31 Ogos 2014

Keberanian Rosli Dhoby


ROSLI sangat dikenali dalam kalangan penduduk Sarawak yang memperjuangkan negerinya daripada cengkaman penjajah.

NAMA Rosli Dhoby cukup harum dalam kalangan rakyat Sarawak kerana semangat kental yang mahu melihat negeri kelahirannya itu bebas daripada cengkaman semula penjajah selepas Perang Dunia Kedua.

Rosli yang dilahirkan pada tahun 1932 di Sibu itu mendapat pendidikan di Methodist School Sibu dan menjadi guru sekolah rakyat pada sebelah petangnya.

Api perjuangannya semakin membara ketika usianya 15 tahun selepas beliau menganggotai Gerakan Pemuda Melayu (GPM) Sibu yang dipimpin oleh Sirat Yaman. Penubuhan GPM ini khusus untuk menentang penjajahan keluarga Brooke dan British.


Jual Sarawak

Rata-rata penduduk tempatan mahu keluarga Brooke yang memerintah Sarawak dari tahun 1839 hingga 1942 menyerahkan semula Sarawak kepada mereka untuk memerintah sendiri dan bukan menjual Sarawak kepada British dengan harga £1 juta (RM5.24 juta).

Bagaimanapun, selepas Sir Charles Vyner Brooke menjual dan menyerahkan Sarawak kepada pentadbiran British pada 1 Julai 1946, situasi itu mencetus semangat penentangan dalam kalangan penduduk tempatan.

Terdahulu, dua Ahli Parlimen British, D. R. Rees Williams dan L. D. Gammans melawat Sarawak pada Mac 1946 untuk mendapatkan pandangan penduduk mengenai isu penyerahan Sarawak sebelum dikemukakan kepada Majlis Negeri untuk kelulusan.


ROSLY diiringi oleh dua anggota polis iaitu Kikir Singh dan Santok Singh sebaik sahaja menikam Duncan Stewart pada 3 Disember 1949 di Sibu.

Akhirnya, pada 1 Julai 1946, British mula memerintah Sarawak walaupun ramai penduduk tempatan tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan.

Guru dan kakitangan kerajaan kaum Melayu paling ramai menentang penyerahan tersebut termasuk Rosli serta mereka yang menganggap penyerahan itu tidak sah dari segi undang-undang dan mahu menuntut kemerdekaan Sarawak.

Pengkaji Sejarah Sarawak, Dr. Chang Pat Foh berkata, tindakan Rosli itu adalah sebahagian sentimen antipenjajah dalam kalangan penduduk tempatan yang lahir selepas Perang Dunia Kedua.

“Rasa tidak puas hati berterusan terutama dalam kalangan orang Melayu yang kemudian menubuhkan GPM untuk menentang penjajah British.

“Atas rasa cintakan tanah air, Rukun 13 yang dianggotai 13 ahli GPM yang turut disertai Rosli mengadakan perjumpaan di Jalan Queensway, Sibu pada 21 Februari 1949 untuk mengusir Gabenor penjajah dan wakil yang lain,” katanya kepada Kosmo!.

Kemuncak penentangan GPM tiba selepas Gabenor British kedua, Duncan Stewart yang mentadbir Sarawak dijadual membuat lawatan pertama ke Sibu.


KOLEKSI buku yang diterbitkan selepas Rosli Dhoby dihukum gantung.

Tikam

Katanya, mereka merancang mengambil peluang itu ketika Stewart melawat Sibu pada 3 Disember 1949. Pada tarikh yang sama Rosli dipilih untuk menikam Stewart bagi memberikan gambaran bahawa masanya sudah tiba bagi Sarawak merdeka.

“Pada pukul 9 pagi, ketika penduduk Sibu berkumpul bagi menyambut Stewart dan beberapa pegawai Inggeris yang tiba dalam satu barisan panjang sambil pelajar mengibarkan bendera Inggeris dan Sarawak, Rosli dan rakan-rakannya pula sudah bersedia di tengah-tengah orang ramai.

“Kira-kira pukul 9.30 pagi ketika Gabenor bergerak ke arahnya, Rosli terus mengeluarkan badik yang disapu racun dan meluru serta menikam perut, sambil melaungkan perkataan: “Keluar dari Sarawak atau kamu mati!” Pada masa yang sama Morsidi pula menyerang pegawai Inggeris yang hanya dikenali sebagai Mr Dilks,” katanya.

Akibat tindakan itu, Rosli dan tiga rakannya ditangkap di tempat kejadian, manakala Stewart yang dalam keadaan kritikal dihantar ke Hospital Lau King Howe, Sibu sebelum diterbangkan ke Singapura pada keesokannya dan meninggal dunia tujuh hari selepas itu.

Pada 15 Disember 1949, Rosli dan Morsidi Sidek serta dua lagi rakan seperjuangan mereka, Awang Ramli Matsaruddin dan Bujang Suntong dijatuhi hukuman gantung sehingga mati oleh mahkamah manakala pada 2 Mac 1950 kesemua mereka digantung di Penjara Pusat, Kuching.

Jenazah ke Sibu

Pihak British juga tidak membenarkan jenazah mereka dibawa keluar dari kawasan penjara tersebut.

Genap 46 tahun bersemadi di kawasan penjara, kubur keempat-empat wira itu digali semula dan tinggalan jasad dikeluarkan serta dibaluti dengan bendera Sarawak seterusnya diterbangkan menggunakan helikopter Nuri ke Sibu.

Jasad mereka dikebumikan di perkuburan Masjid An Nur, Sibu pada 2 Mac 1996.

Oleh NOR AZIRAN YUNUS
Sumber: Kosmo

0 comments: