Mohamed Fadzil. - BERNAMA

Sumber: BHarian [23062014]

Catatan:
Atas faktor menghormati dan menjaga maruah adik Mohd Firdaus sesuai dengan peraturan yang terkandung dalam Akta Kanak-Kanak (Seksyen 15), maka gambar adik Firdaus dalam keadaan tertentu tidak dapat disiarkan di dalam artikel ini.

0 comments: