01 September 2014

Gelang Keselamatan Elak Anak Hilang


PEMAKAIAN gelang keselamatan boleh membantu mengurangkan kes kehilangan kanak-kanak di negara ini.

PERNAHKAH anda terfikir, andai kata anak anda hilang, apakah tindakan penting yang perlu anda lakukan selain daripada menghubungi pihak polis, menghebahkan kes tersebut di akhbar dan sebagainya? Adakah anda bersedia menghadapi situasi kehilangan anak?

Menurut statistik kes orang hilang yang direkodkan Polis Diraja Malaysia, seramai 3,158 remaja berusia bawah 18 tahun dan tiga kanak-kanak bawah umur 12 tahun dilaporkan masih hilang sejak tahun 2010 hingga Mei 2014 lalu.

Persoalan demi persoalan seperti adakah kesemua mangsa yang hilang itu masih hidup ataupun sudah meninggal dunia serta di manakah lokasi sebenar mereka berada masih tiada jawapan sehingga kini.


Ketua Unit Siasatan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Deputi Superintendan Noraziah Zakaria berkata, seramai 1,859 orang remaja bawah 18 tahun hilang di seluruh negara pada 2011 dan daripada jumlah berkenaan, 923 orang berjaya ditemui semula.

Bagi tahun 2012, sebanyak 2,193 kes dilaporkan dan hanya 1,395 daripada jumlah itu dijumpai semula.

Pada tahun 2013 pula, seramai 2,054 orang dilaporkan hilang manakala 1,395 berjaya ditemui semula. Sementara itu, sehingga Mei lalu seramai 291 orang yang dilaporkan hilang berjaya ditemui semula daripada 833 kes orang yang dilaporkan hilang.

Punca

Menurut Noraziah, tiga negeri yang mencatatkan kes kehilangan tertinggi ialah Johor, Selangor dan Kuala Lumpur.

Kebanyakan punca berlakunya kes orang hilang seperti yang dilaporkan ialah meninggalkan rumah untuk mencari kerja, ikut rakan, ikut kekasih, tidak minat belajar, ingin bebas, masalah keluarga, tidak diketahui dan kurang perhatian keluarga.

Walaupun masih belum ditemui sehingga kini, pihak polis masih meneruskan pencarian dan laporan kes kehilangan itu tidak pernah ditutup.

Mengulas mengenai perkara itu, Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Anak-Anak Malaysia (Pama), Mohd. Fairuz Mohamed Isa memberitahu, secara amnya faktor kes kanak-kanak hilang di Malaysia boleh diklasifikasikan kepada tiga iaitu hilang akibat lari daripada jagaan, diculik atau sesat di tempat awam.

“Secara realiti, 90 peratus keluarga pernah menghadapi situasi kehilangan anak di tempat awam.

“Malah, ibu bapa turut merasakan kehilangan anak-anak di tempat awam adalah lima kali lebih membimbangkan daripada keganasan dan penculikan,” jelasnya.

Tambahnya, kebanyakan ibu bapa akan menjadi panik dan sedih apabila situasi tersebut berlaku ke atas mereka.

“Ibu bapa sepatutnya lebih prihatin dengan isu kanak-kanak hilang dan tahu apa yang sepatutnya dilakukan memandangkan trend ini didapati meningkat malah penculik juga semakin berani melakukan jenayah ini secara terang-terangan di rumah, sekolah dan tempat-tempat awam.

Gelang

“Antara langkah keselamatan yang perlu diambil ialah mengajar anak-anak tentang aspek keselamatan.

“Anak-anak perlu dididik berkenaan dengan aspek keselamatan di tempat awam. Maklumat penting seperti nama dan nombor telefon ibu bapa perlu dihafal bagi memudahkan kanak-kanak tersebut bertindak sekiranya berdepan situasi tidak diduga,” ujarnya.

Tambahnya, ibu bapa harus bertindak pantas jika menyedari anak mereka hilang.

“Tempoh 25 minit yang pertama amat penting kerana berkemungkinan kanak-kanak itu masih berada di kawasan sekitar atau mungkin berada jauh dari lokasi awal kehilangannya.

“Selain itu, ibu bapa juga mesti sentiasa peka dengan apa yang dipakai oleh anak-anak mereka terutamanya ketika berada di tempat awam seperti pasar raya atau tapak ekspo,” jelasnya.

Katanya lagi, ibu bapa juga dinasihatkan menyimpan rekod peribadi anak mereka dan ia perlu dikemas kini setiap enam bulan.

“Tanda-tanda yang terdapat di badan anak seperti tahi lalat, parut atau tanda lahir juga perlu dititikberatkan bagi memudahkan tindakan pihak berkenaan sekiranya berlaku situasi tersebut.

“Langkah-langkah pencegahan juga boleh dilakukan dengan pemakaian tanda pengenalan atau gelang keselamatan kepada anak-anak.

“Gelang keselamatan yang dipakai ini perlu dilengkapi dengan nama kanak-kanak, nama ibu bapa serta nombor telefon yang boleh dihubungi,” beritahu beliau.

Jelasnya, pemasangan peralatan keselamatan seperti kamera litar tertutup dan alat penggera boleh membantu mengurangkan risiko kejadian jenayah ini berlaku.

“Tindakan-tindakan tersebut penting bagi ibu bapa laksanakan bagi menangani situasi kehilangan anak,” katanya.

Oleh NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR
Sumber: Kosmo

0 comments: