07 Julai 2014

Al-Fatihah Buat Datuk Sharifah Aini [1953 - 2014]

Sharifah Aini

Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Pah meninggal dunia awal pagi 5 Julai, 2014 di di Pusat Perubatan Pakar Damansara kerana jangkitan paru-paru.

Allahyarham yang menyambut hari jadi ke-61 pada Rabu 2 Julai, 2014 meninggal kira-kira pukul 1.26 pagi. Allahyarham dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pusat Perubatan Pakar Damansara sejak Selasa 1 Julai, 2014 setelah menghadapi kesukaran bernafas.

Allahyarhamah menghidap fibrosis paru-paru sejak dua tahun lalu dan kira-kira lima bulan lalu pernah dijangkiti virus Influenza A (H1N1). Anak tunggal beliau, Aliff Omar berada di sisi ibunya sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.

Jenazah Allahyarhamah disembahyangkan di Masjid Al Taqwa Taman Tun Dr Ismail kira-kira jam 11.30 pagi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara Kuala Lumpur selepas solat Zohor.


Penyanyi yang terkenal dengan lagu Terbang Helang dan Seri Dewi Malam itu dibawa ke hospital untuk menerima rawatan oleh anak lelaki tunggalnya, Omar Ali selepas mengalami masalah penafasan.

Dilahirkan pada 2 Julai 1953, Sharifah Aini memulakan kerjaya nyanyian selepas menjuarai Bintang RTS di Singapura pada tahun 1968, membawakan lagu Tiga Malam.

Allahyarham seterusnya dilamar syarikat rakaman EMI pada tahun 1969 dan merakamkan album pertama, Seri Dewi Malam yang mendapat sambutan hebat. Pernah menghasilkan hampir 100 album, termasuk tujuh album bahasa Inggeris. anak didik Datuk Ahmad Nawab itu menjadi anak seni pertama yang menerima gelaran superstar.

Sumbangan besarnya terhadap industri hiburan negara dihargai apabila menerima Pingat Panglima Jasa Negara yang membawa gelaran Datuk oleh Yang Di Pertuan-Agong, Sultan Syed Sirajjudin Putra Jamalullail pada tahun 2003.

Hasil perkahwinannya dengan Ali Bakar pada tahun 1981, arwah dikurniakan seorang anak lelaki . Perkahwinan mereka hanya bertahan setahun dan Sharifah mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan seoran ahli korporat bergelar Datuk tetapi bercerai pada tahun 1992.

“Saya sangat menghargai segala kasih sayang, ingatan, doa dan budi baik yang anda curahkan kepada saya selama ini. Doakan kesejahteraan saya, sedekahkan al-Fatihah, ingatlah saya dalam setiap doa anda... Insya-Allah kita semua akan menjadi keluarga semula di jannah”.

Itu antara coretan dimuat naik oleh Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar, 61, menerusi laman Facebook (FB) miliknya pada 21 Mei 2014, seperti membayangkan detik akhir perjalanan hidupnya, seakan mengerti masa untuknya dijemput Ilahi semakin menghampiri.

Ketika itu, kesihatannya tambah merosot kerana sejak enam bulan sebelum itu, sentiasa berulang-alik ke hospital setiap dua minggu untuk pemeriksaan. Dalam temubual telefon pada 10 Mei lalu, arwah mengakui kesihatannya makin tidak menentu, malah reda andai Allah menjemputnya.

Sumber: KosmoSinar Harian, BHarian [05072014], BHarian [06072014]


Anak Biduanita Negara Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar, Aliff Omar mengimamkan solat jenazah ibunya di Masjid Al-Taqwa Taman Tun Dr. Ismail.

Aliff Omar Mohon Iringan Doa Peminat Ibunya

Sementara itu, tiada permintaan yang lebih penting buat Aliff Omar, 33, iaitu agar semua orang yang mengenali Allahyarham Sharifah Aini memaafkan segala salah silap ibunya itu selepas kematiannya.

Menurut anak tunggal penyanyi yang popular dengan lagu Bunga Tanjung itu. dia reda dengan pemergian ibunya yang meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru pada usia 61 tahun sambil pada masa sama meminta semua pihak agar mendoakannya tabah dalam menerima ujian.

Malah, dia menyedari sebagai penyanyi terkenal, arwah ibunya itu tentunya mempunyai ramai kenalan termasuklah jutaan peminat di Malaysia, Singapura dan Brunei yang pernah berurusan dalam pelbagai urusan sewaktu hayatnya.

"Terima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat tentang diri ibu saya selama ini. Saya berharap agar anda semua dapat mendoakan yang terbaik untuk arwah ibu saya. Saya minta anda semua halalkan segala salah silap ibu saya sewaktu hayatnya.

"Saya juga memohon agar anda semua mendoakan saya dan ahli-ahli keluarga agar kami tabah dengan kehilangan ini," katanya.

Jenazah Sharifah Aini atau nama penuhnya Sharifah Aini Syed Jaafar disembahyangkan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail di sini sebanyak tiga kali dengan salah satunya diimamkan oleh Aliff sendiri.

Allahyarham yang dilahirkan pada 2 Julai 1953 di Johor Bahru memulakan kerjayanya sebagai penyanyi selepas memenangi tempat pertama pertandingan Bintang RTS 1968 dengan mendendangkan lagu berjudul Tiga Malam dan kemudian menjadi penyanyi syarikat rakaman EMI.

Beliau adalah penyanyi kedua yang digelar Biduanita Negara selepas Saloma selain menjadi satu-satunya penyanyi tanah air paling lama kekal dengan satu syarikat rakaman iaitu selama lebih 40 tahun dengan nama telah diabadikan dalam Malaysia Book of Records.

Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN, AZIZ ITTAR dan GARRET DAWUM
Sumber: Utusan

Perginya seniwati sejati

Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar sudah tiada lagi di dunia ini. Yang ditinggalkan untuk kita kenang hanyalah karya-karya seni yang bersifat malar segar.

Didengar beribu kali sekalipun, lagu-lagu nyanyiannya tidak pernah menjemukan. Seri Dewi Malam, Bunga Tanjung, Terbang Helang dan beribu lagu lain semuanya hebat-hebat belaka.

Sharifah Aini adalah satu antara bintang yang telah membahagiakan jutaan peminat melalui suara yang Allah pinjamkan kepada beliau selama lebih empat dekad bergelar anak seni.

Kembali mengenang seniwati handalan tanah air itu, banyak hal mengenai keperibadian Sharifah Aini yang mungkin tiada pada orang lain.

Biduanita Negara itu sememangnya seorang seniwati sejati. Suaranya sentiasa 'hidup' sepanjang masa sekalipun beliau sudah tiada lagi di dunia ini.

Ketika hayatnya, Sharifah Aini yang berasal dari Johor Bahru pernah memberitahu, beliau sememangnya dilahirkan untuk menjadi seorang artis dan keinginan itu berjaya diperoleh hasil daripada kegemarannya suka berkhayal dan diiringi kerja keras.

"Saya memang dilahirkan untuk menjadi artis. Saya suka berkhayal, suka bercita-cita tinggi, mempunyai fantasi, berangan-angan menjadi seorang ternama. Saya kerja keras beberapa hari sebelum mengadakan persembahan.

"Saya akan berlatih sampai pukul empat pagi. Semuanya kerana saya sayang dan cintakan kerjaya saya," akui penyanyi berdarah kacukan Arab itu.

Pengakuan tersebut dibuat penyanyi tersohor tanah air itu dalam satu wawancara eksklusif kepada penulis dan Penolong Pengarang Mingguan Malaysia pada tahun 1999. Wawancara itu diadakan sempena ulang tahun ke-30 penglibatan beliau dalam arena seni tanah air dan disiarkan satu muka penuh dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 1 Ogos 1999.

Dalam pertemuan itu, Sharifah Aini mengakui, beliau merupakan seorang wanita yang sangat mementingkan kecantikan dan sering memikirkan apa yang akan terjadi pada dirinya pada masa depan. Beliau mahu melalui hari-hari tua dengan kecantikan serta yang paling utama melalui masa depan dengan penuh keimanan.

"Saya mahu meniti usia dengan kecantikan. Jika usia saya 60 tahun, saya mahu orang lihat saya seperti 40 tahun. Saya mahu tua yang cantik, tua yang beriman dan segala-galanya," kata Sharifah Aini.

Dalam wawancara itu, Sharifah Aini menjelaskan, kemampuannya bertahan selama lebih tiga dekad di persada seni tanah air adalah kerana beliau komited melakukan kerja yang disukainya itu.

Pada masa sama, beliau mengingatkan, golongan artis seharusnya mempunyai fantasi, khayalan serta cita-cita untuk mencapai keinginan mereka yang lebih tinggi pada masa hadapan.

"Saya juga mesti rajin bermimpi kerana mimpi selalunya memberikan saya tenaga untuk bekerja keras," ujar Sharifah Aini lagi.

Upah menyanyi 10 cucuk sate

Di sebalik keghairahan sebilangan besar masyarakat melihat Sharifah Aini memiliki kesempurnaan sebagai seorang bintang pujaan lengkap dengan pakej kemewahan, kejelitaan dan kemasyhuran, mungkin ada yang terlupa untuk mengambil tahu permulaan kerjaya seni beliau tidaklah segah yang dilihat di majalah atau televisyen.

Hakikatnya, untuk berada di kedudukan sebagai Artis Gred A, Sharifah Aini terpaksa melalui kesulitan yang mungkin jauh daripada gambaran akal fikiran kita.

Pada peringkat awal Sharifah Aini menceburi bidang muzik, upah menyanyi yang diterima beliau bukannya wang tetapi dibayar dengan hidangan 10 cucuk sate.

Kalau ada sekalipun, katanya, bayaran yang diterima cuma antara RM30 hingga RM40 ketika mengadakan persembahan dengan Allahyarham Datuk Aziz Satar.

"Malah sehingga tahun 1975 dan 1976 saya masih dapat RM200 hingga RM300 untuk satu pertunjukan," cerita beliau tanpa berselindung.

Begitu juga dengan imej dan peribadi Sharifah Aini pada zaman kegemilangannya jauh berbeza dengan sejarah 45 tahun lalu.

Mengenali biduanita itu, beliau seorang yang terbuka dan gemar bercerita dengan jujur perihal perjalanan seninya. Itu termasuk imejnya pada tahun-tahun 1960-an yang disifatkan Allahyarham sebagai tidak cantik.

"Saya seperti budak hitam. Saya kurus kering. Tetapi apabila saya semakin berumur, saya sudah pandai menghias diri, saya pergi ke sekolah menghias diri, saya pergi kelas public speaking, ini semua dibuat supaya saya mendapat keyakinan.

"Saya pergi ke kelas di Universiti Malaya tiap-tiap malam untuk membaiki bahasa Inggeris saya. Saya lihat kecantikan dengan cara lain. Saya lihat lebih dalam. Sedangkan benda yang tidak cantik kita boleh cantikkan - tetapi tentulah ia melibatkan masa dan wang.

"Dulu mana ada artis masuk TV, orang taja pakaian. Dulu mana ada orang mekap artis, cantik tak cantik kita mekap sendiri," ujar Sharifah Aini.

Artis bukan teman rapat

Sebagai orang ternama dan berpengaruh, seandainya beliau mempunyai masalah, dengan siapa beliau berkongsi perasaan dan kegusaran?

Sudah tentu terlintas difikiran anda bahawa Sharifah Aini akan berkongsi hal itu dengan rakan-rakan artis kerana lazimnya mereka yang sealiran akan lebih mudah memahami masalah yang dihadapi teman seperjuangan.

Namun, telahan tersebut nyata meleset kerana Allahyarham Sharifah Aini tidak pernah mempunyai hubungan rapat dengan rakan-rakan artis kerana beliau mahu mengekalkan persahabatan profesional.

Persahabatan dengan teman-teman artis baginya memadai semasa mengadakan persembahan atau menjayakan program televisyen.

"Selepas habis kerja, tidak lagi. Kalau ada dulu pun saya hanya baik dengan Allahyarham Sudirman. Lepas itu tak ada lagi. Saya ada alasan saya sendiri mengapa saya berbuat demikian. Saya rasa agak berbahaya bila baik dengan artis.

"Kadang-kadang antara kita sesama artis ada rahsia tersendiri. Artis juga mempunyai hubungan baik dengan pihak media. Jadi saya takut kadang-kadang tanpa disedari rahsia itu terkeluar dan ia akan memakan diri kita sendiri. Itu yang saya tak mahu.

"Sahabat-sahabat saya ramai, ada profesor universiti, doktor, peguam dan editor surat khabar. Mereka ini bukan sahabat baru saya. Kami sama-sama membesar dan sudah mengenali hati budi masing-masing. Saya boleh percaya mereka. Saya boleh pertaruhkan masa depan saya dalam tapak tangan mereka. Itulah yang boleh saya katakan," terang beliau lagi.

Kemusnahan rumah tangga

Dalam wawancara panjang lebar itu, Allahyarham Sharifah Aini juga membuat pendedahan mengenai kemusnahan rumah tangganya yang dibina sebanyak dua kali.

