19 Jun 2014

Rahsia Label UPC Nike

Label UPC memaparkan nombor ID perlu sama iaitu pada pelekat di plastik dan tag di baju.
Label UPC memaparkan nombor ID perlu sama iaitu pada pelekat di plastik dan tag di baju.

KEGILAAN peminat bola sepak menjelang Piala Dunia 2014 di Brazil menjadikan ia seperti pesta. Pelbagai keluaran jersi, jenis dan rekaan menyebabkan golongan peminatnya sanggup menghabiskan wang ringgit untuk mendapatkan jersi pilihan mereka.

Dek permintaan tinggi, muncullah ‘lanun’ yang mencari rezeki jalan mudah sempena Piala Dunia. Dengan mendapatkan jersi tiruan daripada pengeluar luar negara dengan harga lebih rendah, ini menjadikan perniagaan yang menguntungkan.

Sedar atau tidak, ia salah di sisi undang-undang kerana menciplak dan menjual hak orang lain tanpa izin. Oleh itu, pemilik jenama original berjenama meningkatkan kawalan keselamatan bagi jersi keluaran mereka dengan mengenal pasti pakaian atau jersi yang dihasilkan mereka adalah yang original.


Ini bagi mengelakkan produk original penghasilan seperti Nike, Adidas dan Puma tidak mudah diciplak. Satu daripada teknik yang digunakan adalah label universal product code (UPC) dan identification (ID) number.

UPC label untuk Nike

Wakil dari Nike berkata, label UPC digunakan pada setiap jersi keluaran pihak Nike, bagi memastikan jersi ini original dari syarikat pengeluar sebenar.

Menurutnya, label UPC mempunyai kod bar dan nombor ID di dua bahagian apabila pembeli membeli setiap helaian jersi Nike.

“Pertama di plastik. Kita dapat lihat label UPC ini ditampal pada plastik pembungkusan jersi ini dan di tag yang terdapat di kolar jersi berkenaan,” katanya.

Beliau menambah, label UPC pula terdapat ID yang boleh didapati di tiga lokasi bagi setiap pembelian helaian jersi iaitu pertama di label pada plastik, kedua di tag dan wash tag.

“Wash tag ialah tag yang terdapat di bahagian bawah tepi jersi. Setiap keluaran adalah mempunyai UPC dan ID yang tidak sama.

“Ini tidak sama bagi jersi tiruan, mereka menggunakan UPC dan ID yang sama pada setiap jersi yang dikeluarkan. Di situ pihaknya sudah boleh mengenal pasti jersi tersebut adalah tiruan,” katanya.

“Oleh itu bila kita beli jersi tiruan ini, pertama sekali perlu dilihat pada label UPC. Ia adalah satu cara paling mudah untuk mengenal pasti sama ada jersi itu tiruan ataupun original.

“Kita juga boleh mengenal pasti 32 bahasa pada plastik jersi Nike yang dibeli. Itu satu cara pengecaman awal bagi mengenal pasti jersi itu original atau tidak,” katanya.

Katanya lagi, apa yang beliau jelaskan ini adalah untuk jersi keluaran Nike sahaja.

Sementara itu, wakil dari Kelantan FA (Kafa) mengulas berkenaan jersi keluaran pasukan tersebut iaitu Warriors.

Menurutnya, jersi Red Warriors untuk kanak-kanak original menggunakan saiz nombor seperti 32 dan 33. Manakala bagi jersi tiruan pula menggunakan huruf pada saiznya seperti  S, M dan L.

“Di situ kita boleh kenal pasti sama ada jersi tersebut tiruan atau bukan,” katanya.

Beliau berkata, logo tertera pada jersi juga menggunakan kondisi getah yang dicampur dengan PVC untuk yang original. Ia berbeza dengan yang tiruan yang hanya menggunakan kondisi getah sahaja.

Katanya lagi, malah kondisi logo tiruan ini lebih mudah rosak. Namun untuk melihat dengan mata kasar ia agak sukar kerana ia perlu dirasa dengan jari.

“Selain itu, banyak aspek yang boleh dikenal pasti seperti bintang pada jersi berkenaan. Bintang yang original saiznya agak besar sedikit berbanding yang tiruan,” katanya.

Berdasarkan sumber dan risikan Sinar Harian terhadap seorang pemborong jersi dari Kuala Lumpur, cara pemerolehan jersi tersebut memerlukan sedikit masa.

Modus operandi

1. Jersi yang sudah ditempah dari luar akan mengambil masa kira-kira satu minggu.
2. Kemudian, barang tersebut akan diposkan kepada pemborong. Masa yang diambil kira-kira dua minggu menggunakan penghantaran melalui jalan laut (kapal kargo).

3. Setelah sampai di pelabuhan, ia mengambil masa lingkungan satu minggu bagi proses melibatkan cukai dan lain-lain.
4. Maknanya keseluruhan tempoh masa yang diperlukan dianggarkan adalah satu bulan.

5. Barang yang dihantar kepada pemborong akan ditetapkan sendiri oleh pemborong. Lokasi ini tidak tentu bagi mengelakkan pengecaman lokasi atau stor sebenar. Ada juga pemborong mengarahkan untuk menghantar barang tersebut di tepi lebuh raya (bukan lokasi sebenar).
6. Setelah itu, pemborong atau pekerjanya akan membawa sendiri ke lokasi atau stor sebenar mereka.

Tindakan undang-undang:

Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011

1. Untuk kesalahan pertama kali.

1.1 Individu – Denda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali
1.2 Syarikat atau perbadanan – Denda tidak lebih RM15,000 bagi setiap barangan.

2. Untuk kesalahan kali kedua.

2.1 Individu – Denda tidak lebih RM20,000 bagi setiap barangan atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
2.2 Syarikat atau perbadanan – Denda tidak lebih RM30,000 bagi setiap barangan.

Oleh: MUHAMMAD AFHAM RAMLI
Sumer: Sinar Harian

0 comments: