29 Julai 2014

Persediaan Haji



LEMBAGA Tabung Haji (TH) adalah satu-satunya badan yang dipertanggungjawabkan di bawah Akta 535, Akta Parlimen, dalam segala urusan berkait dengan jemaah haji Malaysia, bermula daripada persiapan awal hinggalah mereka selamat berangkat pergi dan balik dari Tanah Suci menunaikan fardu haji.

Pelaksanaan urusan haji secara keseluruhan adalah meliputi aspek bimbingan jemaah haji, penyediaan petugas haji, penyediaan prasarana dan logistik tanah air dan Tanah Suci, serta penyelarasan dengan pihak-pihak berkuasa di Malaysia dan di Arab Saudi, serta agensi-agensi yang berkenaan.

Pengurusan haji di tanah air yang melibatkan bakal haji secara langsung dapat dirangkum dalam lapan aktiviti utama iaitu; (a) Pendaftaran, (b) Pemilihan kelayakan, (c) Bimbingan, (d) Pemeriksaan kesihatan, (e) Pengurusan passport, (f) Surat Jadual Penerbangan, (g) Urusan visa, dan (h) Operasi penerbangan haji.

Setiap rakyat Malaysia yang hendak mengerjakan haji hendaklah mendaftar dengan TH. Untuk mendaftar, mereka perlu mempunyai deposit di TH dengan amaun minimum RM1,300.


Jemaah yang telah terpilih untuk ke Tanah Suci pada tahun semasa, surat tawaran terpilih akan dihantar. Bakal haji hendaklah mencukupkan wang Bayaran Haji dan menyatakan persetujuan mereka secara rasmi kepada TH dalam tempoh masa yang ditetapkan. Mereka juga perlu mendapatkan Buku Rekod Rawatan perubatan dari TH.

Bakal haji terpilih perlu mengikuti tiga peringkat kursus haji, yang terdiri daripada Kursus Asas Haji, Kursus Intensif Haji dan Kursus Perdana Haji.

Pemeriksaan kesihatan mestilah dilakukan oleh pegawai perubatan yang mempunyai nombor pendaftaran yang khusus melayakkan mereka memeriksa bakal haji.

Bakal haji perlu lulus saringan fizikal dan mental serta perlu mendapatkan suntikan vaksin Meningitis Meningococcal ACYW-135. Suntikan vaksin influenza dan vaksin pneumococcal turut menjadi pilihan dan ia mestilah direkodkan.

Kemudian penyediaan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA). Bagi yang telah ada, pastikan tempoh sah lakunya tidak kurang enam bulan dari tarikh 15 Muharam tahun berikutnya, dan mesti terdapat empat muka surat kosong secara berturutan, sebelah-menyebelah. Bagi myang belum mempunyai PMA, mereka hendaklah berurusan terus dengan Jabatan Imigresen Malaysia, atas tanggungan sendiri.

Setiap bakal haji juga perlu memastikan tiada larangan untuk mereka ke luar negara. Untuk itu, mereka perlu membuat semakan senarai syak (halangan meninggalkan Malaysia) di mana-mana Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), atau melalui Sistem Aplikasi Elektronik JIM.

Bakal-bakal haji wanita yang berumur bawah 44 tahun, perlu mempunyai muhrim/mahram lelaki mengiringinya.

Kesemua dokumen yang lengkap hendaklah dibawa ke Pejabat Cawangan TH yang terdekat untuk proses seterusnya di ibu pejabat TH bagi proses permohonan visa.

Bagi yang telah melepasi tapisan pemeriksaan kesihatan, TH akan menetapkan tarikh melapor diri untuk berangkat ke Tanah Suci dengan menghantar Surat Jadual Penerbangan (SJP) kepada mereka secara berperingkat-peringkat.

Untuk mengetahui status, boleh menghubungi pejabat TH berhampiran atau TH Contact Centre di talian 03-6207 1919. Bakal Haji akan berlepas ke Tanah Suci secara berperingkat-peringkat mulai 1 Zulkaedah hingga 3 Zulhijah setiap tahun.

Persediaan dari rumah:

Bakal haji menulis maklumat diri pada semua beg yang mereka bawa seperti nama dan alamat lengkap, nombor telefon, penerbangan dan pasport.

Menyediakan wang perbelanjaan secukupnya dengan menukar sedikit wang Saudi Riyal di Bank Islam atau mana-mana bank atau pengurup wang (dalam anggaran SR1,500).

Bakal haji yang menghidap penyakit tertentu dan memerlukan ubat atau peralatan khas hendaklah membawanya sendiri berserta surat doktor dan baki ubat diletak dalam bagasi besar.

Patuhi beberapa peraturan:

Larangan pihak syarikat penerbangan supaya penumpang tidak membawa alatan tajam (seperti pisau, gunting dan sebagainya) di dalam beg bimbit kecil (hand luggage).

Tatacara berhubung dengan cara membawa barangan cecair seperti aerosol atau gel, yang tidak melebihi 100ml (hendaklah dibungkus dalam plastik khas, dengan jumlah kesemuanya tidak melebihi 1,000ml.)

Larangan Kerajaan Arab Saudi supaya bakal haji tidak membawa bahan bercetak/risalah politik yang mempunyai propaganda tertentu serta tidak membawa barang dagangan untuk tujuan perniagaan.

Peraturan Kementerian Kewangan supaya penumpang penerbangan yang hendak membawa mata wang tunai (dalam apa juga mata wang) yang nilainya berjumlah melebihi USD10,000, hendaklah mengisi borang pengisytiharan.

Persediaan sebelum berangkat:

Pastikan lokasi, tarikh dan waktu melaporkan diri (sama ada di Lapangan Terbang atau di Kompleks TH) seperti mana terdapat pada SJP.

Membawa bersama Surat Jadual Penerbangan (tinggalkan keratan sebelah bawah SJP tersebut kepada waris di Malaysia)

Membawa bersama Buku Rekod Rawatan.

Memakai Lencana Pengenalan Diri dan Gelang Pengenalan Haji (GPH) yang TH bekalkan ketika melaporkan diri dan sepanjang masa berada di Tanah Suci

Oleh AHMAD RUZMAN AHMAD RAZALI
Pengurus Besar (Operasi Domestik)
Jabatan Haji, Lembaga Tabung Haji
Sumber: Utusan

1 comments:

Unknown berkata...

as salam...boleh x bg lokasi utk dptkn suntikan vaksin influenza dan pneumococcal di selangor atau KL?