Sebagai umat Islam, Sharifah Aini menerima ketentuan takdir bahawa tuah tidak menyebelahinya dalam perkahwinan berbanding kejayaannya sebagai seorang penghibur masyarakat.

Kata Sharifah Aini, kegagalan dua perkahwinannya - pertama dengan Ali Bakar dan yang kedua ialah dengan seorang lelaki yang beliau tidak mahu umum mengetahui namanya atas sebab tersendiri.

Katanya, perkahwinan pertama gagal kerana ia tidak direstui keluarga.

"Keruntuhan perkahwinan kedua ialah kerana saya terlalu beralah dan ini sebenarnya kesilapan saya. Sebab saya terlalu sayangkan dia, saya tidak mahu menimbulkan sebarang masalah pada dirinya. Saya tidak menuntut," jelas beliau.

"Selepas lima tahun berkahwin baru saya mendapat tahu bahawa saya bukan isteri kedua. Sebenarnya saya isteri yang ketiga," katanya.

Penyanyi itu menceritakan: "Saya tidak kisah tidak dapat keluar dengan suami saya, suami saya tidak pernah bersama menyaksikan saya menyanyi, saya tidak ambil kisah dia balik ke rumah atau tidak. Saya fikir perkahwinan kedua itu berakhir kerana kegagalan saya menegakkan hak saya sebagai isteri."

Sumber: Kosmo

Pulangnya biduanita sepanjang zaman

Anak kepada pasangan Syed Jaafar Syed Sahil dan Sharifah Noor Syed Ahmad Al-Attas ini dilahirkan di Nee Soon, Singapura pada 2 Julai 1953. Namun sejak usia lapan bulan lagi, Sharifah dijaga serta dibesarkan oleh neneknya, Tengku Wan Mariam Tengku Wan Tahir serta datuknya, Syed Sahil Syed Ali Al-Jufry, di Majidee, Johor Bahru.

Dengan pendapatan daripada hasil memandu teksi, kehidupan mereka sekeluarga cukup sederhana sehinggalah Sharifah Aini sewaktu kecil pernah mengambil upah menggiling cili dan menjual buah nangka serta kuih muih tradisi Johor lainnya. Nasibnya mula berubah, selepas menjuarai pertandingan Bintang RTS 1968 di Singapura dengan lagu Tiga Malam.

Namanya kemudian gemilang sekali apabila berkolaborasi dengan seniman Datuk Ahmad Nawab yang mencipta lagu-lagu popular untuknya seperti Seri Dewi Malam (EP 1970), Aku Kekasih Pujaan (EP 1970) dan Aku Dan Dia (EP 1971).

Beliau kemudian disunting menjadi artis rakaman EMI dan terus bertahan dengan syarikat itu selama 38 tahun. Hasilnya, nama Sharifah Aini hari ini terukir dalam The Malaysia Book of Records sebagai penyanyi paling lama dengan sesebuah syarikat rakaman dan memiliki 135 album. Pada 2006, beliau dianugerahkan dengan gelaran Biduanita Negara.

Banyaknya lagu popular beliau menjadikan Sharifah Aini muncul sebagai artis pertama negara yang digelar ‘superstar’. Antara lagu popular lain beliau ialah Hapuslah Airmatamu, Seiring Dan Sejalan (duet bersama Broery Marantika), Terbang Helang, Bunga Tanjung, Jalak Lenteng, Seribu Mawar, Kau Tinggi Di Awan Biru, Hiburkanlah Hatiku, Kau Pergi Tanpa Pesan dan Kau Racun Hidupku.

Di sebalik pentas yang gemerlapan, Sharifah Aini juga mengisi hidup dengan membuat amal kebajikan. Dia telah menjayakan hampir 1,000 persembahan amal selain memelihara banyak anak-anak yatim. Dia mendekatkan diri kepada Allah bersama rakan-rakan di luar dunia seni. Saya pasti dia menemui jalan pulang yang sebaiknya pada sisi seorang muslimah.

Sisi yang peribadi ini tidak dipertontonkan dan hanya yang rapat sahaja tahu bahawa dunia gemerlapan tidak menjauhkan dia dengan tuntutan seorang muslimah. Selepas berjaya memetik bintang dia tetap berpijak pada hakikat kehadirannya sebagai hamba Allah.

Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN
Sumber: Utusan

0 comments: